Kuasa yang akan menjadi penyesalan di akhirat

 

1. Rasulullah ﷺ berpesan dalam sebuah hadis bahawa akan muncul kumpulan manusia yang sangat gilakan kuasa dan kegilaan mereka kepada kuasa ini akan membawa kepada kemusnahan. Sabda Rasulullah ﷺ:

إِنَّكُمْ سَتَحْرِصُونَ عَلَى الإِمَارَةِ وَسَتَكُونُ نَدَامَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَنِعْمَ الْمُرْضِعَةُ وَبِئْسَتِ الْفَاطِمَةُ

“Sesungguhnya akan ada dikalangan kamu yang bersungguh-sungguh gilakan kepimpinan dan ia akan jadi satu penyesalan di Hari Kiamat. Ia hanya permulaan yang menyenangkan di dunia dan pengakhiran penuh dengan penyesalan di Akhirat. (HR al-Bukhari)

2. Bahkan Rasulullah ﷺ menegaskan bahawa orang yang gilakan kuasa ini tidak seharusnya diberikan jawatan. Perkara ini dijelaskan ketika Baginda ditanya tentang mereka yang meminta untuk memegang kepimpinan lalu Rasulullah ﷺ menjawab:

إنا لا تُولي هذا مَنْ سَألهُ وَلا مَنْ حَرَص عليه

“Kami tidak memberikan kepimpinan kepada mereka yang memintanya, dan bukan pada mereka yang tergila-gila kan jawatan kepimpinan.” (HR al-Bukhari)

3. Malah seorang tokoh sufi yang terkenal pernah berpesan bahawa gilakan kuasa akan merosakkan peribadi seseorang. Gilakan kuasa menyebabkan seseorang akan bersifat hasad bahkan suka mencari keaiban manusia lain. Kata Fudail ibn Iyyad:

ما من أحد أحب الرئاسة إلا حسد وبغى ، وتتبع عيوب الناس ، وكره أن يُذكر أحد بخير

“Tidak ada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia akan terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan dia benci untuk menyebut kebaikan orang lain.”

4. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memilih pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat dan bukan mereka yang hanya gilakan jawatan dan mementingkan kepentingan diri sendiri sahaja.

5. Dalam keadaan kesempitan hidup dan kelembapan ekonomi yang berlaku pada hari ini, kita sepatutnya mengutamakan penyelesaian dalam menangani wabak dan membangunkan semula ekonomi negara, bukan bercakaran mengejar kemusnahan.

Semoga Allah sentiasa membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts