PETALING JAYA, Khamis – Kumpulan pertama 489 jemaah haji Malaysia telah berlepas ke Tanah Suci pada 5 pagi tadi, dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) dan dijangka tiba di Madinah pada 9.10 pagi waktu Arab Saudi.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Johan Abdullah berkata daripada jumlah itu, 205 adalah jemaah lelaki, 235 jemaah wanita dan selebihnya petugas haji.
“Sebelum ini, kita sudah menghantar 210 petugas awal ke Tanah Suci bagi menguruskan persiapan untuk para jemaah termasuk penginapan serta membuka pejabat operasi di Madinah,” katanya pada sidang media sempena pelepasan jemaah haji di Kompleks TH Kelana Jaya, dekat sini malam ini.
Johan berkata jumlah keseluruhan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah sebanyak 47 penerbangan melibatkan 22 pesawat Airbus A380 MAS, yang setiap pesawat mampu memuatkan 489 jemaah haji, serta 25 penerbangan menggunakan pesawat Boeing 747 Saudi Airlines.
Katanya pada musim haji tahun ini, 50 penerbangan transit secara terus akan beroperasi untuk membawa jemaah ke KLIA iaitu dari Pulau Pinang, Johor Baharu, Alor Setar, Kota Baharu, Kuala Terengganu dan Kuching.
Jemaah haji Malaysia yang kesemuanya berjumlah 22,320 orang tahun ini, akan bertolak secara berperingkat ke Tanah Suci dengan penerbangan terakhir pada 5 Sept, manakala perjalanan pulang mulai 18 Sept hingga 15 Okt.
Mengenai kuota haji tahun ini, Johan berkata ia berkurangan 20 peratus daripada kuota asal sebanyak 27,900 hingga 28,000 jemaah haji berikutan projek pembesaran Masjidil Haram yang sedang dijalankan.
Dalam pada itu, beliau berkata memandangkan suhu di Tanah Suci dijangka mencecah 50 darjah Celsius, jemaah dinasihatkan untuk minum air dengan kerap dan mengelak daripada terdedah terlalu lama di tempat terbuka.
Bagaimanapun, katanya pasukan perubatan TH sentiasa bersedia memberi khidmat pada bila-bila masa kepada jemaah.
Dari aspek keselamatan pula, beliau berkata TH telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi menangani isu-isu tertentu.
“Jemaah turut akan diberi taklimat sebaik tiba di Tanah Suci berhubung aspek keselamatan selain talian bantuan kecemasan yang boleh dihubungi pada
bila-bila masa yang dilekatkan di gelang tangan jemaah,” katanya.
Sementara itu, pasangan suami isteri dari Kuantan, Pahang, menzahirkan rasa syukur dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu selepas mendaftar haji pada 2007.
Amri Naib, 65, dan Aminah Abdul Hanipah, 62, berkata mereka telah melakukan persiapan lebih awal setelah menerima surat makluman panggilan haji daripada TH.
“Alhamdulillah, hajat kami untuk menjadi tetamu Allah telah termakbul dan kami berdoa semoga ibadah kami diterima dan diberi kesihatan yang baik di sana,” kata Amri yang merupakan pesara kerajaan.
Senada dengan Amri, Mohamad Abu, 70, dari Jasin, Melaka, yang berdoa agar beliau sihat dan bertenaga sepanjang mengerjakan ibadah haji.
Sumber: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1269372
www.indahnyaislam.my