BACHOK – Lapan keluarga terpilih untuk dibimbing secara menyeluruh menerusi Program Hijrah Keluarga di kawasan berisiko tinggi gejala penagihan dadah di sekitar Perupok di sini.
Program berkenaan sebagai usaha ‘menghijaukan’ daerah itu, sekali gus membantu mereka berikutan ada kalangan ahli keluarga yang terbabit penagihan dadah supaya dapat membina kehidupan lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Bachok, Mohd Farid Abdul Razak berkata, pemilihan peserta program berdasarkan keluarga paling bermasalah dan miskin.
Beliau yang juga Ketua Jajahan Bachok berkata, modul bimbingan dilakukan secara menyeluruh membabitkan kerjasama pemimpin setempat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Agama Islam Adat dan Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Penagih dalam keluarga berkenaan akan diberikan perhatian dan dibimbing secara menyeluruh merangkumi aspek kerohanian sehingga berjaya bebas daripada gejala tersebut.
“Bukan sahaja penagih, malah ahli keluarga juga akan dibantu untuk membangunkan ekonomi, meningkatkan pendapatan, diberi pekerjaan dan dipastikan memiliki tempat tinggal serta persekitaran selesa untuk meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui pemberita di Perupok di sini pada Khamis.
Beliau sebelum itu turun padang melawat ke rumah lapan keluarga peserta Program Hijrah Keluarga.
Mohd Farid (tiga dari kanan) bersama pemimpin masyarakat dan ketua jabatan turun padang melawat rumah peserta Hijrah Keluarga di Bachok pada Khamis.
Hadir sama ialah Pengarah AADK, Rohayu Ahmad; Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Huzaimy Che Husin.
Mohd Farid berkata, penagih yang menyertai program itu berusia 22 hingga 38 tahun.
Katanya, ada antaranya mempunyai anak masih bayi dan tinggal berhimpit seramai 18 orang ahli keluarga dalam sebuah rumah kecil serta daif.
“Misalnya, keluarga di Kampung Pauh Sembilan dibantu untuk membina rumah hasil dana RM10,000 yang disumbangkan oleh MAIK.
“Anak-anaknya pula dijadikan anak angkat masjid yang akan diberikan didikan agama seperti kelas mengaji dan sebagainya,” jelas beliau. -Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)