- Mengaitkan makna perkataan Bismillah dengan zakar dan faraj adalah penafsiran yang sangat aneh. Ia tidak mempunyai sandaran daripada panduan Baginda Nabi ﷺ. Ini kerana sebaik-baik kefahaman al-Quran adalah dari Rasulullah sendiri kerana ke atas Rasulullah lah al-Quran itu diturunkan.
- Bimbang akan berlakunya penyelewangan makna al-Quran, Rasulullah ﷺ memberi amaran keras kepada Muslim agar berhati-hati dalam meneroka maksud ayat al-Quran. Sabda Rasulullah:
مَنْ قَالَ فِي القُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Barangsiapa yang mengatakan sesuatu tentang al-Quran tanpa ilmu maka dia telah menempah tempatnya dineraka.” (Riwayat al-Tirmizi)
- Dan dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah ﷺ turut menjelaskan bahawa penafsiran yang hanya menggunakan pandangan sendiri tanpa berteraskan Ulum al-Quran maka ia adalah tindakan yang salah. Sabda Rasulullah:
مَنْ قَالَ فِي القُرْآنِ بِرَأْيِهِ فَأَصَابَ فَقَدْ أَخْطَأَ
“Barangsiapa yang berkata berkenaan al-Quran (menafsirkannya) dengan pandangannya sendiri, sekiranya benar sekalipun maka dia telah tersilap.” (Riwayat al-Tirmizi)
- Dalam menjelaskan maksud hadis ini, al-Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa mereka yang menafsirkan al-Quran dengan pandangan sendiri tetap akan dianggap salah (sekalipun penafsiran tersebut betul). Ini adalah kerana penafsiran tersebut adalah sekadar andaian yang tidak melalui metodologi penafsiran yang sebenar.
- Penafsiran al-Quran seharusnya dihasilkan melalui asas ilmu tafsir yang telah dibangunkan oleh sarjana al-Quran. Perkara ini dijelaskan oleh Ibn Hajar:
قَالَ ابْنُ حَجَرٍ أَيْ أَخْطَأَ طَرِيقَ الِاسْتِقَامَةِ بِخَوْضِهِ فِي كِتَابِ اللَّهِ بِالتَّخْمِينِ وَالْحَدَسِ لِتَعَدِّيهِ بِهَذَا الْخَوْضِ مَعَ عَدَمِ اسْتِجْمَاعِهِ لِشُرُوطِهِ، فَكَانَ آثِمًا بِهِ مُطْلَقًا
“Ibn Hajar menjelaskan bahawa (menafsirkan al-Quran dengan pandangan sendiri) adalah salah kerana ia menyalahi jalan (metodologi) yang lurus kerana (kumpulan ini) menyelami maksud Kitab Allah dengan meneka-neka atau gerak hati sahaja tanpa menguasai syarat-syarat (ahli tafsir). Dan perbuatan sebegini adalah berdosa.” (Mirqah al-Mafatih)
- Ketahuilah bahawa al-Quran ini diturunkan ke atas Rasulullah dan Allah memerintahkan Nabi supaya menjelaskan maksud al-Quran. Oleh yang demikian, sebaik-baik makna al-Quran adalah apa yang telah dijelaskan oleh Baginda Nabi ﷺ.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM