Lebih bersyukur, menghargai kehidupan

 

Alor Setar: Seorang pemuda mengambil keputusan menjadi penggali kubur di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), demi membantu menguruskan jenazah yang semakin meningkat.

Mohd Muzammil Yaakob, 21, berkata, pekerjaan itu mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih menghargai kehidupan dan sentiasa bersyukur dengan rezeki yang ada.

“Saya sebelum ini hanya bekerja menternak kambing bagi menampung hidup, tetapi ia hanya cukup-cukup makan sahaja.

“Oktober lalu, saya mendapat tawaran KKM menjadi penggali kubur bagi membantu mengurus dan menyemadi jenazah pesakit Covid-19 yang semakin meningkat.

“Mulanya saya berfikir panjang kerana risiko yang terpaksa ditanggung, tetapi sebagai orang Islam saya percaya asbab kematian boleh berlaku di mana sahaja, jadi saya terima tawaran ini,” katanya ketika ditemui.

Muzammil yang berasal dari Jalan Langgar di sini, kemudian mengajak rakannya, Fazli Othman, 26, bekerjasama menjalankan tugas itu berikutan dia mempunyai jentera jengkaut.

Katanya, sejak itu mereka terpaksa bekerja tanpa mengira masa sama ada siang atau malam sekiranya terdapat banyak kematian pada hari yang sama.

“Tugas kami adalah membantu kakitangan KKM dalam proses mengorek dan menimbus liang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang mahu jenazah diurus cepat serta mudah bagi setiap kes membabitkan pesakit Covid-19.

“Setiap hari, kami perlu memakai pakaian perlindungan diri (PPE) demi mematuhi SOP pengebumian pesakit Covid-19, memang terasa sangat panas sehingga ada kalanya kepala pening,” kata anak bongsu dari tiga beradik itu.

Muzammil berkata, anak kariah kawasan banyak membantu kerana ada yang sudah menggali liang lebih awal dan mereka akan melakukan kerja menimbus kubur pesakit Covid-19 sahaja.

“Ada pihak yang mengorek liang sahaja sebelum jenazah tiba, tetapi ketika proses mengebumi mereka bimbang mengambil risiko, jadi kami yang menyelesaikan tugas itu.

“Antara cabaran terpaksa dihadapi seperti liang dipenuhi air terutama pada waktu malam dan kami terpaksa mengeluarkan air dahulu sebelum kerja pengebumian dapat dilakukan,” katanya.

Turut bersimpati dengan nasib keluarga pesakit Covid-19, Muzammil ada ketika turut membantu mengambil gambar bagi diberikan kepada waris yang tidak dapat menyaksikan proses pengebumian.

“Ada kes suami kehilangan isteri akibat Covid-19 dan mereka anak beranak terpaksa dikuarantin, jadi saya memenuhi permintaan mereka mengambil gambar dan video pengebumian.

“Selepas semua kerja selesai, kami berdua termasuk jentera akan disembur cecair pembasmi kuman dan pakaian PPE dimasukkan ke dalam plastik khas untuk dilupuskan kakitangan KKM,” katanya.

Bekas pelajar Akedemi Binaan Malaysia (ABM) itu berkata, setiap bulan secara purata mereka mengorek dan mengambus kira-kira 50 kubur sekitar daerah Kota Setar.

“Selesai kerja sebelum masuk ke rumah, kami akan mandi di luar rumah dan menyapu sabun di badan terlebih dahulu bagi mengelak ahli keluarga dijangkiti penyakit.

“Alhamdulillah setakat ini, kami berdua masih terpelihara daripada virus Covid-19,” katanya. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts