IPOH: Perkembangan dan pertambahan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ketika ini adalah satu fenomena yang semakin menular dalam kalangan masyarakat dan memerlukan kerjasama semua pihak untuk menangani dan mengatasinya.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, berkata penularan gejala songsang itu juga jelas memperlihatkan tanda bahawa dunia kini sudah semakin ke penghujung dan menjadi tanda-tanda kepada akhir zaman.
Katanya, perkara itu diperkuatkan lagi dengan beberapa hadis Nabi Muhammad SAW yang jelas menerangkan berleluasanya tingkah laku membabitkan golongan LGBT yang bukan sahaja ditegah oleh agama Islam malah turut dilarang beberapa agama lain di dunia kerana sangat menyimpang daripada fitrah manusia.
“Sudah menjadi satu fenomena juga bagi golongan LGBT yang mendakwa diri baik lelaki atau wanita bahawa mereka terperangkap dalam jasad yang salah, ada yang mendakwa psikologi mereka wanita tetapi jasad mereka lelaki, begitu juga wujud gadis yang membendung payu dara, berpakaian seperti lelaki tetapi sebenarnya adalah wanita.
“Apa yang jelas LGBT memang ditolak oleh Islam kerana mencacatkan institusi keluarga, apa pun yang paling penting adalah bagaimana pendekatan kita terhadap golongan itu kerana kita tidak boleh meminggirkan mereka sebaliknya perlu membawa mereka ke arah kebaikan supaya mereka berubah.
“Berasaskan kepada realiti semasa juga yang disokong dengan hadis fitan (hadis yang menerangkan mengenai akhir zaman) yang terang lagi nyata, fenomena penularan budaya seks songsang ini adalah satu daripada fakta yang benar-benar berlaku dan menjadi tanggungjawab pihak berkuasa atau pemerintah untuk mengambil tindakan terhadapnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Hubungan Gender dan Seks Songsang Dari Perspektif Islam pada Wacana Suami Gay Isteri Mak Nyah anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di Bangunan Darul Ridzuan di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.
Zulkifli berkata, tindakan, hukuman atau polisi yang berkesan daripada pemerintah itu perlu bagi menangani gejala berkenaan demi memelihara agama, bangsa dan negara selain peranan berkesan daripada ibu bapa, pendidik, orang yang berpengaruh serta masyarakat keseluruhannya untuk terus prihatin dan mengambil berat isu yang berlaku.
Katanya, langkah paling baik adalah dengan mendekati golongan berkenaan tanpa menyisih dan meminggirkan mereka kerana melalui cara itu mereka akan rasa dihargai dan pada masa yang sama ia boleh memberikan kesedaran dan keinsafan kepada golongan berkenaan.
Beliau berkata, pada masa yang sama, golongan yang ingin membantu juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan kefahaman yang baik dalam pelbagai bidang bagi memastikan bantuan yang dihulurkan nanti akan dapat membantu dan memberikan kesan dan pengajaran yang baik terhadap mereka.
Sementara itu, Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pusat, Mohd Khairul Anuar Ismail, berkata isu berkaitan LGBT ini bukanlah satu isu yang boleh dipandang remeh dan ia juga tidak lagi menjadi amalan peringkat individu sebaliknya ia kini sudah berubah menjadi satu gerakan yang bergerak aktif di peringkat antarabangsa.
Beliau yang juga seorang peguambela dan peguamcara ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Tuntutan LGBT: Dimanakah Percanggahannya di bawah Perlembagaan Persekutuan pada wacana itu berkata, LGBT kini sudah pun menjadi satu agenda yang mempunyai impak bukan hanya terhadap individu yang terbabit bahkan ia juga mampu meruntuhkan peradaban dan akhlak manusia.
“Perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah bagaimana untuk mengeluarkan golongan LGBT dari penyimpangan dan bukan dengan menegakkan dan menjustifikasi penyimpangan.
“Menjustifikasi penyimpangan tanpa mencari penyelesaian memperbetulkan penyimpangan hanya akan menyebabkan golongan LGBT semakin teraniaya dan pada masa sama. -Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)