KUALA LUMPUR – Dalam kelantangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menuntut hak kemanusiaan mereka, Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM) mempersoalkan bagaimana pula dengan hak asasi umat Islam.
Ini kerana walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa telah memohon maaf dan menarik semula kenyataan kontroversinya, kerosakan dan kekeliruan sudah berlaku.
Ujar Pengerusi GMIM, Wan Asshima Kamaruddin, LGBT adalah satu isu serius dan ia merupakan sebuah penghinaan dan pencabulan terhadap hak asasi manusia dan masyarakat yang merentasi kaum serta agama.
“LGBT adalah penyakit sosial dan ia bukanlah gaya hidup yang wajar diberi sokongan mahu pun mendapat tempat istimewa seperti yang dituntut oleh golongan tersebut.
“Sehubungan itu, GMIM memberi amaran keras dan tegas terhadap golongan LGBT termasuk transgender yang dilihat mahu mendiskriminasikan kedudukan wanita sebenar” katanya pada sidang akhbar berkenaan isu LGBT di Ibu Pejabat Pertubuhan Muafakat, di sini semalam.
Yang turut hadir, Naib Pengerusi GMIM, Salamiah Md. Nasir.
Salamiah pula berkata, isu diskriminasi transgender sepatutnya tidak timbul memandangkan mereka sendiri memilih jalan tersebut.
“Sekiranya mereka kembali kepada fitrah asal, masalah ini pasti tidak akan berlaku. Lebih menyedihkan, golongan tersebut tampil dengan pelbagai cara untuk dilihat sebagai idola sedangkan ia bertentangan sama sekali dengan tuntutan dalam Islam.
“GMIM juga menggesa pihak kerajaan agar memastikan apa sahaja tuntutan serta keputusan yang hendak dibuat haruslah selari dengan ajaran Islam dengan berpegang melalui Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,” katanya. – Utusan
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)