BANGI – Kehadiran golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, interseksual dan queer (LGBTQ) dalam ruang sosial masyarakat berupaya merobek dan merobohkan institusi agama seterusnya meruntuhkan negara.
Lebih membimbangkan apabila golongan itu kini semakin berani memanipulasi teks agama demi mempertahankan perbuatan jelik mereka.
Editorial Majalah Dakwah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) keluaran September/Oktober berkata, keadaan itu jika dibiarkan akan terus berkembang.
Menjadikan isu LGBTQ sebagai fokus keluaran edisi kali ini, editorial majalah berkenaan berkata, golongan yang dahulunya ‘bersembunyi’, ‘berselindung’ dan ‘terpaksa hipokrit dan pura-pura’ itu, kini semakin lantang dan berani menampilkan diri, memperlihatkan kecenderungan seksual songsang serta memperjuangkan hak mereka.
“Kehadiran golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, interseksual dan queer (LGBTQ) dalam ruang sosial negara kebelakangan ini semakin jelas, sekali gus menyesakkan.
“Tambahan pula dengan sokongan dan dukungan liberalis profesional atas nama hak asasi manusia, mereka tanpa segan silu menonjolkan kesongsangan mereka terhadap agama, budaya dan amalan yang dipegang selama ini,” katanya.
Editorial majalah berkenaan berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah golongan ini juga semakin berani memanipulasi teks agama demi membenarkan perbuatan jelik mereka.
Malah, ada yang mendakwa diri sebagai ‘lesbian beriman’ sewenang-wenangnya membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran. Ada juga dengan terbuka menganjurkan majlis berbuka puasa sesama mereka dalam bulan Ramadan lalu.
“Tidak ketinggalan, pengakuan seorang lelaki yang mengaku bergelar ‘imam dan gay’ yang memanipulasi kedudukannya dengan menyatakan kecenderungan songsang ini tidak berdosa di sisi agama.
“Kewujudan golongan ini menjadi fokus tema Majalah Dakwah pada kali ini sebagai reaksi kepada kebimbangan masyarakat yang khuatir dengan keadaan sosial yang tidak lagi menyantuni dan secara terbuka menyanggahi cara hidup Islami dan budaya ketimuran,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my