Lima pengalaman unik berpuasa di luar negara

Pengalaman berpuasa di luar negara, terutama sekali di negara Barat seperti United Kingdom sememangnya menggamit memori yang istimewa. Buat yang pertama kali menempuh Ramadhan di Eropah, pasti akan merasai beberapa pengalaman yang jarang dapat ditemui di tanah air. Di sebalik kesukaran dan kesulitan menahan lapar dan dahaga di seberang, tersemat keunikan yang pasti menggamit senyuman apabila direnung semula.

  1. Puasa lebih 19 jam

Ini mungkin situasi yang paling obvious. Ketika ini bumi Eropah sedang mengalami musim panas, maka waktu siang lebih panjang beberapa jam daripada musim – musim yang lain. Tambahan lagi, suhu yang panas di Eropah tak boleh dipandang enteng. Tak seperti Malaysia, rumah – rumah di UK tidak dipasang kipas, apatah lagi pendingin hawa.

Sahur tamat pada pukul 2 pagi, maghrib pula pada pukul 9.30 pm. Selesai berbuka dan solat Maghrib, Solat Isyak dan Tarawih pula sehingga pukul 12 malam. Jika tidur, maka pasti terlepas sahur. Jadi terpaksa tahan mengantuk selama 2 jam.

 

Tempoh berpuasa di seluruh dunia

 

  1. Merasa menjadi minoriti

Sesampainya di bumi Eropah, maka status seorang muslim dari Malaysia tidak lagi sebagai majoriti. Hal ini mungkin terasa lebih berat pada bulan Ramadan. Tiada azan Maghrib menemani anda ketika berbuka puasa. Bazaar Ramadhan mungkin hanya ada 2 atau 3 kali sebulan. Tidak terasa kehangatan bulan Ramadan di Universiti atau tempat kerja. Dalam batch anda, mungkin hanya anda seorang yang berpuasa. Amat sukar untuk mencari kesempatan bertadarus bersama.

Tapi hakikatnya perasaan menjadi minoriti merupakan suatu nikmat. Anda mula menghargai hal-hal yang anda anggap remeh di Malaysia. Anda mula merasa rapat dengan komuniti Muslim setempat. Anda mula merasa rapat dengan masjid, kerinduan terhadap tawa girang kanak – kanak dan bacaan Quran menjadi pengubat rindu. Malah, sebenarnya apabila berpuasa, anda terasa bersatu hati dengan umat Islam secara keseluruhannya, walaupun berseorangan. Apatah lagi, Ramadhan merupakan amalan beragama yang paling disambut besar – besaran dalam peringkat global.

 

Bertadarus bersama – antara nikmat yang sukar diperoleh di negara Barat

 

  1. Berbuka puasa bersama komuniti muslim berbilang bangsa

Di tanah air, waktu yang paling menyeronokkan pada bulan puasa sudah pasti berbuka bersama keluarga. Namun, di luar negara komuniti Muslim setempat pula menjadi keluarga anda. Sekiranya anda berbuka puasa di masjid, anda boleh menjalin ukhuwah dengan saudara Muslim dari Somali, Indonesia, Pakistan, Arab, Cina, Britain dan banyak lagi. Makanan – makanan yang dihidangkan pula pelbagai jenis, nasi arab, samosa, briyani, kari, ayam, kambing dan pelbagai variasi lagi, bergantung kepada giliran kumpulan yang hidangkan makanan, dan juga masjid itu sendiri. Sesetengah masjid peroleh infaq yang begitu banyak sehingga mampu menjamu buffet setiap hari.

Dah pasti, bagi orang yang bujang dan menghadapi masalah memasak iftar setiap hari (baca: malas dan tiada duit) tersenyum berbuka puasa di masjid.

 

Iftar di Masjid
  1. Menjadi identiti kebanggaan

Bulan Ramadhan menjadi lambang kebanggaan Muslim di negara bukan Islam. Ia merupakan suatu amalan yang paling unik dan disertai oleh hampir 1.6 billion manusia. Maka, kedatangan Ramadhan diraikan oleh bukan sahaja Muslim tetapi turut diketahui oleh bukan Muslim. Saban tahun di Britain, Perdana Menteri akan berucap meraikan amalan berpuasa bagi memberi sokongan kepada hampir 3 juta Muslim di negara tersebut. Akhbar – akhbar pula akan melaporkan sikap terlebih dermawan orang Islam apabila tiba bulan Ramadhan.

Masjid-masjid pula akan membuat majlis iftar dengan menjemput bersama orang bukan Islam. Lebihan makanan akan diberi pula kepada gelandangan. Program “Mosque Open Day” akan diperbanyak untuk menerangkan keindahan Islam kepada penduduk setempat. Di Universiti pula, amalan berpuasa menjadi titik perbualan yang ampuh. Kadang-kadang sebahagian rakan – rakan bukan Islam berminat mencuba sendiri berpuasa penuh satu hari. Peluang ini digunakan untuk mengajak mereka mengenali ajaran Islam dengan lebih baik lagi.

 

Hari terbuka masjid menjemput bukan Islam dari komuniti setempat

 

  1. Merasa sendiri keajaiban pemeliharaan al-Quran

Satu lagi pengalaman menarik yang mungkin agak ‘halus’ pengajarannya adalah merasai sendiri kehebatan pemeliharaan al-Quran. Ramadhan sememangnya diketahui sebagai bulan diturunkan al-Quran, maka aktiviti membaca dan menghafal al-Quran dijalankan dengan sangat giat. Tetapi, di luar negara, penghayatannya agak berbeza.

Bayangkan, anda boleh bersolat Jemaah di mana-mana sahaja masjid, milik mana-mana sahaja komuniti. Anda boleh bersolat di belakang imam Yaman, Saudi, Pakistan, China, Malaysia, Brunei, UK tanpa sebarang masalah kerana mereka membaca al Quran yang sama. Malah, kadang-kala anda boleh melihat saudara muslim Britain memperbetul bacaan imam Pakistan dan kadang-kala anak Somali berumur 12 tahun juga boleh memperbetul imam yang sudah tua dan berjanggut.

Perkara ini tidak mungkin boleh dicapai sekiranya al-Quran itu korup dan dan tidak dipelihara oleh Allah. Keajaiban ini jelas amat dicemburui oleh penganut agama Kristian setempat kerana mereka memiliki Bible yang pelbagai versi yang tidak disepakati secara global. Jelas, walaupun memiliki pelbagai perbezaan dan konflik, umat Islam memiliki titik pertemuan yang sangat ampuh iaitu al-Quran.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai tasawwur yang bermakna yang boleh diperoleh apabila kita bermusafir dan berpuasa di negara orang. Terpulang kepada kita bagaimana untuk menyebarkan keindahan dan rahmat Islam kepada semua.

Sumber: http://www.ismaeropah.com/5-pengalaman-unik-berpuasa-di-luar-negara/

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts