KAKINYA lumpuh, namun dia mampu solat lima waktu di masjid setiap hari dengan mengayuh basikal tiga roda ke masjid hanya menggunakan kudrat tangannya.
Melihat kegigihan Zulkifli Ismail, 36, seorang pesakit saraf dan cacat fizikal di Kampung Paloh, Tumpat, menginsafkan sesiapa sahaja kerana yang sempurna fizikal pun ada kalanya berat hendak ke masjid
Zulkifli berkata, solat berjemaah lima waktu di masjid sudah menjadi amalannya sejak zaman remaja lagi.
“Rasa rugi kalau saya tinggal solat berjemaah di masjid. Kaki saya cacat tapi saya ada tangan untuk kayuh basikal. “Basikal tiga roda ini yang diubahsuai banyak bantu saya bergerak dan berulang alik ke masjid Mukim Paloh,” katanya.
Menurutnya, perjalanan ke masjid dari rumahnya hanya mengambil masa 10 minit.
Zulkifli anak ke-10 daripada 12 beradik dilahirkan sempurna, namun disebabkan demam panas ketika usia 6 tahun, dia mengalami kecacatan kekal iaitu lumpuh separuh badan.
Bagaimanapun akhir-akhir ini, kesihatannya semakin merosot apabila disahkan pula mengidap penyakit saraf.
Zulkifli berkata, penyakit itu menyebabkan dia tidak mampu mengawal kencingnya dan perlu sentiasa memakai lampin pakai buang.
Katanya, sebelum turun ke masjid, dia dibantu ibunya, Khatijah Wood, 60, akan menukar lampin yang dipakai.
“Kadang kala adik saya, Siti Norma, 33, yang bantu pakai atau tukar lampin saya.
“Saya tak mampu nak pakai sendiri kerana paras pinggang ke bawah lumpuh,” katanya.
Menurutnya, apabila terlalu lama memakai lampin pakai buang, masalah kudis di bahagian punggung pula timbul.
Katanya, dia membeli lampin pakai buang dan ubat-ubatannya menggunakan duit daripada daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterimanya setiap bulan sebanyak RM350.
“Tapi kalau kerap sangat berulang-alik ke klinik, saya guna duit ibu yang berniaga kedai runcit kecil-kecilan di depan rumah,” katanya.
Sesiapa yang ingin membantu Zulkifli boleh hulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank bernombor 153092061447. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)