KANGAR : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) beriltizam untuk melestarikan misi globalnya dengan melaksanakan segala bentuk kerjasama bagi meneruskan agenda pemerkasaan ummah di rantau ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keperluan untuk meneruskan pembangunan ummah tersebut diteruskan, meskipun berhadapan suasana pandemik dan ketidaktentuan ekonomi dunia.
“MAIPs diharapkan dapat terus ke hadapan, bersemangat serta memperkasakan lagi jaringan kerjasama strategiknya dengan agensi-agensi di dalam dan luar negara.
“Ini bagi memperkukuhkan lagi kedudukannya dan menjayakan segala bentuk program dan perancangan demi kebaikan ummah di negeri ini dan rantau ini khususnya dengan Thailand,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan ‘Prihatin Global’ dengan kerjasama sumbangan khidmat sosial korporat oleh DZ Bikers Malaysia melalui MAIPs kepada 150 buah keluarga Muslim di Pulau Panjang (Kok Yaw) Thailand di Jeti Kastam Kuala Perlis di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Penyelaras Program Ziarah Mahabbah MAIPs, Datuk Zull Aznam Haron.about:blank
Sumbangan berupa barangan makanan seperti beras, tepung, gula, garam dan bihun tersebut dihantar melalui bot dari jeti terbabit.
Terdapat 1,300 penduduk di pulau di negara tersebut yang paling dekat dengan negeri ini dan difahamkan ketika ini terdapat 140 kes positif Covid-19 dan 17 pesakit kini terpaksa dimasukkan ke hospital di Satun.
Penyerahan sumbangan itu turut mendapat kerjasama Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs); Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis.
Untuk rekod, program tahunan ‘Ziarah Mahabbah MAIPs di enam buah Wilayah Andaman’ yang memasuki tahun ketujuh pada tahun ini tidak dapat dilaksanakan buat julung kalinya berikutan penularan wabak Covid-19.
Namun, beberapa siri mesyuarat dan seminar telah dan bakal dilaksanakan secara dalam talian sehingga sempadan kedua-dua negara kembali dibuka untuk interaksi secara fizikal. -UTUSAN ONLINE
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)