Maktabah Al-Bakri kupas hukum makan ikan lumba-lumba, gajah

PUTRAJAYA: Islam menetapkan ikan lumba-lumba halal dimakan berdasarkan hujah dan petunjuk daripada al-Quran dan Sunnah. 

Namun, spesis mamalia itu termasuk dalam kategori haiwan terancam yang dilindungi iaitu tidak boleh diburu dan dimakan berdasarkan akta dan undang-undang di Malaysia dan antarabangsa.

Perkara itu dikupas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi saluran portalnya, Maktabah Al-Bakri, semalam.

Zulkifli berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam untuk bersama-sama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang supaya dapat melihat dan mengenali haiwan itu. 

Menurutnya, ia bertepatan dengan kaedah Saddu al-Zarai’ iaitu menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan yang lebih besar. 

“Pemerintah juga berhak untuk memutuskan sesuatu keputusan bagi menjaga maslahah yang lebih penting. 

Berbeza pula dengan gajah, Zulkifli berkata, para ulama mempunyai pandangan berbeza mengenai hukum makan gajah.

Katanya, Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ menyatakan bahawa gajah haram dimakan di sisi mazhab al-Syafi’ie, Abu Hanifah, al-Kufiyyun dan al-Hasan  manakala al-Sya’bi, Ibn Syihab dan Malik pula membenarkannya untuk dimakan.

“Menurut jumhur ulama dalam kalangan mazhab Hanafi, Syafi’ie dan Hanbali, daging gajah haram dimakan kerana ia tergolong dalam binatang bertaring.

“Setelah kami meneliti dalil-dalil dan pandangan ulama serta melihat kepada realiti dan waqi’ Malaysia, kami menyimpulkan bahawa haram memakan daging gajah. 

“Kami mengambil salah satu pendapat di dalam mazhab Syafie dan ini merupakan pendapat yang lebih selamat (Ahwat),” katanya. 

Katanya, sebagaimana yang diketahui, spesies gajah juga adalah hidupan yang semakin pupus dan ia menjadi tanggungjawab bersama dalam memastikan kelangsungannya buat generasi akan datang. -UTUSAN ONLINE

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts