Malam Nisfu Syaaban dan penyatuan ummah: Timbalan Mufti Perak

 

BULAN Syaaban adalah satu bulan yang dipenuhi dengan beberapa kelebihan seperti yang dinyatakan di dalam beberapa hadtih sahih.

Amalan kita diangkat dan dipersembahkan kepada Allah SWT di dalam bulan Syaaban.

Ini berdasarkan hadith Rasululillah SAW . Usamah bin Zaid bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat tuan banyak berpuasa dalam sebulan seperti tuan berpuasa di dalam bulan Syaaban. Dijawab oleh Nabi SAW: Bulan Syyaban Itulah satu bulan yang sering diambil lewa oleh kebanyakan manusia yang diapit oleh bulan Rejab dan Ramadhan. Dia juga adalah bulan yang diangkat di dalamnya segala amalan ke hadrat Tuhan sekelian alam. Maka aku sangat suka jika diangkat amalan ku di dalam keadaan aku sedang berpuasa. (HR Ahmad dan al-Nasa’i)

Saidatina Aisyah menceritakan bahawa bahawa Rasulullah melengkapkan puasa penuh sebulan di dalam bulan Ramadhan dan sangat banyak sekali berpuasa di dalam bulan Syaaban. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

Bulan Syaaban yang penuh keistimewaan itu, terlebih istimewa dengan adanya satu malam yang dikhaskan oleh Allah SWT dengan tawaran pengampunan daripada Allah SWT. Malam tersebut dikenali sebagai malam ke separuh bulan Syaaban atau disebut malam Nisfu Syaaban.

Daripada Mu’az bin Jabal RA, daripada Nabi SAW bersabda: Allah menjenguk hamba-hambanya pada malam nisfu Syaaban dan mengampuni semua makhluknya kecuali orang yang mensyirikkan Allah dan orang yang masih bersengketa dan bertelagah. (HR Ibnu Hibban dan al-Tobroni)

Seorang sahabat Nabi SAW bernama ‘Ulbah bin Zaid bin Harithah, tatkala tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan kerana terlalu miskin tatkala Nabi SAW menggalakkan para sahabat menginfaqkan harta semampu yang ada, beliau mengatakan: aku hanya mampu bersedekah dengan maruahku bermaksud beliau memaafkan semua kesalahan orang lain terhadapnya dan menggugurkan haknya terhadap orang itu. Rasulullah SAW bersabda: sedeqah kamu telah diterima (dalam kitab al-Isobah)

Maka apabila ditanya, apakah amalan terbaik pada malam itu? Jawapannya ialah saling maaf-memaafkan, merapatkan saf sesama Islam dan mencari titik-titik perpaduan.

 

 

Umat Islam di negara ini wajib merebut tawaran pengampunan Allah SWT itu dengan mengukuhkan perpaduan sesama Islam dan mengusahakan perdamaian dan penyatuan sesama muslimin. Inilah sunnah Rasulullah SAW. Baginda bersegera menyelesaikan masalah umat Islam sehingga perpaduan dapat dikekalkan. Sahl bi Said RA menceritakan bahawa ahli Quba’ berselisih faham sehingga saling melemparkan batu sesama mereka. Lantas secara pantas Nabi SAW bersabda: Pergilah kamu bersama-sama kami untuk mendamaikan mereka. (HR al-Bukhari)

Tidak salah menjalin hubungan dengan orang bukan Islam. Penilaian yang sepatutnya jelas di dalam minda umat Islam ialah, jika orang Islam boleh menjalin hubungan dengan orang yang menolak Allah sebagai Tuhan, tidak mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai rasul akhir zaman, apakah alasan untuk tidak boleh berbaik-baik dengan rakan-rakannya yang sama-sama beriman dengan Allah SWT, sama-sama mengakui Rasulullah SAW sebagai utusan Allah bahkan solat mengadap kiblat yang satu.

Mengusahakan penyatuan Umat Islam adalah suruhan Allah di dalam al-Quran. Firman Allah SWT: Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar. (QS al-Nisa’: 114)

Perpaduan sesama Islam itu adalah tanda kasih sayang Allah kepada kita. Rahmatan lil Alamin dijelmakan di dalam penyatuan sesama Islam. Mereka yang menolak perpaduan ini sebenarnya telah menolak rahmatan lil alamin sepertimana yang sebenar! Firman Allah SWT dalam surah al Hujurat ayat 10 yang diakhiri dengan perkatan “rahmah” patut dihayati oleh umat Islam.

“Hanya sanya orang beriman itu adalah bersaudara maka perbaikilah hubungan persaudaraan antara saudara kamu, bertaqwalah mudah-mudahan kamu dirahmati” (QS al-Hujurat: 10)

Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts