Malaysia ikut ideologi Islam perangi wabak COVID-19

 

BANGI – Tindakan kerajaan Malaysia menangani dan memerangi wabak COVID-19 melalui arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah konsep yang telah diperkenalkan oleh Islam sejak 1,400 tahun dahulu.

Timbalan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, Malaysia menerima pujian daripada pelbagai negara lain dalam menguruskan pandemik ini, tidak kira dari segi sumber, pengurusan dan cara fikir yang dilihat lebih baik.

“Apabila berlaku wabak, para asatizah mula bercakap mengenai isu mudarat, isu taun dan panduan yang ada daripada sejarah Islam berkenaan isu itu ketika zaman Saidina Umar.

“Cuma satu masalah umat Islam, kita sentiasa menjadi pengikut kepada ideologi-ideologi lain sehingga tidak sedar sebenarnya Islam juga mempunyai ideologi yang cukup boleh berdaya saing dengan Barat dan komunis,” katanya dalam siaran langsung di laman Facebook ISMA, hari ini.

Ustaz Muhammad Fauzi berkata, mana-mana negara yang mengambil ideologi Islam, pasti dapat menyelesaikan dan menangani masalah kerana pengikutnya biasa menerima arahan dan taat kepada pemerintah.

Merujuk cara dan ideologi ekstrem Barat, beliau berkata, kebanyakan negara Barat meletakkan kebebasan terlalu luas yang tiada batas kepada rakyatnya demi memenuhi kehendak mereka.

“Kerajaan dalam pemikiran Barat cumalah alat untuk memenuhi apa juga kehendak rakyat. Mereka tidak dianggap sebagai penguasa, tetapi satu badan untuk memenuhi kehendak rakyatnya.

“Contoh, jika rakyat mahukan berhibur, jadi mereka benarkan pusat hiburan dan sebagainya dibuka. Bahkan, sekecil-kecil perkara pun mereka penuhi,” katanya.

Berbeza pula dengan ideologi ekstrem komunis, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, rejim itu bersikap meletakkan rakyatnya sebagai alat untuk memenuhi segala perintah.

“Rakyat tidak boleh memiliki, menikmati dan kebebasan peribadi sangat terbatas. Sebab itu Islam letak satu titik pertengahan, di mana negara yang mengikut ideologi Islam pasti boleh menyelesaikan masalah.

“Di negara kita, walaupun tidak sepenuhnya Islam tetapi kita terbiasa mendengar arahan. Dan itu adalah salah satu budaya yang datang daripada Islam,” katanya. – ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts