Putrajaya – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan besar-besaran Israel di bandar selatan Rafah di Gaza yang menjadi tempat orang awam berlindung.
Serangan kejam dan tidak berperikemanusaan itu akan meningkatkan lagi ketegangan serta malapetaka kemanusiaan dan pasti akan merencatkan segala usaha menghentikan peperangan dan gencatan senjata yang berkekalan.
Sehubungan itu, Malaysia menuntut Israel menghentikan serangan tersebut dan mematuhi segala peruntukan undang-undang antarabangsa.
Wisma Putra berkata, operasi ketenteraan yang berniat jahat ini dengan jelas memperlihatkan matlamat ulung rejim Zionis untuk menghapuskan rakyat Palestin dari tanah air mereka sendiri.
Ia dengan secara sikap angkuh rejim Zionis membelakangkan prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan jelas menghina keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa pda 26 Januari 2024 mengenai enam tindakan sementara yang mesti diambil oleh Israel.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh membenarkan tindakan sedemikian berlaku secara terang-terangan tanpa sebarang tindakan.
“Malaysia menyokong seruan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan berani menghalang malapetaka baru oleh rejim Zionis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, katanya, Malaysia menekan masyarakat antarabangsa supaya melaksana tanggungjawab dan menghentikan sebarang sokongan kepada rejim yang secara terbuka mengabaikan segala usaha untuk meredakan ketegangan.
“Malaysia kekal dengan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan Palestin dalam mendapatkan kembali hak-hak mereka untuk berdiri sendiri, penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967.
“… dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin dan diterima sebagai ahli anggota penuh PBB,” katanya.
Terdahulu, tentera penceroboh Israel mengebom bandar Rafah di selatan Gaza yang penuh sesak dengan penduduk sehingga membunuh dan mencederakan ratusan orang awam Palestin.
Pihak berkuasa kesihatan di Rafah melaporkan pembunuhan tragis lebih 100 orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita, dengan ratusan lagi cedera.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM