KUALA LUMPUR– Ketuanan syarak adalah tonggak bagi sesebuah pemerintahan dan negara Islam, tegas Ketua Penyelidik Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman.
Beliau berkata, ketuanan syarak memainkan peranan penting sebagai kuasa tertinggi dalam proses membuat keputusan pentadbiran serta penetapan undang-undang dalam sesebuah negara.
Bagaimanapun, ianya hanya dapat dilaksanakan jika kuasa berada di tangan orang Islam, sekurang-kurangnya dalam keadaan dominan, sekali pun tidak penuh.
“Terdapat tiga pihak dalam konsep ketuanan syarak, iaitu rakyat, pemimpin dan syarak. Rakyat memilih pemimpin, kemudian pemimpin kena ikut kehendak syarak.
“Dalam konteks negara kita, walaupun Perlembagaan tidak disebut secara jelas bahawa undang-undang syarak adalah yang tertinggi, namun, jika mengikut Perkara 3 dan juga perkara lain, Malaysia adalah negara Islam.
“Jadi, terpulang kepada umat Islam dalam negara ini untuk bertuankan syarak. Kalau benar-benar mempertuankan syarak maka ia menepati Perkara 3, tetapi ia hanya akan tinggal atas kertas sahaja kalau tidak diamalkan,” katanya ketika membentangkan kerja bertajuk Konsep Kenegaraan: Antara Islam dan Liberalisme di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Berbeza dengan negara Barat, katanya, konsep ketuanan yang diamalkan mereka sentiasa berubah dari semasa ke semasa.
“Pada asalnya Zaman Gelap, ketuanan mereka adalah kepada gereja dan raja, tetapi kini berubah kepada rakyat, mereka mengamalkan ketuanan rakyat, tetapi sebab ramai, maka dilantik pemerintah.
“Jadi tiada siapa yang dominan. Mereka sentiasa ada masalah. Pemimpin kena tunduk kepada rakyat. Mereka pening kepala sampai sekarang,” katanya.
Malangnya, dalam suasana Malaysia, Ustaz Hazizi berkata, ramai di kalangan Islamis mengangkat ketuanan rakyat tanpa memahami maksud sebenar.
“Ketuanan rakyat mengangkat kehendak manusia itu adalah tuan. Itu yang berlaku pada hari ini. Walaupun negara kita majoriti muslim tetapi suara songsang diraikan.
“Sebabnya, fahaman liberal telah diraikan dalam negara. Itu penyakit yang mula dijangkiti dalam pemikiran pemimpin kita pada hari ini,” katanya. – ismaweb
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)