KUALA LUMPUR: Malaysia sebuah negara penting untuk umat Islam kerana pemimpinnya lantang bersuara dan berani membuat keputusan demi kebaikan dan kepentingan umat Islam sejagat.
Menteri Hal Ehwal Islam, Wakaf, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Sheikh Saleh bin Abdul-Aziz bin Muhammad Al-Sheikh, berkata keprihatinan Malaysia terhadap permasalahan umat Islam seluruh dunia wajar dijadikan model.
“Arab Saudi juga menjadikan keprihatinan Malaysia ini, sebagai contoh terbaik,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Muktamar Khayr Ummah 2017 (KUC 2017) di sini, hari ini. Ucapannya dalam Bahasa Arab itu diterjemahkan ke Bahasa Malaysia.
Majlis penutupan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi, dan penceramah Dr Zakir Naik.
Mengulas lanjut, Sheikh Saleh berkata hubungan Malaysia dan Arab Saudi berada pada tahap terbaik dengan kedua-dua negara menjalin hubungan erat dalam sektor ekonomi, pertahanan dan dalam menangani ancaman keganasan yang turut dihadapi umat Islam seluruh dunia.
Katanya, kedua-dua negara juga turut bekerjasama dalam memperkasa fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sheikh Saleh berkata, penganjuran KUC 2017 yang pertama kali diadakan di peringkat ASEAN ini sangat penting dalam mengubah perspektif terhadap imej Islam.
“Muktamar ini juga turut menekankan peranan umat Islam sendiri untuk bersatu dan bersederhana dalam mendepani cabaran yang melibatkan agama Islam,” katanya.
Sebanyak 30 kertas penyelidikan dibentangkan pada KUC 2017 yang dihadiri lebih 1,200 peserta daripada beberapa negara termasuk Arab Saudi, Filipina, Thailand, Jepun, Indonesia, Vietnam dan Laos.
Muktamar yang julung kali diadakan itu, dianjurkan Kementerian Hal Ehwal Agama Islam Arab Saudi dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, JASA, Pertubuhan Al-Khaadem Malaysia dan Pertubuhan Ilmuan Malaysia, manakala Universiti Teknologi MARA pula berperanan sebagai penyelaras program. – Bernama
www.indahnyaislam.my