Malaysia tak patut sekat pramugari muslim bertudung

BANGI – Kebenaran pemakaian tudung bagi kakitangan penerbangan khususnya pramugari tidak sepatutnya menjadi polemik panjang sehingga ia rumit untuk dilaksanakan.

Apatah lagi, Malaysia tidak seharusnya menyekat pemakaian tudung dan menutup aurat bagi pramugari muslim, selaras dengan kedudukan sebagai sebuah negara Islam.

Ketua Wanita gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Suriani Sudi berkata, pramugari muslim wajar diberikan ruang untuk berpakaian menutup aurat dan bertudung ketika bertugas.

“Perjuangan ini sudah lama dan tidak seharusnya ia menjadi begitu payah untuk dibenarkan dan dilaksanakan.

“Sebagai sebuah negara Islam, Malaysia seharusnya tidak menyekat perkara ini dan seterusnya menggalakkan agar pakaian menutup aurat dipakai ketika bertugas,” katanya kepada Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang menyarankan kerajaan membenarkan pramugari muslim, terutama yang berkhidmat dengan syarikat penerbangan nasional, MAS Airlines, memakai pakaian menutup aurat ketika bertugas.

Dr Wan Martina berkata, peraturan itu wajar dimulakan MAS Airlines memandangkan syarikat itu milik kerajaan.

“Adalah wajar memberi kebenaran kepada pramugari muslim menunaikan hak-hak mereka sebagaimana disarankan agama Islam,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Dewan Negara, Isnin lalu.

Menyambut baik saranan itu, Dr Suriani berkata, Wanita ISMA juga berharap supaya pramugari muslim diberikan ruang untuk bertudung dan berpakaian menutup aurat ketika bertugas. -Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts