Malaysia tidak berganjak pertahankan Baitulmaqdis

 

PETALING JAYA: Malaysia tidak berganjak mempertahankan Baitulmaqdis walaupun Amerika Syarikat (AS) membuat beberapa ugutan termasuk menarik bantuan kewangan kepada negara yang menyokong draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung status ibu negara Palestin itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendirian Malaysia dan 33 lagi negara yang menaja bantahan terhadap segala usaha untuk mengubah karektor dan status Baitulmaqdis jelas demi kedaulatan ibu kota berkenaan.

Katanya, bantahan itu juga bukan sekadar mempertahankan Masjid Al-Aqsa tetapi keseluruhan ibu kota Al-Quds (Baitulmaqdis) dan kawasan sekitarnya yang bukan saja mendapat sokongan umat dan negara Islam tetapi negara bukan Islam serta kumpulan orang Kristian dan Yahudi Ortodok.

“Pendirian Malaysia akan tetap mempertahankan Baitulmaqdis seperti mana dipersetujui dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul minggu lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat dan merasmikan kilang Datasonic di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan Presiden AS, Donald Trump, mengugut untuk menghentikan bantuan kewangan kepada negara yang menyokong draf resolusi PBB berhubung isu Baitulmaqdis dan tindakannya menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung perkara sama, Isnin lalu.

Draf resolusi UNSC itu dibentangkan Mesir bertujuan membatalkan pengiktirafan Presiden Trump terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Sesi pengundian menyaksikan 14 ahli UNSC menyokong draf resolusi berkenaan, namun AS menggunakan kuasa veto menentangnya melalui dutanya ke PBB, Nikki Haley.

Draf resolusi itu menekankan status akhir Baitulmaqdis perlu diselesaikan menerusi rundingan sejajar dengan keperluan resolusi PBB.

Ahmad Zahid berkata, Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Seri Mohd Shahrul Ikram Yaakob, akan membentangkan pendirian Malaysia berhubung isu Baitulmaqdis di UNSC dalam minggu ini.

Katanya, Malaysia tidak bimbang dengan ugutan penarikan balik bantuan kewangan kerana bukan negara penerima sebaliknya menjadi negara yang juga memberi bantuan kewangan.

Ditanya mengenai kemungkinan tindakan memutuskan hubungan diplomatik oleh AS terhadap negara yang menentang negara itu dalam isu Baitulmaqdis, katanya beliau percaya AS bijak dalam menilai hubungan diplomatik dan hubungan keselamatan serta perdagangan.

Katanya, pendirian Malaysia berhubung isu yang spesifik ini bukannya mengenai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.

“Seperti diumumkan Perdana Menteri sebelum ini, kita harus membezakan hubungan diplomatik dengan hubungan dagangan dan jaringan hubungan lain kerana perkara ini (Baitulmaqdis) adalah pendirian spesifik .

“Saya percaya AS bijaksana mengasingkan isu ini dengan hubungan diplomatik dengan negara yang menolak pengiktirafan mereka berhubung Baitulmaqdis,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts