Manusia adalah makhluk yang Allah SWT ciptakan dengan sebaik-baik kejadian, ditiupkan ruh, dimuliakan ke atas semua makhluk ciptaan-Nya yang lain, diajarkan kepadanya nama-nama, ditawarkan kepadanya bebanan amanah dan dia menerimanya, dipermudahkan baginya semua di bumi dan di langit, dikurniakan pendengaran, penglihatan dan hati, diberikan petunjuk untuk memilih kebaikan, dan dengan keupayaan berfikir dia mampu untuk melangkaui segala keterbatasan dalam kehidupan ini bagi menghasilkan pencapaian ilmu dan kemajuan bagi mendatangkan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Insan yang memahami rahsia kewujudannya di dunia tidak akan membuang masa dalam kelalaian kerana tempoh hidup ini amat singkat dan mempersiapkan dirinya untuk berpindah ke alam yang penuh dengan kenikmatan yang kekal abadi. Dia tidak takutkan kematian kerana ianya hanya titik perpindahan dirinya kepada kehidupan akhirat yang pasti.
إن كنت أدركت سر مهمتك في الوجود، فأخلصت العمل للملك المعبود
“Jika anda memahami rahsia dan tujuan kehidupanmu, maka tumpukan hidupmu sepenuhnya bekerja/beramal untuk Allah SWT”
Syaitan dan bala tenteranya berusaha berterusan tanpa henti untuk menyesatkan manusia daripada memahami tujuan penciptaannya itu. Segala kebejatan dan kerosakan yang berlaku adalah untuk merosakkan hakikat insan dalam diri manusia. Lalu manusia bertukar menjadi seperti binatang-binatang bahkan lebih sesat daripada itu.
Kerana itu, usaha dakwah dan islah dalam masyarakat amat perlu bagi mengembalikan semula manusia kepada fitrahnya. Fitrah yang suci daripada penguasaan nafsu dan kefahaman yang menyeleweng. Biar pun usaha ini sukar dan tugasan dakwah itu besar, tapi jika dilakukan secara konsisten berdasarkan manhaj yang betul pasti akan mendatangkan hasil yang kita kehendaki.
Moga Allah SWT memberikan taufiq dan membantu usaha dakwah ini. – FB Shuhaib Ar-Rumy Selamat
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM