KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak tegas terhadap Israel yang melakukan kempen pembunuhan di Gaza dan Tebing Barat.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, PBB mesti menguatkuasakan undang-undang antarabangsa mengenai jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel.
Beliau berkata, Israel dilihat tidak mengendahkan gesaan untuk gencatan senjata sebaliknya meningkatkan pengeboman terhadap orang awam di Gaza yang kini mengorbankan lebih 5,000 nyawa dengan hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak.
Menurutnya, PBB juga dilihat tidak berdaya memaksa satu-satunya lintasan di Rafah dibuka untuk bantuan kemanusiaan dihantar kepada dua juta penduduk Gaza.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, kehadiran tentera PBB untuk menjaga keamanan dan melindungi orang awam kini lebih mendesak.
“Tanggungjawab PBB menjaga keamanan di Gaza adalah sangat mendesak. Kini nyawa orang awam di Gaza dan Tebing Barat berada di tangan PBB,” katanya menerusi kenyataan hari ini. – Bernama
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM