RAMADHAN saban tahun menjelang tiba dan berlalu pergi. Mungkin ada dikalangan kita yang berfikir bahawa Ramadhan hanyalah tentang puasa, atau tentang menahan diri dari segala perbuatan yang membatalkan puasa, sahaja. Lebih parah, ada dikalangan kita yang sebelum memasuki Ramadhan sudah memikirkan baju raya yang ingin dipakai ketika 1 Syawal nanti.
Ramadhan perlu dilihat dari kerangka yang lebih luas. Apa yang Ramadhan tawarkan kepada umat manusia? Apakah maqasid (objektif) yang diingin dicapai melalui Ramadhan? Apakah hikmah pensyariatan puasa dibulan Ramadhan? Itulah yang menjadi maudu’ (tajuk) perbincangan dalam penulisan kali ini.
Ketua Kesatuan Ulama Islam Se-Dunia, Al-Fadhil As-Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi pernah menyatakan yang beliau kurang setuju dengan tindakan sebahagian ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih cenderung untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup perbahasan pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati jumhur ulama sahaja.
Beliau berpendapat bahawa perbahasan terlalu panjang oleh ulama silam membincangkan perbuatan yang membatalkan puasa adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga digemari oleh ulama kotemporari sehingga ada yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan.
Berlalu masa, budaya ini dilihat semakin meluas apabila ijtihad dalam bab ini semakin bertambah hingga menyebabkan kesukaran masyarakat awam menjalankan ibadah ini dengan tenteram kerana perincian permasalahan furu’ (cabang) yang membatalkan puasa terlalu banyak. Ini mengkibatkan masyarakat awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan berada dalam kekeliruan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Malah amat dibimbangi perbincangan tentang isu permasalahan puasa yang terlalu mendalam akan meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan.[1]
Mencapai Taqwa
Kita semua sedia maklum dengan petikan dari surah al-Baqarah ayat ke 183 yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa”
Ayat di atas jelas meletakkan maqasid Ramadhan adalah untuk mencapai ketaqwaan kepada Allah s.w.t. Banyak pengajaran berkenaan Ramadhan yang boleh kita peroleh dari sepotong ayat yang dibawakan ini. Suka untuk penulis membawa para pembaca bersama menelusuri tafsiran ayat ini.
Imam Ibn Kathir menyebut bahawa firman Allah ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman dari kalangan umat manusia dan ini merupakan perintah untuk melaksanakan ibadah puasa. [2]Imam At-Tobari pula menafsirkan ayat ini : “Wahai orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, yang membenarkan kedua-duanya dan berikrar kepada keduanya”.[3]
Dari dua tafsiran ini jelas menunjukkan bahawa perkaitan rapat antara ibadah puasa dengan ciri-ciri orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Allah s.w.t hanya memerintahkan puasa ini kepada mereka yang beriman dan Allah s.w.t juga hanya menerima ibadah puasa dari jiwa-jiwa mereka yang beriman sahaja.
Imam Al-Qurtubi menerangkan tentang wajibnya pensyariatan puasa ini seperti mana wajibnya hukum qisas dan wasiat kepada orang-orang mukallaf pada ayat sebelumnya. “Sebagaimana Allah s.w.t telah menyebutkan wajibnya qisas dan wasiat kepada orang-orang yang mukallaf pada ayat sebelumnya, Allah s.w.t juga menyebutkan kewajipan puasa dan mewajibkannya kepada mereka. Tidak ada khilaf (perselisihan) pendapat mengenai kewajipannya”.[4]
Penafsiran Imam Al-Alusi berkenaan frasa “sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kalian” amat menarik. Beliau berpendapat bahawa di situ adanya penguat semangat, serta melegakan hati umat Muhammad. Kerana suatu perkara yang sulit itu jika sudah menjadi perkara yang umum dan biasa dilakukan kebanyakan orang (masyarakat sebelumnya), pasti akan menjadi perkara yang biasa sahaja.[5]
Kita tiba ke frasa yang menjadi perbincangan pokok iaitu “La’allakum tattaqun” (agar kalian bertaqwa). Perkataan “La’alla” (agar) di dalam Al-Quran mempunyai banyak maksud. Diantaranya, ta’lil (alasan, sebab) dan tarajji ‘inda al-mukhatob (harapan kepada orang yang diajak bicara). Dengan uslub ta’lil, kita dapat simpulkan bahawa alasan diwajibkan untuk berpuasa di bulan Ramadhan adalah untuk mencapai darjat taqwa. Kalau digunakan uslub tarajji, kita boleh tafsirkan dengan membawa maksud orang yang berpuasa berharap bahawa dengan puasanya itu dapat menjadikan dirinya insan yang bertaqwa kepada Allah s.w.t.[6]
Sebahagian ulama menafsirkan taqwa dengan “menjauhkan diri” dari makan, minum dan bersetubuh dengan isteri. Ada pula yang menafsirkan dengan erti “waspada” dengan syahwat yang muncul dari makanan, minuman dan berjima’ bersama isteri.
Dalam Tafsir Jalalain diterangkan secara ringkas bahawa : “Yang dimaksudkan ialah agar kalian bertaqwa dari segala maksiat. Kerana puasa mampu mengalahkan nafsu syahwat yang merupakan sumber kepada maksiat”.
Demikanlah jelas tujuan pensyariatan ibadah puasa di bulan Ramadhan, iaitu bertaqwa kepada Allah. Imam As-Syahid Said Qutb menyimpulkan dalam tafsirnya bahawa taqwa inilah yang membangkitkan kesedaran dalam hati sehingga mahu menunaikan kewajipan ini. Taqwa inilah yang menjaga hati sehingga tidak rosak puasanya dengan maksiat. Taqwa merupakan puncak ketinggian rohani orang-orang yang beriman, dan puasa ini merupakan salah satu alatnya dan jalan untuk mencapai taqwa.[7]
Pengertian Taqwa
Taqwa (kalimah Bahasa Arab) dari sudut bahasa berasal dari fe’el (perbuatan/verb) ittaqa, yattaqi, yang bermaksud berhati-hati, berwaspada, ataupun takut. Jika kita katakan “bertaqwa dari maksiat” bermaksud berwaspadalah kamu dan berhati-hatilah serta takutlah agar tidak terjerumus kepada lembah maksiat.
Dari sudut istilah, taqwa bermaksud melakukan ketaatan kepada Allah dengan cahaya Allah (dalil dan bukti), mengharap ampunan Allah, meninggalkan maksiat dengan cahaya Allah (dalil dan bukti), dan takut dengan azab Allah.[8]
Sifat orang bertaqwa ini jelas diikat dengan ilmu. Orang yang bertaqwa sentiasa beribadah, bermuamalah, dan mengerjakan kebaikan kerana adanya dalil dan bukti ganjaran dari Allah s.w.t. Bukan atas dasar taqlid buta, ikut-ikutan dan adat. Begitu juga sifat orang yang bertaqwa ini sentiasa takut untuk melakukan kemungkaran dan maksiat kepada Allah s.w.t kerana adanya dalil yang mengecam dan mengingatkan akan azab seksaan yang pedih.
Manifestasi Taqwa dan Ibadah Puasa
Pertama, seorang yang berpuasa haruslah meninggalkan apa yang diharamkan (perkara yang membatalkan puasa) serta segala bentuk larangan Allah s.w.t (perkara-perkara maksiat yang lain). Dia meninggalkan semua perkara ini demi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan mengharapkan redha-Nya.
Kedua, seorang yang berpuasa bermaksud individu muslim tersebut sedang melatih jiwanya untuk sentiasa muraqabatullah (merasakan diri sentiasa diawasi oleh Allah s.w.t). Dia meninggalkan segala kehendak hawa nafsunya (makan, minum dan segala perkara yang membatalkan puasa) padahal dia mampu untuk melakukannya tanpa diketahui oleh orang lain.
Ketiga, ibadah puasa sebenarnya telah menyempitkan pergerakkan syaitan dalam tubuh badan manusia melalui saluran darah. Seperti yang diriwayatkan dalam hadis sahih, “Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah.”[9]
Keempat, ibadah puasa dapat menambahkan ketaatan kepada Allah s.w.t. Amal ibadah ditingkatkan, masjid-masjid dipenuhi masyarakat, dihidupkan masjid dengan qiamullail jamai’e, majlis berbuka puasa di semua peringkat masyarakat, berlumba-lumba amalan berinfaq dan bersedekah di jalan Allah.
Kelima, seorang yang berpuasa dapat mendidik diri merasakan keadaan hidup mereka yang serba kekurangan serta merasakan penderitaan yang dilalui oleh faqir miskin. Hal ini dapat mendorong mereka untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan.
Fadhilat (kelebihan) Ramadhan
Baginda Nabi s.a.w banyak menyebut tentang fadhilat atau kelebihan puasa di bulan Ramadhan. Ini adalah janji dan jaminan Nabi s.a.w kepada umat baginda agar mereka lebih bersungguh-sungguh dan berlumba-lumba dalam mengerjakan amal ibadah.
- Lailatul Qadar
“Sesungguhnya bulan ini sungguh telah hadir pada kalian, dan didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barangsiapa yang terhalang (mendapat kebaikannya) maka sungguh ia telah terhalang dari kebaikan, dan tidaklah dihalangi kebaikannya kecuali bagi yang terhalang (dari kebaikan).”[10]
- Dosa lalu yang diampunkan
“Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan keimanan (kepada Allah) dan mengharap pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu, dan barangsiapa yang mendirikan Lailatul Qadr dengan keimanan (kepada Allah) dan mengharap pahala maka akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.”[11]
- Pahala yang berlipat kali ganda dan pemberian dari Allah s.w.t
“Puasa adalah untuk Aku. Aku yang memberi balasan setiap kebaikan itu dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ini kerana, puasa adalah untuk Aku dan (sudah tentu) Aku sendiri yang akan memberi balasannya”.[12]
Al-Hafidz Imam Ibn Hajar Al-Asqalani berkata tentang hadis di atas bahawa ibadah puasa ini dianggap sebagai ibadah khusus untuk Allah kerana ia bebas daripada unsur riak. Ini kerana, perlaksanaannya tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Orang yang sedang berpuasa dan orang yang tidak berpuasa sama sahaja dari segi luarannya. Berbeza dengan ibadah seperti solat, membaca al-Quran, berzikir atau bersedekah yang mana perlaksanaannya dapat dilihat secara terbuka dan membuka ruang timbulnya perasaan riak.[13]
Kesimpulan
Ramadhan merupakan bulan ‘durian runtuh’ yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hamba-hambaNya. Banyak perumpaan yang boleh kita beri untuk menggambarkan Ramadhan ini. Bulan yang mulia, bulan ibadah, bulan ‘re-charge iman’, ‘ibadah booster’, dan lain-lain. Apa yang penting adalah bagaimana kita menghayati erti sebenar Ramadhan itu dan memahami apa yang perlu dicapai sebagai seorang hamba Allah dengan peluang selama 30 hari yang diberikan kepada kita.
Telah diperjelaskan di atas apakah objektif sebenar Ramadhan, dan apakah sifat-sifat serta manifestasi taqwa. Diselitkan pula bersama fadhilat atau kelebihan-kelebihan yang terdapat di dalam bulan Ramadhan, maka inilah peluang untuk kita sama-sama berlumba serta meningkatkan amal ibadah kepada Allah s.w.t.
Sebelum mengakhir kalam, suka untuk penulis ingatkan diri sendiri dan kalian agar kita tidak hanya memfokuskan keutamaan pada bulan Ramadhan dan tidak pada bulan-bulan selainnya. Ini adalah salah faham yang sering kali berlaku di dalam masyarakat kita. Menjadikan Ramadhan sebagai ‘bulan penghapus dosa semata’ dan kemudiannya kembali kepada sikap atau perangai lama melakukan kemungkaran kepada Allah s.w.t.
Ramadhan perlu kita fahami sebagai agen perubahan dan kebangkitan jiwa-jiwa muslim. Seharusnya kita cuba sedaya upaya untuk mengekalkan momentum ibadah ketika di bulan Ramadhan agar kita sentiasa berada dibawah lembayung hidayah dan rahmat Allah s.w.t. Ingatlah, di antara tanda-tanda amalan kita diterima Allah s.w.t adalah kita beristiqomah dengan amalan tersebut.
Akhir kata,
“Kun Rabbaniyan wa la takun Ramadhaniyan”
“Jadilah hamba kepada Allah s.w.t dan jangan menjadi hamba kepada bulan Ramadhan”
Ustaz Afifi Saleh Abdul Rahman
Calon Sarjana Pengajian Hadis, USM
Rujukan:
[1] Dr Yusuf Al-Qaradahwi, Taysir al-Fiqh, Fiqh As-Siyam, ms 86-87
[2] Imam Ibn Kathir, Tafsir Qur’an Al-Adzim, 1/497
[3] Imam At-Tobari, Jami’ Al Bayan Fi Ta’wiil Al Qur’an, 3/409
[4] Imam Al-Qurtubi, Al-Jami’ Li Ahkam Al Qur’an, 2/272
[5] Imam Al-Alusi, Ruuhul Ma’ani Fi Tafsir Al Qu’ran Al-Adzim, 2/121
[6] Imam As-Suyuthi, Al-Itqan Fi Ulum Al-Qur’an,hal 504
[7] Said Qutb, Fi Dzilal al-Quran, 1/168
[8] Siyar A’lamin Nubala, 8/175
[9] Muttafaqun ‘alaih. HR. Bukhari no. 3281 dan Muslim no. 2175
[10] HR Ibnu Majah no. 1644 – Sanadnya dihasankan Syeikh Al-Albani dalam Sahih At-Targhib
[11] HR Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, no. 38, Sahih Muslim no. 761
[12] HR Imam Malik dalam al-Muwattho’, Kitab al-Siyam, no. 603
[13] Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, 11/20
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)