Marah melampau hingga nyawa melayang, Islam larang perbuatan itu

TULAR seorang penjawat awam maut selepas bertumbuk dengan seorang lelaki apabila dia dipercayai mengganggu isteri orang dalam kejadian depan sebuah premis di simpang empat, Kampung Sungai Hala, Machang, Kelantan, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, lelaki berusia 51 tahun tersebut meninggal dunia di Hospital Machang selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.

Difahamkan, mangsa bertugas satu pejabat dengan isteri suspek yang terlibat dalam kes tersebut.

Berdasarkan pemerhatian orang awam, pergelutan antara kedua-dua lelaki itu berlaku dalam tempoh 45 minit.

Melihat situasi di atas, kedua-duanya ibarat bertindak tanpa berfikir panjang sehingga melibatkan mangsa kehilangan nyawa akibat pergaduhan tersebut.

Ketahuilah, Islam amat menegah umatnya daripada melayani sifat marah, apalagi berkelakuan baran keterlaluan.

Nabi Muhammad SAW banyak kali mengingatkan umat Baginda bahawa betapa kejinya nafsu amarah yang tidak terkawal kerana ia antara pintu digunakan syaitan dan iblis dalam menguasai manusia.

Rasullulah SAW bersabda “Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Saat manusia marah, syaitan memasuki salur darah individu menyebabkan berlaku hilang pertimbangan akal fikiran, manakala wajah mulai merah dengan degupan jantung berlari kencang.

Tindakan itu mendorong manusia bertindak di luar kotak fikiran yang waras hingga boleh mengancam nyawa orang sekelilingnya termasuk diri sendiri.

Menurut Penasihat Darussyifa’ Semenyih, Ab Razak Mahadi, disebabkan itu, kadangkala apabila seseorang sudah reda kemarahannya, dia akan menyesali tindakan dilakukan kerana akal dan fikirannya dikawal syaitan sewaktu marah, malah boleh hilang pertimbangan.

“Ada dalam kalangan individu tengah marah, tidak sedar perbuatan dilakukan kerana ketika itu syaitan menguasai akal fikirannya,” katanya.

Ab Razak berkata, setiap umat Muslim perlu sedar, kegagalan mengawal kemarahan bererti tewas dengan tipu muslihat syaitan yang dilaknat ALLAH SWT.

Jelas beliau, Islam hanya membenarkan marah terhadap perkara berkaitan agama seperti apabila agama suci itu diperlekehkan atau perkara membabitkan soal haram dan halal serta suruhan dan larangan dalam syariat yang dipermainkan.

Terlalu banyak hadis yang memerihalkan supaya kita usah membiarkan diri daripada dikuasai nafsu amarah.

Dalam satu riwayat misalnya, ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah: “Berikanlah aku nasihat.” Baginda bersabda: “Jangan marah.” Maka orang itu mengulangi permintaannya tadi beberapa kali tetapi Baginda tetap menjawab: “Jangan marah.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Dalam hadis lain, diriwayatkan pada satu ketika ada dua orang saling mencela di sisi Rasulullah SAW. Salah seorang mencela lawannya dengan penuh kemarahan sehingga berubah wajahnya.

Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku akan ajarkan satu kalimah yang jika diucapkan, akan hilang apa yang ada padanya, iaitu sekiranya dia mengucapkan: ‘Aku berlindung dengan ALLAH daripada syaitan yang direjam’.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ujar Ab Razak lagi, pengaruh persekitaran nafsu berang dalam dunia akhir zaman sekarang amat begitu juga menggoda jiwa umat Islam, tetapi mereka perlu bermuhasabah dan mencontohi Rasulullah SAW.

“Marah perlu dikawal secara holistik yang boleh dilakukan dengan doa dan mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Malah kita juga disaran memastikan hanya makan daripada sumber halal,” katanya.

Renungkanlah firman ALLAH: “Dan jika engkau dihasut sesuatu hasutan daripada syaitan, maka mintalah perlindungan kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH MAHA MENDENGAR lagi MAHA MENGETAHUI.” (Surah al-A’raf ayat 200)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts