Masa depan Palestin pasca gencatan senjata masih kabur

 

BANGI – Masa depan Palestin pasca gencatan senjata setakat hari ini masih kabur dan tidak memberi harapan serta keyakinan baharu.

Ini terbukti apabila Semenanjung Gaza masih tetap dikepung rejim Zionis sama ada di darat, laut dan udara, kata Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Felo Kehormat di Institute of Arab and Islamic Studies, University of Exeter di United Kingdom, Mohd Irwan Syazli Saidi.

Beliau berkata, kompleks Baitulmaqdis yang diwartakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1947 sebagai kawasan antarabangsa pula masih di bawah kawalan Tel Aviv.

“Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dalam satu kenyataan media di Rumah Putih tetap bertegas bahawa Israel mempunyai hak untuk ‘mempertahankan diri’ daripada apa jua ancaman.

“… sama ada dari Gaza, Tebing Barat mahupun dunia luar, sekali gus memberi legitimasi tidak langsung kepada penjajahan moden dan agenda ‘pembersihan etnik’ Palestin oleh rejim Zionis, “ katanya menulis di Berita Harian.

Terdahulu, gencatan senjata antara Israel dan Palestin yang dikelola oleh Mesir mengakhiri peperangan selama 11 hari.

Ia sangat signifikan kepada penduduk Palestin kerana negara pengganas Israel telah mengaku kalah kepada Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Gencatan senjata tanpa syarat itu juga menamatkan peperangan yang disifatkan sebagai paling dahsyat pernah berlaku di Gaza sejak tahun 2014.

Bagaimanapun, kurang daripada tempoh 24 jam gencatan senjata itu berkuat kuasa, rejim pengganas Israel bertindak menyerbu ruang sekitar Masjid al-Aqsa dan melepaskan gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin yang baru sahaja selesai menunaikan solat Jumaat.

Bahkan, mereka turut naik ke bumbung Masjid al-Qibli serta mengacu senapang ke arah orang awam yang berhampiran.

Selari dengan pendapat sarjana terkemuka di Universiti Exeter, Profesor Ilan Pappe, Mohd Irwan berkata, penyelesaian jangka panjang kepada konflik itu adalah dengan pelaksanaan proses penyahjajahan atau dekolonisasi mutlak rejim Zionis terhadap Gaza dan Tebing Barat.

Selain itu, beliau menyarankan penyelesaian melalui proses liberalisasi Palestin menerusi pendekatan satu negara atau one-state solution.

“Pendekatan berasaskan aspirasi Palestin ini cuba mengadaptasi model Afrika Selatan yang berjaya menamatkan puluhan tahun dasar apartheid dan dasar diskriminasi terhadap penduduk kulit hitam di negara terbabit,” katanya.

Dengan pelaksanaan pendekatan satu negara, katanya, setiap rakyat tanpa mengira latar belakang agama dan keturunan sama ada Islam, Yahudi, Kristian, Arab mahupun bukan Arab akan dijamin hak dan kebebasan sebagai warganegara merdeka.

“Jutaan pelarian Palestin turut berpeluang kembali ke tanah air mereka, sekali gus mengimbangi komposisi asal kependudukan di rantau Asia Barat pra 1948,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts