Masih ada sinar realisasi impian rakyat Palestin

 

ASIA Barat sentiasa mencatat lembaran baharu dalam perkembangan politik antarabangsa. Rantau ini yang menjadi pentas persaingan kuasa dan pengaruh antara kuasa besar seperti empayar Assyria, Babylonia, Parsi, Byzantine, Islam dan kini Barat, menunjukkan kepentingannya dalam kelestarian ketamadunan manusia.

Rantau ini yang sering dianggap Barat sebagai mudah ditakluk, tetapi sukar dipengaruhi ideologi politiknya kerana di sinilah bermulanya peradaban tamadun dan kehidupan beragama samawi, khususnya Judaisme, Kristian dan Islam.

Rantau ini juga pernah mengecap zaman kegemilangan ilmu dan tamadun khasnya pada era Khalifah Abbasiyah yang berjaya mengangkat Baghdad sebagai kota ilmu dunia. Dari Kota Baghdad ini, penyebaran ilmu berteraskan ilmu wahyu terus berkembang ke Andalusia, seterusnya membawa Barat keluar daripada kegelapan kepada pembudayaan ilmu.

Cahaya kegemilangan rantau Asia Barat selanjutnya dimartabatkan Empayar Uthmaniyah. Namun, cahaya empayar Islam ini akhirnya terpadam apabila tunduk kepada kuasa Barat dalam Perang Dunia Pertama.

Pasca Perang Dunia Pertama menyaksikan peta baharu rantau Asia Barat dihasilkan melalui Perjanjian Sykes-Picot pada 1916 dan ditambah perjanjian Britain dengan Zionis melalui Deklarasi Balfour 1917.

Apa yang penting, pasca Perang Dunia Pertama, sempadan wilayah dan struktur politik rantau Asia Barat adalah sebahagian besarnya hasil buah tangan beberapa individu khususnya Lawrence of Arabia, Gertrude Bell, Perjanjian Sykes (Britain) dan Picot (Perancis) dan juga antara Arthur Balfour (Britain) dengan Lord Rothschild (Zionis).

Dalam erti kata lain, pasca Perang Dunia Pertama hingga masa kini, Asia Barat berada dalam genggaman pengaruh dan kuasa dunia hegemoni Barat.

Sejak berada dalam struktur politik hegemoni Barat, Asia Barat tidak pernah sunyi daripada peperangan, rampasan kuasa, isu pelarian, Arab Spring dan isu yang sentiasa mendapat perhatian, konflik Arab-Israel atau lebih popular kini ‘Konflik Israel-Palestin’.

Pelbagai usaha dan tindakan dibuat untuk menyelesaikan konflik ini, tetapi hingga detik ini, isu Palestin masih gagal menemukan sebarang penyelesaian. Bertambah malang lagi apabila beberapa negara Arab, iaitu Mesir pada 1979 dan Jordan (1994) bersetuju menamatkan persengketaan mereka dengan Israel. Terkini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

Dengan perkembangan terbaru ini, seakan-akan obor perjuangan Arab dahulunya gah dalam barisan ‘Tentera Pembebasan Arab’ ketika Perang 1948, 1967 dan 1973 kini semakin malap dan tidak bertaring.

Fokus negara Arab sudah tidak lagi tertumpu sepenuhnya dalam usaha membantu membebaskan dan membela rakyat Palestin, tetapi lebih kepada memenuhi kepentingan survival kendiri dan ‘jalan keluar’ untuk berhadapan dengan pergolakan politik serantau Asia Barat yang mewujudkan semula dua kem persaingan kuasa, antara Amerika Syarikat (AS)-Arab Saudi-UAE dan Russia-Iran-Syria.

Dalam meraikan kegembiraan apabila Hagia Sophia dikembalikan statusnya sebagai ‘masjid’ pada Julai atau secara rasminya solat Jumaat diadakan pada 24 Julai lalu, sewajarnya peristiwa hebat ini boleh menjadi harapan baharu agar rantau Asia Barat akan kembali mekar semula sebagai pusat kecemerlangan ketamadunan manusia berasaskan kepada pemartabatan syiar Islam.

Bersesuaian status Masjid Hagia Sophia yang bukan sahaja memudahkan pelawat mengunjunginya (berkemungkinan masuk secara percuma), malah pemuliharaan warisan agama Kristian Ortodoks khasnya adalah terjamin dan secara tidak langsung menunjukkan Islam sentiasa mendatangkan rahmat kesejahteraan kepada manusia sejagat.

Namun, apabila siri perjanjian damai Arab-Israel termeterai antara Israel, UAE dan Bahrain (dan mungkin ada negara Arab lain menyusul), suasana keceriaan malap kembali. UAE dan Bahrain semestinya dihujani kritikan, terutama dari Palestin sendiri yang sekian lama berjuang mendapatkan hak mereka semula.

Bermacam-macam teori dan andaian diutarakan mengapa UAE dan Bahrain bersetuju berdamai dengan Israel. Antaranya, usaha UAE untuk mendapatkan jet pejuang F-35 dari AS dan persetujuan Israel menangguhkan pembinaan penempatan haram di Tebing Barat.

Begitu juga Bahrain yang antara sekutu pakatan AS dalam kalangan Negara Teluk. Jika ditinjau dari segi sejarah sememangnya negara Arab gagal membebaskan Palestin daripada cengkaman Zionis. Dalam siri peperangan 1948, 1967 dan 1973 khususnya, negara Arab tidak mampu menewaskan Israel secara ketenteraan yang sentiasa mendapat bantuan AS.

Begitu juga dalam siri rundingan damai antara Arab/Palestin-Israel, hampir semuanya menemui jalan buntu. Perjanjian Oslo 1993 antara Israel-Palestin sudah cukup menjadi bukti, walaupun indahnya inti pati perjanjian tertulis, termasuk penubuhan Negara Palestin merdeka, tetapi hingga kini ia gagal dijayakan.

Malah, Arab Initiative 2002 yang dinukilkan sendiri negara Arab tidak mampu untuk membawa impian jutaan rakyat Palestin ke alam realiti.

Di sebalik siri kegagalan ini, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk negara Arab berundur dari medan perjuangan. Mereka perlu terus bersama-sama nekad dengan rakyat Palestin untuk berjuang. Negara Islam lain, terutama Turki dan Iran, selain Malaysia akan sentiasa berada pada pihak Palestin untuk memastikan nasib dan kemaslahatan mereka terbela.

Hakikatnya, ia tugas berat untuk digapai memandangkan dunia Islam sudah tidak lagi berada di singgahsana pimpinan dunia. Namun, ia tidak seharusnya mematahkan semangat umat Islam untuk sentiasa beriltizam menunjukkan komitmen tinggi mendokong cita-cita dan impian rakyat Palestin.

Faktanya ialah kekuatan Islam bukanlah semata-mata terletak pada institusi khalifah. Punca utama kekuatan Islam terletak kepada ajaran Islam itu sendiri yang sentiasa berkembang melalui dakwah dan jika dapat dihayati serta dipraktiskan semula umat Islam, nescaya tidak mustahil dunia Islam akan kembali bergema.

Punahnya, umat Islam kini tidak lagi menghayati inti pati ajaran Islam sebenar. Contoh paling tepat, perintah pentingnya bersatu dan mengukuhkan tali silaturahim. Ternyata apa jelas, umat Islam berbalah sesama sendiri.

Malah, mereka sanggup menumpahkan darah seagama sendiri seperti yang berlaku di Asia Barat kini. Dalam perkataan lain, sebelum umat Islam menuding jari kepada pihak lain mengenai kelemahan, mereka wajib cermin diri sendiri terlebih dahulu.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts