Masjid mesra kanak-kanak, mudahkan ibu bapa solat tarawih

 

IPOH – Di sesetengah masjid, ada ibu bapa terpaksa pulang awal daripada menunaikan solat tarawih kerana bimbangkan anak-anak yang mula meragam dan menangis.

Namun lain pula situasi di Masjid Sultan Idris Shah II atau lebih dikenali Masjid Negeri di Ipoh ini apabila anak-anak tidak mahu pulang kerana terlalu gembira bermain di zon kanak-kanak yang disediakan khusus oleh jawatankuasa masjid.

Inisiatif menyediakan zon kanak-kanak itu tercetus selepas mendapati ramai kalangan jemaah yang bertarawih datang membawa bersama anak-anak kecil berusia 7 tahun ke bawah.

Ditempatkan di tingkat atas bersebelahan ruang solat tarawih, zon kanak-kanak di Masjid Negeri ini bukan sahaja selamat, malah di dalamnya tersedia pelbagai jenis mainan dan buku aktiviti untuk dilakukan sepanjang solat berlangsung.

Imam Besar Masjid Negeri, Abd Farid Salleh berkata, tidak salah membawa anak-anak ke masjid malah ia satu perbuatan yang digalakkan.

“Cumanya di pihak jawatankuasa perlu bijak mengendalikan situasi bagaimana mahu menjadikan masjid sebagai tempat mesra kanak-kanak, satu daripada usaha kita lakukan adalah dengan menyediakan zon kanak-kanak seperti ini,” katanya.

 

 

Beliau berkata, zon kanak-kanak di masjid itu menggunakan ruang bilik anjung yang baru sahaja siap diubahsuai tahun lalu dan boleh memuatkan 30 orang dalam satu-satu masa.

Katanya, buat masa ini, hanya kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun dibenarkan ditempatkan di situ bermula jam 8.30 malam hingga 10.30 malam sementara tujuh tahun ke atas digalakkan solat bersama ibu bapa masing-masing.

“Bilik ini juga dilengkapi penyaman dingin dan antara permainan disediakan adalah lego, kapal terbang mainan, anak patung juga buku-buku aktiviti matematik, melukis dan mewarna. Hampir 90 peratus barangan mainan ini adalah hasil sumbangan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, mengambil kira faktor keselamatan, setiap ibu bapa yang mahu menempatkan anak mereka ketika tarawih, perlu mengisi borang pendaftaran dan mereka akan diberikan kad khas yang akan diserahkan sebaik solat selesai.

Jelasnya, langkah itu sebagai tanda persetujuan antara ibu bapa, juga mengelak berlaku perkara tidak diingini sepanjang anak mereka ditinggalkan.

“Setiap malam akan ada dua kakitangan dari Pejabat Pentadbiran Masjid Negeri dan pasukan sukarelawan secara bergilir membantu memantau kanak-kanak yang diletakkan di zon ini.

“Sepanjang empat hari puasa ini, lebih 40 keluarga telah mendaftar, ada juga sebahagian kanak-kanak ini terlalu leka bermain hinggakan tidak mahu pulang,” katanya.

Abd Farid berkata, kewujudan zon kanak-kanak itu diharap dapat menggalakkan lebih ramai jemaah kalangan ibu bapa datang menunaikan solat di masjid dan menjadi contoh kepada jawatankuasa masjid yang lain.

Katanya, bagi masjid-masjid lain yang tidak mempunyai ruang besar, boleh menggunakan balai lintang atau membuat pembahagian sebagai tempat khas kanak-kanak.

“Kemudahan parkir dan ruang solat di kebanyakan masjid-masjid di negeri ini sudah cukup selesa, jadi dengan adanya usaha menambah sedikit ruang untuk kanak-kanak, pasti akan memberi lebih kebaikan kepada jemaah,” katanya.

Masjid Negeri yang dibina sejak 50 tahun lalu mampu menempatkan lebih 5,000 jemaah dan sepanjang Ramadan ini, lebih 1,000 jemaah termasuk dari luar kawasan Ipoh seperti Simpang Pulai dan Bercham mengambil peluang menunaikan solat tarawih di situ. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts