SUNGAI SIPUT: Masjid India Muslim Sungai Siput (U) di sini menjadi rumah ibadat pertama di negeri ini yang menyediakan kemudahan mesra musafir dan dibuka selama 24 jam.
Masjid menyediakan kemudahan lengkap kepada jemaah untuk menunaikan solat khususnya kepada musafir yang singgah termasuk membenarkan mereka untuk bermalam di masjid berkenaan.
Pegawai Penyelaras Masjid Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi Daerah Kuala Kangsar, Faizal Mohd Sapri, berkata pembukaan masjid berkenaan menjadi titik tolak kepada hasrat untuk menjadikan kesemua 671 masjid di seluruh negeri sebagai pusat sehenti bagi program keagamaan.
“Ia satu permulaan yang baik dan kita mengharapkan pusingan aktiviti (keagamaan) selama 24 jam di masjid ini dapat dikembangkan kepada semua 76 masjid dan 255 surau di daerah Kuala Kangsar ini khususnya dan negeri ini amnya.
“Pembukaan pusat sehenti 24 jam di rumah ibadat ini akan dipenuhkan dengan pelbagai pengisian agama sekali gus dapat mengelak persepsi masyarakat bahawa masjid bukanlah hanya digunakan untuk ruang solat sahaja semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pemasangan Papan Tanda dan Pembukaan Masjid Mesra Musafir 24 jam bagi Masjid India Muslim Sungai Siput (U) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Masjid, Abd Rahim Gulam Kadar dan penyumbang utama pembinaan masjid, M Yogendirabalan.
Faizal berkata, usaha dan naik taraf masjid berkenaan yang juga disumbangkan oleh masyarakat bukan muslim menunjukkan sifat harmoni pemimpin dan masyarakat setempat.
“Inilah yang kita harapkan dengan kaedah masjid mesra musafir ini ia mencerminkan pentadbiran masjid yang sedang bergerak ke arah kecemerlangan dan perpaduan,” katanya.
Sementara itu, Abd Rahim berkata, masjid berkenaan yang sudah ditubuhkan kira-kira 80 tahun lalu sudah dinaiktaraf sejak 1993 dan dibuka selama 24 jam untuk kemudahan masyarakat setempat dan musafir sejak dua tahun lalu.
“Selain kemudahan dari segi ruang untuk menunaikan solat, kita akan memperbanyakkan lagi pengisian berbentuk keagamaan dari masa ke semasa selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Yogendirabalan pula berkata, sumbangan yang dikeluarkan membabitkan pelbagai perkara bagi menaik taraf struktur bangunan, kemudahan dan papan tanda terhadap masjid berkenaan. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)