Soalan: Salam ust, bukankah solat witir itu disebut sebagai solat penutup.. jadi boleh ke kita buat solat sunat lain selepas tu? contoh macam buat witir sebelum tidur kemudian qiam selepas bangun dari tidur.
Jawapan:
Benar, dalam syarak solat sunat Witir ada disebut sebagai solat penutup bagi ibadah malam. Ini berdasarkan satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim:
( اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا )
Jadikanlah solat kamu yang terakhir pada waktu malam solat sunat Witir
Ulama membincangkan hadis ini lalu menyimpulkan yang dimaksudkan arahan disini tidak membawa maksud wajib tetapi hanya bermaksud sunat atau boleh dikatakan yang terbaik ialah menjadikan solat Witir itu sebagai solat yang terakhir. Rasulullah saw juga pernah melakukan solat sunat selepas solat Witir berdasarkan satu hadis riwayat Muslim yang menceritakan:
أنَّه صلَّى ركعتيْنِ بعد الوتر وهُو جالس
Bahawa Baginda melakukan solat sunat dua rakaat selepas solat Witir dalam keadaan duduk
Imam an-Nawawi menyebutkan dalam kitab al-Majmuk
إذا أوتر ثم أراد أن يصلي نافلة أم غيرها في الليل جاز بلا كراهة ولا يعيد الوتر
Apabila seseorang kamu telah melakukan solat sunat Witir kemudian dia hendak melakukan solat sunat lainnya maka ianya diharuskan tanpa makruh dan tidak perlu untuknya melakukan solat sunat Witir yang lain.
Ibnu Hazam menyebut dalam al-Mahali:
والوتر آخر الليل أفضل . ومن أوتر أوله فحسن , والصلاة بعد الوتر جائزة , ولا يعيد وتراً آخر
Witir yang paling afdhal adalah penghujung malam (solat sunat terakhir), namun solat Witir pada awal malam (sebelum tidur) adalah hasan (bagus) dan solat sunat selepas solat Witir adalah diharuskan serta tidak perlu untuknya melakukan solat sunat Witir lain setelah itu.
Berdasarkan pandangan ulama diatas jelas disini melakukan solat sunat setelah solat Witir adalah diharuskan. Cumanya tidak perlu untuk mengulangi solat sunat Witir yang lain jika sudah dilakukan pada awalnya berdasarkan kepada hadis Nabi saw:
لا وتران في ليلة
Tidak ada dua (solat) Witir dalam satu malam (riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)
Wallahua’lam
Ustaz Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Sumber: http://muis.org.my/2017/07/melakukan-solat-sunat-selepas-solat-sunat-witir/
www.indahnyaislam.my