Melayu akan bebaskan Baitulmaqdis: Sheikh Nawaf Takruri

 

KUALA LUMPUR: Saya percaya bangsa Melayu akan membebaskan Masjid Al Aqsa. Perkara ini akan berlaku, Insya Allah,” kata Presiden Kesatuan Ulama Luar Negara Palestin, Sheikh Dr Nawaf Takruri.

Sheikh Nawaf berkata, Malaysia sentiasa berada di belakang Palestin memperjuangkan kebebasan dan hak umat Islam tanpa kompromi.

Katanya, beliau yakin Malaysia akan mara sebagai mujahidin (pejuang) bersama bala tentera untuk memperjuangkan nasib Baitulmaqdis yang diiktiraf Presiden Amerika Syarikat sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke wilayah itu.

“Seperti mana pejuang Salahuddin Al Ayubi, dia bawa bala tenteranya disertai orang bukan Arab untuk membebaskan Baitulmaqdis.

“Di bawah pimpinan Sultan Abdul Hamid, Turki menaungi Masjid Al Aqsa. Insya Allah, akan berlaku bangsa Melayu membebaskan Masjid Al Aqsa,” katanya.

Beliau menjawab soalan mengenai saluran untuk berjihad ketika menjadi panel Forum Antarabangsa MyAqsa bertajuk 100 Tahun Musibah Balfour, di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Panel lain ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin At-Takiri, dan Ketua Unit Hak Asasi Manusia dan Pertubuhan Antarabangsa, Jabatan Peguam Negara, Salahudin Datuk Hidayat Shariff.

Sesi berkenaan dihoskan Felo MyAqsa, Wan Mohd Sharafi Wan Mustafa.

Ketika ditanya hubungan politik Amerika Syarikat dengan negara-negara Arab, Sheikh Nawaf berkata Malaysia perlu berpegang teguh kepada pendirian membebaskan Baitulmaqdis dan mengutamakan masa depan Islam walau berdepan pelbagai cabaran.

“Pemimpin Arab hari ini lebih menjaga kepentingan dan kedudukan masing-masing, bukannya kemaslahatan dan kesucian umat Islam,” katanya.

Sementara itu, Khairuddin berkata rakyat Malaysia perlu menyatakan solidariti membebaskan Baitulmaqdis melalui doa, bantuan kewangan dalam pelbagai cara termasuk ketenteraan dan ekonomi sehingga musibah itu berakhir.

“Kita tidak ajak rakyat kita ke Palestin tetapi wajib buat dengan doa, bantuan kewangan dan prihatin dalam isu ini. Kalau orang protes, orang bising, kita tidak ambil perhatian, maksudnya kita tidak prihatin nasib saudara kita.

“Bangkit bermusim sudah jadi adat rakyat kita, tetapi kesedaran kena sentiasa ada. Waktu sedar kita kena bangkit berpanjangan, bukan bangkit sehari diam setahun. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta bangkitkan isu ini sehingga berakhir,” katanya.

Sementara itu, Salahudin mahu Malaysia menggunakan pentas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mencabar Perjanjian Balfour yang dilihat sebagai retorik politik kuasa-kuasa besar.

“Sampai sekarang Malaysia, satu-satunya negara yang tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara. Jadi cara terbaik adalah OIC mencabar Perjanjian Balfour di mahkamah antarabangsa atau negara Islam bergabung di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perjuangkan isu ini. Itu lebih baik,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts