Bila ada orang memberi, itu tidak bermakna dia ada lebihan. Itu bermakna dia mahu memberi.
Berapa ramai orang yang banyak lebihan tetapi tidak pun memberi, berapa ramai orang yang hidupnya serba tak cukup tetapi pemberiannya cukup banyak.
Isu memberi bukan isu teknikal. Ia adalah isu hati dan kemahuan.
Jalan untuk membanyakkan pemberian bukan dengan membanyakkan lebihan, tetapi lebih kepada mendidik kemahuan dan menjernihkan hati, mendidiknya agar sentiasa mengutamakan apa yang ada di sisi Allah berbanding apa yang ada di sisi manusia.
Nabi SAW adalah sepemurah manusia, walaupun baginda SAW bukanlah orang yang kaya. Baginda juga mengajarkan ahli suffah (golongan yang hidup di perkarangan masjid Nabi SAW), agar menjadikan zikir tasbih tahlil sebagai ganti sedekah harta.
Isunya di sini Nabi SAW sentiasa meluaskan makna memberi, dan tidak menghadkan pemberian itu hanya berbentuk material.
Baginda SAW mengajar sahabat untuk sentiasa melihat kepada hakikat, bukan semata-mata pandangan bersifat lahiriah, yang bukan perkara yang sebenar.
Demikian Nabi SAW mentarbiah hati para sahabat, menyamakan mereka pada titik kemahuan, seterusnya melalukan mereka pada kitarannya yang tersendiri.
Cabaran tarbiah hari ini adalah cabaran menghalakan pandangan masyarakat agar melihat neraca hakikat, kerana zaman kini yang diterajui arus kebendaan, teknologi, kosmetik yang melampau, arus yang meraikan kecenderungan nafsu berbanding neraca akal, semuanya itu adalah arus yang menghakis keislaman jatidiri generasi pada hari ini.
Terlepas pandang isu ini, akan menjadikan kita hanyut dalam arus gelap yang penuh perangkap dan penipuan.
Wallahua’lam
Ustaz Syamil Esa
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)