Tanggal 12 Rabiulawal tiba lagi menandakan ulang tahun kelahiran junjungan Nabi SAW. Walaupun terdapat perselisihan pada tarikh sebenar Baginda dilahirkan dalam kalangan sejarawan Islam, namun apa yang lebih penting ialah bagaimanakah untuk lebih menghayati perjuangan Baginda SAW.
Tidak dapat dinafikan, banyak pihak mengambil peluang dan kesempatan untuk menganjurkan majlis-majlis selawat, ceramah, malam cinta rasul mahupun apa jua aktiviti bagi meraikan mawlid nabi ini. Tidak ketinggalan dalam media massa turut menyajikan siaran-siaran yang berbentuk keagamaan pada hari-hari dan minggu kebesaran ini. Alhamdulillah, suatu yang perlu disyukuri apabila adanya syiar membesarkan hari kelahiran baginda ini. Pastinya ada pahala mengalir buat para penganjur, penyiar, individu dan masyarakat yang meraikan.
Namun, tanpa kita sedari adakah majlis-majlis ini hanya terhad kepada pada masa-masa ini sahaja? Dan antara persoalan penting juga adakah majlis-majlis dan siaran-siaran sebegini akan terus meninggalkan kesan yang berpanjangan pada diri masyarakat dalam menghayati perjuangan baginda?
Atau adakah penghayatan itu turut berakhir apabila berakhirnya majlis-majlis dan siaran-siaran pada hari-hari tertentu tersebut sahaja dan kemudiannya diteruskan semula dengan amalan-amalan yang memenangkan nafsu dan agenda taghut pada hari berikutnya?
Di sini penting untuk kita merefleksi semula apakah makna di sebalik kelahiran dan perutusan Baginda. Keistimewaan Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada manusia sebagai penutup para nabi mempunyai mesej yang besar untuk dihayati dan dimanifestasi. Tujuan perutusan Baginda sebagai utusan terakhir adalah sebagai pelengkap dan penyempurna kepada risalah wahyu daripada Yang Maha Agung.
Hal ini menunjukkan segala sunnah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW bukan sahaja dari aspek percakapan, perbuatan dan pengakuan baginda sahaja yang perlu diikuti dalam kehidupan peribadi tetapi juga perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar lagi iaitu dari aspek perjuangan baginda dalam membina peradaban ummah yang akhirnya membawa kerahmatan dan kemaslahatan kepada ummat dan seluruh alam.
Hakikat yang tidak boleh dinafikan, kejayaan tamadun Islam yang pernah bertapak menguasai dua pertiga dunia suatu masa dahulu adalah hasil daripada praktis Islam secara kulli (menyeluruh) bermula dari zaman pembinaan daulah Madinah di bawah kepimpinan Nabi. Segala lapangan kehidupan dari aspek ruhaniyat, ekonomi, politik, perundangan, budaya, sumber alam, keselamatan dan lain-lain kesemuanya adalah berasaskan falsafah wahyu yang dibawa oleh Rasulullah SAW bersumberkan daripada Pencipta dan Penguasa Agung.
Namun, berlalunya masa, asas-asas ini telah mula dilupakan disebabkan kemewahan harta, ketaksuban kuasa dan kesibukan melayan keseronokan dunia yang lebih mengasyikkan. Kealpaan berpunca daripada penyakit wahn (cinta dunia) yang menular dari zaman ke zaman, sehinggalah ke waktu ini menyebabkan Islam terus kehilangan peradabannya dan lebih banyak tertumpu kepada pengamalan syiar-syiar Islam secara juz’ie dan terpisah-pisah.
Dengan itu, bersempena kedatangan mawlid Nabi ini wajarlah kita bukan sahaja menyertai keraian-keraian yang dianjurkan tetapi turut juga bersama-sama menghayati semula tujuan pengutusan Rasul agar Islam sentiasa tinggi memenangi hawa nafsu yang cenderung kepada agenda taghut menerusi pengamalan Islam secara keseluruhan dalam setiap bidang-bidang lapangan kehidupan secara keseluruhannya sehingga peradaban Islam dapat dikecapi semula.
“Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya” (Surah As-Saff: 9)
Dr Nabilah Huda binti Zaim
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Akademi Pengajian Islam Kontomporari (ACIS)
Penyelidik MUIS
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM