Memanah sebagai sukan dan simbol kekuatan tentera Islam

 

ISLAM menggalakkan umatnya bersukan secara kerap bagi mengekalkan tahap kecergasan diri yang seterusnya membantu untuk menunaikan ibadah dengan sempurna dan khusyuk. Umumnya, apa saja aktiviti bersukan atau riadah yang menyihatkan dan memberi manfaat kepada tubuh badan manusia boleh dianggap sebagai sunnah.

Bagaimanapun sukan seperti memanah, berkuda dan berenang antara yang ditekankan apatah lagi terdapat dalil dan sirah Rasulullah SAW terhadap sukan ini. Antaranya hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya “Ajarlah anak kamu berenang dan memanah,”.

Pendakwah, Yusri Musa, berkata ulama berpendapat hadis ini adalah daif, ia sebenarnya adalah kata-kata daripada Umar al-Khattab RA dan bukannya hadis Nabi SAW.

Namun terdapat hadis yang lebih jelas menunjukkan kepentingan sukan memanah, berkuda dan berenang misalnya daripada Uqbah bin Amir, aku mendengar Nabi SAW bersabda ketika di atas mimbar: Maksudnya: “Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang mensceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah),” (Riwayat Muslim).

Tegas Yusri menerusi hadis ini, Rasulullah SAW menyuruh umatnya mencari kekuatan yang mana ia terdapat dalam sukan memanah.

“Sukan memanah ini boleh dikaitkan secara langsung dengan kekuatan hati, akal dan jasad. Seseorang yang memanah menggunakan mata hatinya menjadikannya lebih yakin dan tenang manakala akal yang fokus melahirkan pemikiran yang tajam.

“Malah dari segi jasad pula, sekiranya busur panah itu ditarik dengan kaedah yang betul, ia mampu memberi kelegaan kepada badan.

“Ia menunjukkan setiap sunnah itu ada hikmah dan setiap hikmah itu ada karamah atau keistimewaannya yang kita tidak tahu,” katanya.

Yusri berkata sukan memanah juga boleh dikaitkan dengan ibadah solat yang mana pergerakan solat itu sendiri mempamerkan ilmu seni mempertahankan diri.

Digalak laung takbir

“Pergerakan dalam solat itu sendiri, jika diamati adalah ilmu seni mempertahankan diri. Apabila mengangkat takbir, ia tanda mengagungkan kekuasaan manakala sujud pula sebagai tanda menghambakan diri kepada Allah SWT.

“Jadi apabila ingin melakukan panahan, digalakkan untuk melaungkan takbir seperti mana yang diamalkan oleh Sahabat RA ketika memanah dalam perang.

“Begitu juga apabila memanah, ia mengajar kita menjadi lebih fokus. Apabila dipraktikkan dalam solat, ia membantu untuk khusyuk,” katanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jugalah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah juga yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripada-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Anfaal :17)

Yusri menjelaskan, ulama berpendapat ayat ini diturunkan dalam peristiwa Perang Khaibar apabila Rasulullah SAW meminta anak panah lalu menghalakan kepada tentera Khaibar langsung menewaskan Ibnu Abi Huqair.

Kuasai kemahiran memanah

“Ayat ini menjelaskan bahawa bukan Rasulullah SAW yang melepaskan anak panah tapi berlaku atas izin dan kehendak Allah SWT.

“Malah dalam perang yang disertai oleh Rasulullah SAW dan Sahabat RA, atas ketakwaan dan kebergantungan yang tinggi kepada Allah SWT, mereka percaya bahawa panahan yang dilakukan hingga menewaskan tentera musuh itu bukan atas daya mereka sebaliknya dengan pertolongan Allah SWT,” katanya.

Tambah Yusri, Rasulullah SAW menyuruh umatnya menguasai kemahiran memanah bukan untuk bersukan saja tapi juga sebagai persediaan untuk masa depan. Dalam peperangan di zaman Rasulullah SAW, memanah adalah simbol yang menjadi kekuatan dan tunjang utama kepada tentera Islam.

Mengambil kisah daripada Perang Uhud, Yusri berkata Rasulullah SAW mengarahkan briged memanah yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair supaya terus bertahan di Bukit Uhud.

Namun disebabkan mengingkari arahan Rasulullah SAW, tentera Islam mengalami kekalahan walaupun ketika itu sudah di ambang kemenangan.

“Apabila melihat ghanimah (harta rampasan perang) yang banyak, tentera Islam turun daripada Bukit Uhud dan mengingkari arahan Rasulullah SAW. Tentera musuh yang diketuai oleh Khalid al-Walid menyedari pertahanan tentera Islam sudah longgar dan menyerang kembali.

“Ia menyebabkan tentera Islam mengalami kekalahan dan 70 pejuang Islam syahid,” katanya.

Sumber: Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts