Memasuki 2016, Al-Haq hanya ada pada Islam

12400449_1201731743174253_5959783584770939768_n

 

SEDANGKAN gunung dan matahari pun tunduk! Inikan pula kita manusia lemah tetap ingin melawan sunnah aturan ketetapan Allah?

“Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah (termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkan-Nya”. (Al-Hajj:18)

Ya. Itulah hakikat dan realiti yang kita perlu sama-sama akui. Saya dan anda semua. Cukup hanya dengan kita melihat, merenung dan memerhati kejadian dan penciptaan segala yang ada di alam semesta ini dengan penuh jujur dan insaf, kita akan mengakui betapa sungguh teraturnya alam ciptaan Allah Maha Kuasa.

Matahari, bulan, planet-planet, bersilihnya malam dan siang, musim panas dan sejuk yang bergilir, juga musim luruh dan bunga yang indah, fenomena air pasang dan air surut setiap hari. Itu semua adalah tanda jelas bahawa alam ini bergerak tidak dengan sesukanya tetapi tunduk patuh dengan aturan yang telah ditetapkan Penciptanya.

Begitu jugalah halnya apabila kita berbicara akan hal isi dan inti seruan perjuangan para Anbiya’ as kepada umat manusia.

Para Anbiya’ tidak mereka-reka sendiri dalam hal menentukan inti dan isi seruan perjuangan mereka. Tidak ada ruang ijtihad di situ. Seruan mereka jelas dan terang. Seruan agar manusia keseluruhannya kembali menghambakan diri (‘ubudiyyah) kepada Allah SWT tunduk patuh kepada Allah sebagai Robb dan melaksanakan syariat yang telah diperintahkan Allah.

Inilah seruan yang dirakam berulang kali di dalam Al-Quran. Melalui lisan para Anbiya. Inilah seruan ketuhanan (rabbani) yang telah ditetapkan oleh Allah, sebagaimana juganya Allah telah menetapkan aturan sistem kejadian alam ini.

“Sesungguhnya Kami utuskan kepada tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkan agar mereka menyeru manusia): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. (An-Nahl: 36)

Ya, benar. Kaedah atau method penyampaian seruan itu, sudah jelas pastinya boleh mengikut kreativiti dan akal fikiran pendakwah. Tetapi inti seruan itu harus tetap dan tidak berubah.

Justeru, pada hemat saya, sebagai seorang muslim, kita harus (bahkan wajib) insaf dan memuhasabah diri kita sentiasa. Kita perlu faham sunnah Allah dalam perjuangan para Anbiya’. Ia bukan perjuangan biasa-biasa atau berbentuk hobi, di mana sekadar mengisi masa lapang. Juga pastinya bukan untuk mengikut trend semasa. Ia berkait langsung dengan soal aqidah kita sebagai seorang muslim apabila kita mengatakan bahawa kita ingin mengajak dan menyeru manusia kepada kefahaman Islam yang sahih dan hakiki.

Allah tidak sesekali menjadikan Islam sebagai agama anutan yang boleh untuk berdiri sama tinggi dengan agama atau ideologi lain. Apatah lagi untuk duduk sama rendah. Tidak sama sekali! Allah telah menetapkan bahawa hanya Islam yang akan menjadi satu-satunya agama penyelamat di sisi Allah mengatasi agama-agama lain.

“Dia lah (Allah) yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad s.a.w) membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), dengan tujuan untuk memenangkannya dan meninggikannya mengatasi segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (As-Saaf: 9)

Apabila kita telusuri dengan penuh amanah dan jujur, dan cuba fahami dengan baik akan isi sirah perjuangan baginda Rasulullah SAW. Usia 23 tahun umur dakwah Rasulullah bukanlah semata-mata perjuangan untuk meruntuhkan sistem yang Jahiliyah. Tetapi persoalan yang lebih pokok adalah, apakah bentuk sistem yang akan menggantikan Jahiliyah itu?

Hal ini begitu jelas, tatkala datang tawaran daripada pembesar Quraisy kepada Rasulullah berupa beberapa cadangan penyelesaian bersifat ‘win-win’ pada pandangan akal dan mata manusia. Nabi terus menolak dan tidak kompromi, kerana syaratnya ialah agar Rasulullah meninggalkan atau menukar inti dan isi seruan dakwah ketauhidan kepada rupa, bunyi atau warna yang lain. Yang sudah semestinya tidak akan sama sebagaimana yang Allah kehendaki!

Berdasarkan perkara-perkara asas ini, saya melihat dan membuat beberapa bacaan terhadap perkembangan realiti semasa di tanah air tercinta, Malaysia. Sorotan setahun dan beberapa tahun lepas yang penuh dengan liku dan keanehan peristiwa yang berlaku dalam konteks membabitkan perjuangan memartabatkan Islam dan segala kehormatan syariat Allah.

Munculya dengan penuh agresif dan bertalu-talu teriakan dan laungan berupa seruan untuk kononnya memberi nafas baru kepada agama Islam. Istilah Islam moderat cuba dipopularkan dengan cara memberi gambaran kepada umat Islam yang berpegang teguh dengan syariat sebagai kelompok fanatik agama, ekstremis dan pelampau.

Sebaliknya, apabila umat Islam mempertahankan kesucian agama mereka, baik berupa reaksi amarah mereka terhadap beberapa individu secara terbuka menghina kesucian Islam, isu kalimah suci Allah, isu pesta arak, isu pelaksanaan rang undang-undang hudud, isu bahaya dakyah kristianisasi kepada orang Islam, isu isi kandungan khutbah oleh jabatan agama dituduh menyebar fahaman ekstremism, dan lain-lain isu yang tidak tidak pernah henti ini, kesemua sikap dan reaksi ini dianggap sebagai tindakan kelompok pelampau dan fanatik agama.

Justeru, saya mengajak umat Islam keseluruhannya, usahlah kita teralih arah dan terpegun dengan ucapan-ucapan berupa slogan-slogan yang dibuat atas alasan memenuhi keperluan dan tuntutan semasa demi survival kepentingan diri mereka semata-mata.

Sesungguhnya perjuangan antara Al-Haq dan kebatilan itu adalah satu sunnah Allah yang telah ditetapkan. Ia juga adalah ibarat putaran planet-planet pada paksinya. Tetap dan tidak akan berganjak.

Al-Haq itu, Allah tetapkan hanya dengan Islam. Manakala, kebatilan itu adalah segala rupa bentuk, warna dan ideologi selain daripada Islam. Ia tidak akan sama sekali boleh bercampur, biarpun kadang-kadang nampak seakan ada perkara yang sama dalam slogan mereka dengan apa yang ada dalam inti seruan Islam, ia tidak akan sama sebenarnya.

“Al-Haq itu datangnya dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi mereka yang ragu-ragu” (Aali-Imran: 60)

Hal ini kerana, penamat bagi perjuangan ini untuk seorang muslim adalah survival meletakkan Islam sebagai sistem yang paling tinggi dan tidak dicabar oleh mana-mana pihak. Sama ada kita akan berjaya dengan izin Allah atau , ‘dipanggil’ oleh Allah di tengah jalan. Kita terus kekal hingga akhir (thabat) dalam perjuangan ini.

Manakala, bagi pihak pejuang liberal dan kebebasan total, inti seruan mereka secara hakikinya adalah untuk mengubah sunnah ketetapan aturan Allah. Mereka gigih berusaha siang dan malam, menghabiskan usia mereka untuk menidakkan cahaya hidayah langit dengan agama Islam ini daripada sampai kepada hati manusia lalu bertapak dan berdiri kukuh berdaulat di atas muka bumi.

Mereka begitu iri dan sakit hati apabila melihat manusia beriman teguh dengan apa yang Allah turunkan. Pengakhiran bagi usaha mereka yang bongkak takababur melawan sunnah aturan Allah hanyalah sia-sia dan kebinasaan. Ini kerana, itulah sunnah ketetapan yang Allah janjikan sebagai titik tamat buat kelompok manusia seperti ini.

“Sambil bersikap sombong takbur di muka bumi dan berusaha melakukan rancangan-rancangan jahat (terhadap Rasul itu), sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang merencanakannya. (Dengan keadaan yang demikian, maka) tidak ada yang mereka tunggu selain daripada berlakunya kebinasaan menimpa mereka (sebagaimana yang telah menimpa) orang-orang kafir yang telah lalu. Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi ” Sunnatullah ” (undang-undang peraturan Allah), dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan ” Sunnatullah ” itu”. (Faatir: 43)

Ustaz Salman Al-Farisi Selamat
Ahli Majlis Ulama Isma (MUIS)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts