Secara lumrahnya, manusia mempunyai pelbagai gambaran dan cara fikir tersendiri. Walaupun mereka datang dari keluarga yang sama, mereka tetap memiliki cara fikir yang berbeza-beza. Hal ini kerana, cara fikir yang lahir adalah melalui ilmu pengetahuan, pengalaman hidup serta bahan bacaan masing-masing.
Semua perkara ini membantu kematangan individu tersebut kearah mampu bertindak dengan lebih baik. Walaubagaimanapun, setiap perbezaan yang Allah Ta’ala kurniakan kepada setiap insan bukanlah suatu perkara yang sia-sia, pasti ada hikmah dari takdir ketentuan Nya.
Perbezaan itu tidaklah bermakna tidak akan ada yang sama, hakikatnya ketepatan cara fikir dan tasawur seseorang itu adalah apabila bersumberkan wahyu Al-Quran dan As-Sunnah. Segala perkara yang digambarkan dan diceritakan di dalam Al-Quran dan As-Sunnah adalah panduan kita yang sebenar; bagaimana kita merancang untuk terus berada di atas garisan yang lurus dan mengakhiri kehidupan dengan beroleh syurga yang tertinggi.
Beginilah cara Rasulullah SAW dan para sahabat berfikir dalam membawa risalah islam sehingga dapat membina sebuah negara islam yang pertama dengan menyebarkan risalah ke pelusuk dunia yang lain. Cara mereka tidak hanya memikirkan ibadah dalam ruang lingkup peribadi sahaja, bahkan mereka memikirkan bagaimana syariat islam dapat ditegakkan di atas bumi ini. Mereka juga menyampaikan risalah islam dengan memahami realiti dunia semasa.
Kita pergi contoh susuk tubuh yang dekat baru-baru ini, seorang bekas pelajar cemerlang SPM tahun 2013 Saudari Nik Nur Madihah berkongsi matlamat dan cara fikirnya sendiri.
Kata beliau, “Saya ada di sini. Memberi kepada masyarakat dengan cara tersendiri. Tidak kira diperakui oleh sesiapa ataupun tidak. Saya hidup kerana Illahi. Dan saya hanya perlu pengiktirafan dari Ilahi.”
Melalui ungkapan di atas sangat jelas matlamat dan agenda yang difikirkan, iaitu memenangkan kehendak illahi. Namun begitu, kebanyakan ‘netizen’ mengecam beliau kerana pilihan hidupnya tidak sama seperti apa yang diharapkan oleh mereka dengan tanggapan (cara fikir) apabila beroleh keputusan cemerlang sepatutnya perlu memilih bidang yang berkerjaya seperti doktor, engineer dan kerjaya profesional yang lain, tetapi pilihan beliau adalah untuk menyambung pengajian agama.
Kita tidak menafikan semua kerjaya profesional itu adalah bagus dan pilihan yang baik. Namun apa yang nak difokuskan disini adalah cara fikir beliau itu perlu dicontohi oleh masyarakat, kerana ia selari dengan apa yang diajarkan qur’an dan sunnah; iaitu bagaimana mahu menjalani kehidupan kita di atas garisan yang lurus.
Hakikat pemikiran masyarakat kita masih dijajah dengan kemajuan dan sistem pendidikan yang digambarkan dunia barat ketika ini. Kita ini tidak memahami dan mengenali acuan sendiri untuk menentukan kehidupan kita dengan sebaiknya. Sedangkan, kita orang beriman sudah memiliki panduan dan acuan yang Istimewa daripada Sang Maha Pencipta.
Namun begitu, perjalanan setiap orang semestinya berbeza-beza. Setiap orang mempunyai pendekatan yang berbeza untuk mendekatkan diri kepada penciptanya dan menyumbang untuk agamanya. Kesemua manusia berhak memilih kecenderungan hidupnya masing-masing selagi tidak melanggar syarak, yang paling penting kehidupan itu pada cara fikirnya juga berlandaskan syarak semata-mata dan menyumbang kepada agamanya.
Hakikat cara fikir yang selari adalah dengan memahami Islam itu bersifat sempurna. Segala aspek islam ada jalan penyelasaiannya. Pembuktian kita adalah pada sejarah tamadun islam yang dahulu. Bermula dari zaman Nabi dan para sahabat sehingga kejatuhan tamadun Uthmaniyah. Pada waktu itu (lebih 1,200 tahun), fungsi syarak dapat dilaksanakan dengan baik. Sama ada dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan serta paksi-paksi kekuatan yang lain. Kesemuanya ditimbang tara berdasarkan syarak.
Kini, sebahagian kefahaman masyarakat islam banyak tertumpu kepada aspek ibadah dalam ruang lingkup individu semata-mata, tidak meluas sehingga dapat membina semula tamadun dan negara. Malah, kita lebih rela menerima arus jahiliyah moden meresapi dalam kehidupan kita ditambah lagi dengan maksiat yang semakin menjadi amalan kebiasaan sebahagian masyarakat hari ini.
Maka sebab itu pentingnya kita mempunyai cara fikir yang betul agar tindakan kita tidak tersimpang jauh dari kehendak Ilahi. Kebiasaannya cara fikir yang matang akan lahir selepas kita meningkat dewasa setelah kita mengenali kehidupan dunia yang sebenar. Pada zaman persekolahan, kita diajar dan disuruh berkelakuan baik dan berdisiplin demi menjaga nama baik diri dan sekolah. Namun, apabila kita sudah tamat zaman persekolahan, segala yang disuruh dan diarah itu bergantung hanya pada diri kita sendiri.
Selebihnya, cara fikir akan dapat ditentukan berdasarkan siapa kita berkawan dan bergaul serta apakah agenda dan matlamat hidup. Sebaiknya, seawal kita melangkah ke menara gading untuk mencapai cita-cita yang murni, kita perlu merancang seluruh kehidupan kita untuk menyumbang kepada agama. Sepertimana kita merancang untuk mendapatkan kerjaya dan pekerjaan yang baik seperti itu juga kita perlu merancang untuk membina dan membentuk cara fikir yang betul agar kita sentiasa menjadi seorang yang berdisiplin dalam agamanya.
Kesimpulannya, Allah Ta’ala telah memberikan landasan cara fikir yang terbaik di dalam Al-Quran, iaitu dalam Surah Al-Hasyr ayat 18 yang beri maksud :
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.
Berdasarkan ayat di atas, Allah ta’ala telah mengajarkan kita untuk merancang dan bersedia menghadapi hari akhirat kelak. Dengan perancangan yang baik, segala keputusan tingkah laku kita akan sentiasa berwaspada bagi membawa diri ini betul-betul telah bersedia menghadapinya. Tidak lupa juga persiapan itu adalah dengan penuh ketakwaan. Kesan buruk akan terjadi sekiranya kita mengabaikan peringatan besar dari wahyu ini, iaitu Allah Ta’ala akan melupakan kita di akhirat kelak.
Justeru, pesanan penting buat generasi yang telah mendapat keputusan SPM baru-baru ini adalah dengan meletakkan agenda iman selari dengan agenda kerjaya yang kita mahu capai suatu hari nanti. Memetik ciri-ciri mahasiswa cemerlang yang selalu dipesan oleh Prof Dr. Zainur Rashid, antaranya ialah
1. Kecemerlangan Akademik
2. Kemuliaan Sahsiah – Bagaimana sikap kita dengan ibadah, akidah & sahsiah diri
3. Kemahiran Insaniah – kemahiran soft skill dan berkomunikasi dengan masyarakat.
4. Kehidupan Beragenda – Perkara yang berbeza dari mahasiswa yang biasa, apa agenda kita, visi dan misi kita, apa bentuk sumbangan diri kita dengan keluarga, agama dan negara kita
Dengan memiliki keempat-empat ciri ini adalah petanda cara fikir kita tepat dan telah matang.
Oleh itu, untuk memahami makna cara fikir yang lebih mendalam adalah dengan memahami sebuah kisah mengenai lima orang si buta dengan seekor gajah.
Setiap seorang daripada lima orang buta ini telah mengenali gajah melalui sentuhan mereka kepada setiap anggota tubuh badan yang berbeza-beza. Sibuta yang sentuh belalai serupa hos paip bomba, yang disentuh badan serupa dinding. Begitulah tiga Si buta yang lain memberikan penerangan mengenai rupa gajah yang berbeza-beza. Beradasarkan tasawur itu, mereka percaya bahawa gajah tidak akan berikan kemudaratan kepada mereka dan membiarkan tanpa berhati-hati.
Begitu juga kita memberikan tasawur kepada agama kita, jika gambaran atau persepsi terhadap agama kita salah, tidak mungkin kepercayaan terhadap islam tiada kena mengena dengan perlembagaan, politik, ekonomi, sistem pemerintahan dan sebagainya. Kita akan memandang agama ini hanya sekadar ritual yang hanya berlaku di masjid, tikar sejadah, hanya berfikir amalan untuk dirinya dan tidak cakna, tidak peduli terhadap dosa yang ada disekeliling atau seseorang, tidak meluas dan berasa sempit.
Jadi, Pencipta kita iaitu Allah Taala tidak akan membiarkan hamba-hambanya bersendirian mencari-cari tasawur yang benar dan jelas dengan dikurniakan Al-Quran dan Sunnah. Kedua-dua sumber ini adalah sumber utama dan tertinggi bagi membentuk tasawur atau persepsi yang benar dan betul. Tuntutan kita dengan Al-Quran dan Sunnah bukan sekadar membaca ikut rutin harian, bahkan memerlukan tadabbur dan memahami yang lebih supaya gambaran kita terhadap hakikat kehidupan ini jelas, terang lagi bersuluh. Gambaran terhadap syurga, neraka dan halatuju semuanya itu adalah benar di dalam Al-Quran.
Semoga kita sentiasa diberikan petunjuk untuk menjadi seorang muslim yang memiliki cara fikir yang betul berlandaskan wahyu serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Semoga dengan memahami makna cara fikir ini dapat membuka lagi keberkatan untuk memikul risalah ini dengan sebaiknya.
Wallahu A’lam
Artikel ditulis oleh Ustaz Amirul Hadif