Soalan
Assalamualaikum wbt. Saya ada satu persoalan, kebelakangan ini saya kerap melihat video-video atau penulisan-penulisan di media sosial berkaitan segelintir suami/isteri yang menyebarkan aib pasangan sendiri secara terang-terangan demi meraih perhatian orang sekeliling. Umum mengetahui bahawa menyebarkan aib dilarang dalam islam tetapi bagaimana jika situasinya salah satu berada dalam keadaan teraniaya. Bagaimana dia ingin mempertahankan diri dalam keadaan sedemikian? Apakah pandangan SS Datuk Mufti berkaitan isu ini.
Jawapan Ringkas
Islam adalah agama yang menggalakkan umatnya mengeratkan silaturahim dan menjaga hubungan sesama manusia. Oleh itu, sebarang perkara yang membawa kepada perbalahan dan perpecahan adalah dicemuh dan dilarang oleh syarak. Membuka aib pasangan merupakan satu larangan yang besar kerana kesannya yang menggugat keutuhan sesuatu institusi rumah tangga yang sepatutnya menjadi tempat lahirnya dan terdidiknya insan yang menjadi khalifah di muka bumi Allah SWT. Larangan membuka aib ini juga tidak terhad sesama pasangan sahaja, malah terhadap ahli keluarga, rakan-rakan atau kenalan bahkan terhadap pihak media atau wartawan. Namun, terdapat pengecualian pada kes-kes tertentu melalui saluran-saluran yang berautoriti.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam sebuah perkahwinan, tidak dapat dinafikan akan berlakunya ketidaksefahaman antara kedua-dua pasangan walaupun pada hal-hal yang kecil. Konflik ini kemudiannya akan menimbulkan rasa tidak senang bahkan boleh menyebabkan rasa tidak percaya antara satu sama lain. Lebih buruk lagi apabila hal yang kecil itu diperbesarkan sehingga seseorang individu sanggup membuka dan menyebarkan rahsia dan keburukan pasangan yang bersifat peribadi.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Surah al-Hujurat (12)
Menurut Ibn Kathir, Allah SWT melarang hamba-hambanya yang beriman daripada bersangka buruk iaitu dengan menuduh sembarangan dan berlaku khianat kepada orang lain mahupun ahli keluarga terdekat. Perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar kerana jelas larangannya. Para ulama juga bersepakat atas pengharaman membuka aib seseorang kecuali atas maslahat-maslahat tertentu mengikut saluran yang sepatutnya.
Daripada Abu Sa’id al-Khudriy, beliau berkata bahawa Baginda Rasulullah bersabda:
إِنَّ مِنْ أَشَرِّ النَّاسِ عِندَ الله مَنزِلَةً يَومَ القِيَامَةِ الرَّجُلَ يُفضِي إِلَى المَرْأَةِ وَتُفْضِي إِلَيه، ثُمَّ يَنشُرُ سِرَّهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seorang lelaki (suami) yang bergaul (bersetubuh) dengan isterinya, kemudian menyebarkan rahsia isterinya tersebut.”
(Riwayat Muslim)
Berdasarkan keumuman hadis ini, Nabi SAW mencela orang yang mendedahkan rahsia pasangannya dengan mengatakan bahawa mereka berada pada seburuk-buruk kedudukan di sisi Allah SWT. Terutamanya pada perkara-perkara sulit yang berlaku antara kedua pasangan seperti hal-hal istimta’ (keseronokan antara suami isteri). Justeru, ini menunjukkan bahawa membuka aib pasangan adalah perbuatan yang ditegah di sisi syarak kecuali terdapat terdapat beberapa keperluan dan hajat yang mendorong salah satunya untuk berbuat demikian. Ia sesuai dengan tuntutan ajaran Rasulullah SAW supaya berkata perkataan yang baik-baik atau berbuat senyap sekiranya tiada keperluan.
Larangan ini juga ditambah dengan ancaman di akhirat seperti mana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَعَدَ عَلَى فِرَاشِ مُغِيبَةٍ قَيَّضَ اللَّهُ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُعْبَانًا
Maksudnya: “Orang yang membuka aib pasangannya, Allah akan mengikatnya dengan ular besar pada hari kiamat nanti”
(Riwayat Ahmad)
Selain itu Nabi SAW juga bersabda yang diriwayatkan oleh Huzaifah:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ
Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga orang yang mengumpat.”
(Riwayat Muslim)
Tambahan pula, Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:
هُنَّ لِبَاس لَّكُم وَأَنتُم لِبَاس لَّهُنَّۗ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”
Surah al-Baqarah (187)
Al-Tobari mensyarahkan bahawasanya setiap pasangan suami isteri diibaratkan sebagai tempat tinggal yang memberi ketenangan dan ketenteraman antara satu sama lain. Mereka juga seperti satu selimut atau kain yang menutupi di mana mereka sewajarnya menutup segala hal-hal peribadi pasangan daripada diketahui orang luar. Jika salah seorang daripada pasangan bermudah-mudah untuk mendedahkan aib pasangan maka seolah-olah mereka membiarkan diri tanpa pakaian atau sesuatu yang menutup.
Al-Tobari juga ketika menjelaskan makna ayat al-Quran dalam surah al-Baqarah (229)berkaitan apa yang dimaksudkan dengan “menceraikan (isteri) dengan cara yang baik” ialah setiap pasangan yang sudah bercerai seharusnya tidak berlaku zalim di antara satu sama lain dan mereka perlulah menunaikan hak masing-masing. Mereka juga dilarang untuk menyakiti atau menghina bekas pasangan dalam apa jua cara sekalipun sama ada menerusi perkataan atau perbuatan.
Selain itu, al-Maraghi menyatakan dalam tafsirnya terhadap maksud “menceraikan dengan cara yang baik” bahawa sewajarnya si suami tidak menceritakan keburukan dan kehormatan diri bekas isterinya kepada orang lain sehingga orang lain menjauhinya, jika si isteri mahu berkahwin lagi lelaki lain. Sikap menceritakan keburukan bekas isteri merupakan satu kesilapan besar dalam ikatan yang pernah berlaku di antara mereka berdua.
Membuka Aib yang Dibenarkan Syarak
Islam mempertahankan hak asasi manusia yang teraniaya dan menentang sebarang bentuk kezaliman di atas muka bumi. Walaupun demikian, agama Islam menetapkan batasan dan saluran yang betul untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Ini adalah kerana menyebarkan berita atau kesalahan seseorang individu kepada masyarakat umum atau kepada saluran yang salah juga termasuk dalam kategori yang melakukan kezaliman.
Aisyah RA meriwayat sepotong hadis, kata beliau:
قَالَتْ هِنْدٌ أُمُّ مُعَاوِيَةَ لِرَسُولِ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ فَهَلْ عَلَيَّ جُنَاحٌ أَنْ آخُذَ مِنْ مَالِهِ سِرًّا قَالَ خُذِي أَنْتِ وَبَنُوكِ مَا يَكْفِيكِ بِالْمَعْرُوفِ.
Maksudnya: “Hindun Ummu Mu’awiyyah pernah mengadu kepada Rasulullah SAW bahawa suaminya, yang bernama Abu Sufyan adalah seorang yang sangat kedekut, maka adakah dia boleh mengambil harta suaminya secara sembunyi-sembunyi. Lalu Rasulullah SAW menjawab, ‘Ambillah untukmu dan anak-anakmu secukupnya dengan cara yang baik’”
(Riwayat Bukhari)
Hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan menceritakan aib pasangan bagi tujuan penyelesaian terhadap kezaliman adalah harus. Menurut Imam al-Nawawi, terdapat enam sebab dibenarkan untuk membuka aib seseorang:
- Mengadu kezaliman kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa atau kemampuan untuk berlaku adil kepadanya daripada orang yang berlaku zalim terhadapnya.
- Mencari pertolongan daripada orang tertentu yang mampu mengubah kemungkaran dan membawa si pelaku maksiat ke jalan kebenaran.
- Meminta fatwa daripada mufti.
- Memberi amaran kepada seseorang terhadap kemungkaran dengan menasihati dan memberitahunya berkenaan perihal buruk seseorang yang tidak harus dia ikuti.
- Menyebut dan mendedahkan kesalahan dan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan. Namun haram membuka aibnya berserta kesalahan-kesalahan lain yang tidak dilakukan secara terang-terangan, kecuali atas tujuan tertentu seperti yang dinyatakan di atas.
- Menyebut seseorang dengan panggilan yang buruk kerana hanya dengan panggilan tersebut sahaja dia dikenali. Sekiranya panggilan tersebut digunakan untuk merendah-rendahkan atau mengejek, ia adalah haram.
Pengajaran yang boleh dipetik daripada kisah Hindun menekankan pentingnya bagi suami isteri untuk menghindari kecenderungan untuk terbuka dengan masalah rumah tangga mereka, terutamanya dengan melibatkan media sosial untuk menjejaskan imej pasangan mereka. Pendekatan Hindun yang mencari nasihat daripada Rasulullah SAW merupakan tindakan yang terbaik dalam mencari jalan penyelesaian kerana Baginda memiliki keperibadian yang sangat terpuji, dapat dipercayai dan menjaga maruah orang lain. Ini menunjukkan betapa pentingnya mencari nasihat daripada sumber yang dipercayai dan berintegriti dalam menyelesaikan konflik rumah tangga.
Kesimpulan
Islam adalah agama yang menggalakkan umatnya mengeratkan silaturahim dan menjaga hubungan sesama manusia. Oleh itu, sebarang perkara yang membawa kepada perbalahan dan perpecahan adalah dicemuh dan dilarang oleh syarak. Membuka aib pasangan merupakan satu larangan yang besar kerana kesannya yang menggugat keutuhan sesuatu institusi rumah tangga yang sepatutnya menjadi tempat lahirnya dan terdidiknya insan yang menjadi khalifah di muka bumi Allah SWT. Larangan membuka aib ini juga tidak terhad sesama pasangan sahaja, malah terhadap ahli keluarga, rakan-rakan atau kenalan bahkan terhadap pihak media atau wartawan. Namun, terdapat pengecualian pada kes-kes tertentu melalui saluran-saluran yang berautoriti.
Wallahua’lam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM