Memelihara agama: Mengapa Rasulullah hancurkan berhala?

 

1. Ketika berjaya menguasai Mekah, Rasulullahﷺ mengarahkan para sahabat supaya meruntuhkan semua berhala. Menurut al-Bukhari terdapat hampir 360 buah berhala dan Rasulullahﷺ sendiri yang memukulnya dengan tongkat Baginda. Apakah Rasulullahﷺ tidak menghormati hak kemanusiaan Quraysh untuk beragama?

2. Malah Rasulullahﷺ memerintahkan para sahabat untuk meruntuhkan berhala disekitar Mekah. Khalid al-Walid meruntuhkan berhala terbesar iaitu al-Uzza yang terletak di Nakhlah (HR al-Nasai’i & al-Bayhaqi). Saidina Amru al-As pula menghancurkan berhala Suwa’ (Ibn Sa’d, al-Tabaqat), manakala Sa’d ibn Zaid pula menghapuskan berhala Manah.

3. Mengapa Rasulullahﷺ mengarahkan sahabat untuk menghancurkan berhala sembahan Qurasyh? Apakah Bagindaﷺ tidak menghormati dan memberi hak beragama Quraysh? Atau apakah iman para sahabat senipis kulit bawang? Takkan tengok berhala sahaja boleh menyebabkan mereka ingin kembali kepada kekufuran?

4. Dari satu aspek, al-Imam Ibn Hajar menjelaskan bahawa arahan Rasulullahﷺ ini adalah bagi memelihara Muslim itu sendiri dari terpedaya atau terpesona untuk kembali kepada kekufuran. Lihatlah bagaimana sahabat yang mempunyai keimanan yang tinggi tersebut masih boleh terdedah kepada fitnah aqidah ini. Sekalipun Bagindaﷺ ada di sisi mereka, Bagindaﷺ memastikan agama seorang Muslim itu terpelihara dahulu.

5. Dengan sebab itu ketika mana Saidina Umar membawa Taurat dan dibaca di sisi Rasulullahﷺ, Baginda menjadi marah dan berkata: Apakah engkau terpesona dengannya wahai Ibn al-Khattab? (HR Ahmad & al-Nasai’i). Menurut al-Qurtubi, larangan Rasulullahﷺ ini bagi mengelakkan mereka yang tidak mahir dengan agama lain daripada terpengaruh sehingga meninggalkan Islam. (al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran).

6. Rasululllah sentiasa mengingatkan sahabat supaya menjauhi kesilapan umat terdahulu dalam bab aqidah. Apabila lalu dikawasan tinggalan kaum Thamud, Baginda berpesan:

لا تدخلوا على هؤلاء المعذبين إلا أن تكونوا باكين ، أن يصيبكم مثل ‏ما أصابهم
“Janganlah kamu melalui tempat mereka (kaum Thamud ini) melainkan dalam keadaan yang menangis (menginsafi), kerana bimbang akan ditimpa seperti mereka.

Perkampungan Kaum Nabi Thamud ini terletak di luar Mekah. Benar, Rasulullah tidak meruntuhkan perkampungan Nabi Thamud, tetapi Baginda akan sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi melihara aqidah kaum Muslim.

7. Apa sahaja yang dinilai memberi kebimbangan terhadap aqidah Islam maka Rasulullah akan mengambil pencegahan segera samada meruntuhkannya seperti berhala atau tidak meruntuhkannya seperti perkampungan Kaum Thamud. Keutamaan dalam menjaga aqidah Muslim.

8. Lihatlah bagaimana Bagindaﷺ mengutamakan memelihara agama dan aqidah Muslim itu sendiri dengan tindakan yang sangat tegas. Bukan kerana iman sahabat Nabi itu senipis bawang, tetapi kerana langkah pemeliharaan aqidah itu sangat utama.

Mudah-mudahan Allah memelihara umat Islam.

Dr Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts