1. RASULULLAH ﷺ mendidik kita supaya berdoa agar dikurniakan rezeki yang diberkati. Ini kerana, setiap makhluk itu telah ditentukan rezekinya, namun apakah rezeki mereka diberkati di sisi Allah?
2. Dengan sebab itu Rasulullah ﷺ sendiri dikatakan berdoa dalam solat agar dikurniakan keberkatan rezeki. Perkara ini direkodkan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad yang menyebutkan:
وَكَانَ يَقُولُ فِي صَلَاتِهِ أَيْضًا: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي ، وَوَسِّعْ لِي فِي دَارِي ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا رَزَقْتَنِي
“Dan Baginda ﷺ turut berdoa di dalam solatnya: Ya Allah ampunkanlah dosaku, lapangkanlah tempat tinggalku dan berkatilah rezeki yang Engkau kurniakan padaku.” (Zad al-Ma’ad)
3. Atas dasar itu para sahabat turut sama berdoa agar dikurniakan keberkatan rezeki. Saidina Abu Musa al-Asy’ari adalah di antara sahabat yang membaca doa agar dikurniakan keberkatan rezeki sebaik selesai dari solat. Perkara ini direkodkan di dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah yang menyebutkan:
كَانَ أَبُو مُوسَى إذَا فَرَغَ مِنْ صَلاَتِهِ ، قَالَ : اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي ، وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي ، وَبَارِكْ لِي فِي رِزْقِي
“Sesungguhnya Abu Musa apabila dia selesai dari solat, maka dia akan membaca doa: Ya Allah ampunkanlah dosaku, permudahkanlah urusanku dan berkatilah rezekiku.” (Musannaf Ibn Abi Syaibah, dinilai Sahih oleh al-Albani dalam Tamam al-Minnah)
4. Bahkan para sahabat amat mengharapkan agar Baginda Nabi ﷺ sentiasa mendoakan keberkatan buat rezeki pertanian dan perusahaan mereka. al-Imam Muslim meriwayatkan bahawa apabila tanaman mula membuahkan hasil para sahabat akan mempersembahkan kepada Rasulullah lalu Rasulullah mendoakan:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي ثَمَرِنَا ، وَبَارِكْ لَنَا فِي مَدِينَتِنَا ، وَبَارِكْ لَنَا فِي صَاعِنَا ، وَبَارِكْ لَنَا فِي مُدِّنَا
“Ya Allah berkatilah buahan kami, berkatilah Madinah kami, berkatilah sa’ dan mudd (bekas gantang timbangan kami). (HR Muslim)
5. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berdoa agar Allah sentiasa memberkati rezeki yang dikurniakan kepada kita. Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)