Mengakui kesalahan adalah sifat para Nabi

  1. Bukan senang untuk mengakui kesilapan dan memohon maaf terutama bagi mereka yang mempunyai kedudukan. Mengakui kesilapan bererti merendahkan ego serta menunjukkan kesediaan untuk menerima teguran.
  2. Mengakui kesalahan adalah sifat para Nabi. Allah SWT menceritakan kepada kita tentang Nabi Adam yang mengakui kesilapannya ketika di syurga (al-A’raf:23), Nabi Musa menyesali perbuatannya ketika terlibat dalam pergaduhan di Mesir (al-Qasas: 15-16) dan Nabi Yunus yang menginsafi tindakannya di dalam perut ikan (al-Anbiya: 87-88).
  3. Sikap menerima kesalahan diri ini penting dalam menjaga amanah ilmu. al-Imam Ibn al-Jawzi menceritakan kesungguhan ulama salaf memperbaiki kesilapan mereka sekiranya mereka tersalah dalam memberikan pandangan. Mereka dikatakan akan segera mencari orang yang telah menerima pandangan salah tersebut bagi memperbetulkannya.
  4. al-Imam al-Subki meriwayatkan gelagat al-Izz ibn Abd Salam ketika tersalah memberikan pandangan kepada seorang lelaki yang datang bertanya kepadanya. Bimbang lelaki tersebut mengamalkan ajaran yang salah, al-Izz ibn Abd Salam sendiri keluar pergi mencari lelaki tersebut disekitar Kaherah dan mengumumkan kepada orang ramai bahawa dia telah tersalah mengeluarkan pandangan dan meminta orang ramai supaya berhati-hati. (al-Subki, Tabaqat al-Shafi’iyyah, 8/214).
  5. Apa yang lebih menarik lagi adalah tindakan yang dilakukan oleh al-Imam al-Biqa’i, seorang yg pakar dalam bidang penafsiran al-Quran. Menghargai teguran orang disekelilingnya, al-Imam al-Biqa’i akan memberikan ganjaran wang bagi mereka yang membetulkan kesilapannya. Kata al-Imam al-Biqa’i: فَكُلّمَا نَبَّهَنِي أَحَدٌ عَلَى خَطَأ أَعْطَيْتُهُ دِيْنَاراً

“Maka setiap kali seseorang memperingatkan aku tentang kesalahanku, aku akan membayarnya satu dinar. (Maṣāʿid al-Naẓr, 1/104)

  1. Malah, para salaf terdahulu tidak segan apabila ditegur dihadapan orang ramai. al-Imam Ibn Kathir meriwayatkan kisah seorang Qadi di Basrah bernama Abdullah ibn al-Hasan al-Anbari. Beliau telah ditanya tentang satu perkara dan memberi jawapan yang salah kepada persoalan tersebut. Kesilapan beliau telah ditegur oleh seorang budak kecil dihadapan orang ramai. Abdullah al-Anbari bagaimanapun tidak segan untuk mengakui kesalahan yang dilakukannya itu dan berkata:

لَأن أكون ذَنَباً في الحق, أحبُّ إليَّ مِن أنْ أكون رأسًا في الباطل

“Menjadi tersalah dalam perkara kebenaran adalah lebih aku suka daripada menjadi ketua dalam kebatilan.”

  1. Abu Bakar ibn al-Arabi pula menceritakan kisah Abu a-Fadl Abdullah ibn Husain al-Jawhari (seorang pakar bahasa Arab) yang ditegur oleh seorang pemuda asing. Setelah ditegur, al-Jauhari bukan sahaja berterima kasih kepada lelaki tersebut, malah mengucup kepalanya dan memujinya dengan berkata: Sesungguhnya engkau telah memperbetulkan kesalahanku dikala semua orang mendiamkan diri. (Ahkam al-Quran, 1/182-183)
  2. Bukan mudah untuk mengakui kesilapan yang kita lakukan. Malah, manusia kebiasaannya akan lebih marah apabila ditegur di hadapan khalayak ramai. Beberapa kisah di atas memberikan kepada kita gambaran tentang beberapa tokoh salafussoleh terdahulu yang amat menghargai teguran yang diberikan kepada mereka, menerima dengan hati yang terbuka, malah memberikan ganjaran buat mereka yang membantu mengingatkan mereka kepada kebenaran.

Semoga Allah membimbing kita

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts