Mengapa Bani Israil diperintahkan menyembelih lembu?

 

1. TAHUKAH anda bahawa Surah al-Baqarah dinamakan sempena merujuk kepada kisah lembu yang disebutkan di dalam surah tersebut. Allah telah memerintahkan Bani Israil agar menyembelih lembu. Timbul persoalan disini, mengapa Allah menyuruh mereka menyembelih lembu?

2. Berdasarkan riwayat yang direkodkan oleh al-Imam al-Tabari, terdapat tiga naratif yang berbeza yang menjelaskan tentang latar belakang arahan penyembelihan lembu tersebut. Secara umumnya ia menceritakan tentang seorang lelaki yang kaya dari Bani Israil. Beliau telah dibunuh oleh anak saudaranya sendiri kerana berhasrat mewarisi harta lelaki kaya tersebut.

3. Anak saudaranya telah meletakkan mayat yang terbunuh itu dikawasan satu kampung sehingga keluarga lelaki tersebut merasakan penduduk kampung itulah yang membunuh ahli keluarga mereka. Pergaduhan berlaku diantara penduduk kampung dengan ahli keluarga ini dan hampir menyebabkan mereka saling berbunuhan. Sehinggalah seorang lelaki mencadangkan agar pengadilan dibawa kepada Nabi Musa.

4. Disinilah titik permulaan kisah menyembelih lembu. Allah mengarahkan Nabi Musa agar memerintahkan Bani Israil menyembelih lembu. Pada hakikatnya ia adalah satu ujian keimanan buat Bani Israil kerana sebelum itu mereka pernah menyembah lembu yang dicipta oleh al-Samiri.

5. al-Imam al-Mawardi dan Abu Hayyan menjelaskan bahawa sesungguhnya Allah memerintahkan Bani Israil supaya menyembelih lembu adalah kerana ia adalah haiwan yang pernah disembah oleh Bani Israil sebelum ini. Kata Abu Hayyan:

وَإِنَّمَا اخْتُصَّ الْبَقَرُ مِنْ سَائِرِ الْحَيَوَانَاتِ لِأَنَّهُمْ كَانُوا يُعَظِّمُونَ الْبَقَرَ وَيَعْبُدُونَهَا مِنْ دُونِ اللَّهِ، فَاخْتُبِرُوا بِذَلِكَ، إِذْ هَذَا مِنَ الِابْتِلَاءِ الْعَظِيمِ، وَهُوَ أَنْ يُؤْمَرَ الْإِنْسَانُ بِقَتْلِ مَنْ يُحِبُّهُ وَيُعَظِّمُهُ

“Sesungguhnya Allah memilih lembu dan mengenepikan haiwan yang lain kerana Bani Israil pernah mengagungkan lembu (bahkan) menyembahnya, lalu Allah uji mereka. Ini adalah ujian yang besar kerana manusia diperintahkan untuk mengorbankan perkara yang dia sayang dan yang diagungkan.” (Abu Hayyan, al-Bahr al-Muhit)

 

 

6. Jadi apa kaitannya dengan peristiwa lelaki yang dibunuh tadi? Di sinilah sisi lain hikmah mengapa Allah memerintahkan mereka menyembelih lembu. Pertama ia adalah untuk menguji keutuhan aqidah mereka. Apakah masih ada saki baki kepercayaan dan keagungan kepada lembu yang pernah disembah mereka.

7. Dan yang keduanya, sekiranya mereka berdolak dalik untuk menyembelih lembu, ia adalah satu tempelak sinis buat mereka. Seolah Allah menyindir mereka kerana mereka sanggup berbunuhan sesama manusia, tetapi apabila Allah memerintahkan mereka menyembelih lembu, jiwa mereka keberatan. Adakah nilai seekor lembu lebih tinggi dari jiwa manusia?

8. Perhatikan bagaimana Allah cuba menyampaikan dua mesej utama dari kisah lembu ini. Pertama adalah tentang kerapuhan akidah Bani Israil yang mengangkat makhluk iaitu lembu sebagai tuhan. Yang kedua Allah ingin menunjukkan bagaimana nilai jiwa manusia disisi Bani Israil ketika itu.

9. Perhatikan hari ini bagaimana ada dikalangan Bani Israil yang memandang rendah jiwa manusia yang lain. Kanak-kanak, para wanita dibunuh seolah tiada nilai disisi mereka. Mereka menyelewengkan ajaran sehingga agama malah memburuk Islam dimata dunia.

10. Maka tidak hairanlah kisah ini diabadikan sebagai nama satu surah. Kisah al-Baqarah adalah manifestasi nilai keimanan yang tinggi buat mereka yang menyucikan Allah. Kisah ini mendidik manusia agar mengesakan Allah serta mengangkat nilai kemanusiaan dari diselewengkan oleh ajaran manusia yang terkeliru seperti liberal.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts