1. SINAR Harian melaporkan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penganut Kristian seluruh negara menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan pendidikan agama itu. Mereka juga dibenarkan untuk menggunakan perkataan Solat, Kaabah dan Baitullah.
2. Timbul persoalan di sini, mengapa sebahagian penerbitan Kristian bersungguh menterjemahkan perkataan God kepada Allah sedangkan ia di sisi umat Islam memberikan makna yang berbeza? Bukankah ia akan menimbulkan lebih keraguan? Mengapa Kristian ingin menggunakan perkataan Solat sedangkan kita tahu Prayer dan Solat mempunyai pemaknaan yang berbeza?
3. Perkara yang sama pernah diutarakan oleh Prof Syed Naquib al-Attas pada rombongan Kristian yang datang bertamu ke ISTAC. Prof al-Attas mengajukan soalan tentang mengapa kamu ingin menggunakan kalimah Allah setelah sekian lama menggunakan perkataan God atau Tuhan?
4. Mereka menjawab: “Kami ingin bersikap lebih patriotik dan kami akan berdoa menggunakan Bahasa Malaysia.” Anehnya perkataan Allah bukanlah berasal dari Bahasa Malaysia bahkan konsep ketuhanan dalam kedua agama ini sangat berbeza.
5. Umat Islam meyakini Allah itu satu melalui konsep Tauhid sedangkan Kristian percaya pada doktrin Trinity yang menampilkan tiga elemen dalam perkara ketuhanan. Kedua konsep ini amat jauh bertentangan.
6. Malah penggunaan Kalimah Allah pernah dibantah dperingkat antarabangsa oleh paderi Kristian sendiri kerana ia menimbulkan keraguan terhadap konsep ketuhanan dalam agama Kristian sendiri. Sebagai contoh:
[a] Rob Phillips iaitu Pengarah Komunikasi Missouri Baptist Convention dan mubaligh Gereja Baptis melalui artikelnya bertajuk “Yahweh (the God of the Bible) vs Allah (the God of the Koran)” menyatakan bahawa Allah bukanlah Tuhan yang dinyatakan dalam Al Kitab.
[b] Dr. R. Albert Mohler Jr. iaitu Presiden The Southern Baptist Theological Seminary mempertikaikan saranan penganut Kristian menggunakan nama Allah kerana al-Quran secara jelas menegaskan Allah tidak mempunyai anak dan menolak prinsip triniti yang dibawa oleh Kristian.
[c] Dave Armstrong tokoh dari Gereja Roman Katolik dalam artikelnya berjudul “Does the Catholic Church Equate Allah and Yahweh?” menegaskan bahawa Allah dan Tuhan yang dimaksudkan dalam Kristian adalah entiti yang tidak sama.
7. Biarpun sebahagian tokoh Kristian antarabangsa tidak bersetuju dalam isu terjemahan perkataan God kepada Allah, kesungguhan gerakan Kristian di Malaysia dalam memperjuangkan kalimah Allah ini menimbulkan pelbagai pertanyaan.
8. Dari aspek positifnya, penggunaan kalimah Allah dalam kalangan Kristian membuka dimensi baharu dalam medan dakwah. Kita berpeluang memahamkan kepada pelajar atau sahabat Kristian kita tentang Allah dari perspektif Muslim.
9. Allah adalah Tuhan yang sama buat Muslim mahupun Kristian. Namun kita harus tegaskan kepada mereka bahawa ajaran Trinity yang dibawa oleh Kristian adalah bercanggah dengan konsep Tauhid yang jelas ditegaskan oleh al-Quran bahawa Tuhan itu satu, Dia tidak mempunyai anak dan Nabi Isa (Jesus) hanyalah seorang Nabi.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)