1. Beberapa masjid di beberapa buah negeri telah mula mendirikan semula perlaksanaan solat jumaat di kawasan yang terpilih. Kebanyakan Jabatan Agama Negeri meletakkan syarat minimum jemaah yang perlu hadir adalah 4 orang, manakala maksimum jemaah pula adalah 12 orang. Ada yang bertanya, mengapa 4 atau 12 orang sahaja dan bukan 40 orang?
2. Inilah keindahan Islam. Pengurusan ibadah itu tidak bersifat terlalu rigid sehingga menyusahkan . Dalam beberapa situasi ada kelonggaran yang dibolehkan. Pada hakikatnya, pandangan yang membenarkan solat jumaat 4 orang atau 12 orang ini diambil dari pendapat mazhab yang lain.
3. Di sisi Mazhab al-Syafi’i, jumlah minimum dalam melaksanakan solat jumaat mestilah dihadiri seramai 40 orang. Ini adalah bersandarkan kepada hadis Saidina Ka’ab bin Malik. Ka’ab dikatakan sentiasa memuji Saidina Sa’d bin Zurarah ketika azan dikumandangkan.
Lalu beliau ditanya: “Mengapa engkau selalu memuji Sa’d bin Zurarah ketika mendengar azan?” Ka’ab lalu menjelaskan bahawa: Sa’ad bin Zurarah lah orang pertama yang mengumpulkan kami untuk mendirikan solat jumaat. Lalu beliau ditanya:
كم أنتم يومئذ ؟ قال : أربعون
“Berapa ramaikah bilangan kamu ketika itu? Ka’ab lalu menjawab: 40 orang.” (HR Abu Daud)
4. Daripada hadis Ka’ab bin Malik inilah terbinanya hujah dari mazhab Syafi’i yang meletakkan syarat minima bagi perlaksaaan solat jumaat adalah 40 orang.
5. Namun, Mazhab Maliki menggunakan penghujahan yang berbeza. Mereka menggunapakai hadis Jabir bin Abdullah yang menggambarkan bahawa memadai untuk mendirikan solat jumaat dengan 12 orang sahaja.
Hadis Jabir ini menceritakan bagaimana ketika Rasulullah sedang menyampaikan khutbah, tiba-tiba datang kafilah dagangan dari luar ke Madinah yang menyebabkan ramai sahabat meninggalkan Nabi yang sedang berkhutbah. Kata Jabir:
فالتفتوا إليها حتى ما بقي مع النبي صلى الله عليه وسلم إلا اثنا عشر رجلاً
“Lalu mereka (jemaah solat) berpaling (untuk pergi) ke kafilah dagangan tersebut sehinggakan yang tinggal bersama dengan Rasulullah hanyalah 12 orang sahaja. (HR al-Bukhari)
6. Manakala Mazhab Hanafi dan sebahagain riwayat dari Mazhab Hanbali pula mengharuskan bilangan minimum solat jumaat adalah 4 orang. Ini berdasarkan ayat al-Quran yang memerintahkan kita menunaikan solat jumaat yang menyebutkan:
يا أيها الذين آمنوا إذا نودي للصلاة من يوم الجمعة فاسعوا إلى ذكر اللَّه وذروا البيع
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat)” (Surah al-Jumu’ah: 9)
Mereka menyatakan bahawa perkataan “fas’au” (iaitu segeralah pergi ke masjid untuk mendirikan solat jumaat) itu menggunakan lafaz jamak (plural). Mereka menafsirkan bahaw 3 orang sudah memadai untuk menggambarkan lafaz jamak dengan tidak termasuk imam (jika termasuk imam 4 orang).
7. Begitulah perbezaan pendapat dalam penghujahan bilangan minimum bagi perlaksanaan solat jumaat. Di Malaysia, Jabatan Agama Negeri terkadang mengharuskan penggunaan mazhab lain dalam beberapa isu yang tertentu. Ini semua adalah atas kebijaksaan mereka dalam mengendalikan urusan ibadah bagi memudahkan urusan umat Islam.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)