BULAN Ogos 2018 adalah satu bulan yang sangat signifikan untuk dijadikan sebagai pencetus inspirasi kepada umat Islam di negara ini. Ini disebabkan bulan Ogos 2018 mencantumkan dua peristiwa besar kepada negara iaitu bulan kemerdekaan negara ini dan satu peristiwa yang besar kesannya kepada kehidupan umat Islam iaitu Hari Raya Aidiladha.
Peristiwa pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS demi menjunjung titah perintah Allah SWT sehingga sanggup untuk bersedia menyembelih anakandanya sendiri sepatutnya menjadi cermin muka kepada kebanyakan kita yang mengorbankan titah perintah Allah SWT demi kepentingan hawa nafsu sendiri.
Bacalah betapa agungnya pengorbanan ini, menerusi firman Allah SWT: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.(QS al Saffaat: 102)
Betapa ramai di kalangan kita terjajah begitu lama dengan penjajahan hawa nafsu. Sepatutnya ibadah korban yang dilakukan dengan penyembelihan haiwan-haiwan korban, bukan setakat dilihat sebagai ritual keagamaan sahaja tetapi juga mesti ditinjau dari sudut falsafah yang tersirat. Iaitu betapa perlunya kita sama “menyembelih” nafsu serakah kita demi menjunjung perintah Allah SWT seperti yang dibuktikan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s.
Falsafah pengorbanan ini sangat difahami oleh para ulama yang sangat kurang diangkat sebagai pejuang kemerdekaan negara. Mereka menyahut seruan Allah SWT agar berjuang menegakkan Allah SWT dengan jiwa raga seperti firman Allah SWT: Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (QS al Taubah: 41)
Nama-nama seperti Mat Hassan Panglima Munas (Tok Janggut); Mat Kilau bin Imam Rasu (Mat Kilau); Haji Awang Muhammad Yusof Kenali (Tok Kenali); Abdul Rahman Bin Tuanku Imam Nuh (Datuk Bahaman); Imam Rasu bin Shahrum (Tok Gajah); dan Sheikh Abdullah Fahim Sheikh Ibrahim, adalah ulama yang berjuang demi kemerdekaan tanah air. Sanggup mengorbankan jiwa dan raga mereka.
Aqidah Islam secara jelas menolak penguasaan atau penjajahan hawa nafsu ke atas diri seseorang sehingga menolak bimbingan wahyu. Begitu juga aqidah Islam menolak penguasaan peraturan-peraturan yang dirangka untuk memuaskan nafsu serakah pemerintah dari kalangan penjajah-penjajah dengan mengenakan berbagai cukai dan merebut kuasa sedia ada dari orang Islam yang sedang memerintah ketika itu.
Walaupun kita sudah merdeka dengan menghalau penjajah dari tanah air ini namun usaha memastikan peraturan yang memberi ruang penguasaan hawa nafsu perlu dikekang. Contohnya seperti keghairahan golongan LGBTIQ untuk melakukan normalisasi di kalangan ahli masyarakat. Usaha menundukkan semua peraturan kepada kehendak Allah adalah terjemahan kepada falsafah ibadah kurban yang sewajibnya difahami oleh kita semua dengan ‘menyembelih’ penguasaan hawa nafsu di dalam diri kita dan menguasai peraturan tanah air kita. Itulah juga yang telah difahami lebih awal oleh pejuang-pejuang kemerdekaan di kalangan ulama.
Kebangkitan ulama di tanah air juga mengakar dari simbahan kebangkitan ulama Islam yang berlaku di seluruh belahan dunia Islam telah telah menjadi pemangkin dan simbol penyatuan kepada kesedaran rakyat untuk menentang penjajah kuffar .
Di luar Tanah Melayu seperti Indonesia, Mesir, libya, Algeria, Iraq, Iran, Sudan, Nigeria dan negara umat Islam yang lain. Islam telah menjadi kuasa penggerak yang ampuh dalam membajai perjuangan menentang penjajah Barat dan menyuntik semangat perjuangan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan.
Ulama dan gerakan Islam telah menjadi pemacu utama dalam perjuangan menentang penjajahan di seluruh bumi umat Islam seperti Sheikh Abdul Quader Al Jazair di Algeria, Sheikh Umar Mukhtar di Libya, Sheikh Uthman Den Fodio di Nigeria, Hassan Al Banna di Mesir, Sheikh Amin Al Husini di Palestin, Sultan Hasanuddin dan Iman di Ponegoro (Perang Jawa 1825- 1830) di Indonesia, Tuan Guru Hassan bin Munas atau dikenali sebagai Tok Janggut (1915) dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong (1922-1928) di Tanah Melayu.
Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)