Mengisi kehidupan dengan perjuangan : Iktibar 100 tahun kejatuhan khilafah

Ada seorang saudara yang saya sangat hormati pernah menyebut bahawa yang namanya kehidupan itu hanya akan bernilai jika ianya diisi dengan nafas-nafas perjuangan.

Barangkali mungkin kerana perasaan ingin tahu yang membuak, saya bertanya; di mana salahnya jika seseorang itu mahu menjalankan kehidupannya seperti biasa. Hidup tanpa memperjuangkan apa-apa. Hanya untuk diri sendiri. Kecil-kecil pergi ke sekolah. Kemudian masuk ke universiti. Tamat menara gading, bekerja pula. Seterusnya berkahwin dan mendapat anak cucu sehinggalah kematian menjemput. Asalkan tidak membuat dosa, di mana salahnya.

Jawapan saudara saya pada ketika itu sedikit sebanyak membuka perspektif saya tentang kehidupan. Ulas beliau, kehidupan seorang manusia itu puratanya 60-70 tahun. 60-70 tahun ini dibandingkan dengan sejarah peradaban dunia ini yang mungkin sudah mencecah puluhan ribu tahun, sangat sedikit nilainya. Tidak melebihi 1% pun.

Dengan tempoh yang sesingkat ini jika tiada satu pun manfaat yang kita boleh perjuangkan untuk manusia lain, kita telah melepaskan satu peluang besar untuk pelaburan kita di akhirat. Nama kita akan dilupakan terus dalam lipatan sejarah. Pahala kita terhenti di simpangan kematian. Kita mampir menghadap Tuhan pula nanti dalam keadaan “bare minimum”. Benar, hanya Allah yang berhak menentukan syurga dan neraka bagi setiap manusia. Tetapi Tuhan tidak pernah menghalang kita untuk berusaha.

Tauladan Rasulullah SAW dan para sahabat kita boleh perhatikan. Seawal bermula penurunan wahyu sehinggalah umat Islam berjaya membentuk peradaban dan oder dunia, visi dan misi umat Islam digariskan dalam liku-liku perjuangan.

Di Mekah, risalah Allah ditegakkan dengan melemahkan paksi-paksi kuasa elit Musyrikin. Di Madinah, satu gagasan strategik dipasakkan Rasulullah SAW kepada para sahabat untuk menumbangkan oder dunia yang dipegang oleh Rom dan Parsi ketika itu.

Digerakkan penentangan terhadap elit-elit Yahudi yang berakhir dengan Perang Khaibar. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, nafas-nafas perjuangan ini terus dipikul sehinggalah tertegak banyaknya empayar-empayar Islam di Timur melangkaui ke Tanah Melayu.

Kesemua ini memberikan satu makna. Iaitu hidup berjuang dan orang yang beriman itu tidak boleh dipisahkan. Hilangnya makna perjuangan dalam diri orang yang beriman itu adalah satu kebinasaan. Perjuangan ini bukan kerana gilakan kuasa atau darah. Ianya adalah tugas hakiki seorang Muslim.

Menyebarkan risalah tauhid untuk menegakkan kekuasaan Allah di atas muka bumi ini. Dan fitrah yang telah dicipta Tuhan itu adalah sentiasa akan wujudnya penentangan terhadap perjuangan ini. Tidak pernah ada dalam lipatan sejarah para anbiya’ yang tiada musuh melawannya. Ini adalah hakikat pertembungan antara kebenaran dan kebatilan seawal penciptaan Nabi Adam AS.

Sesungguhnya hidup dengan perjuangan ini bukanlah cara atau jalan kehidupan baharu. Ianya adalah jalan sama yang telah dilalui oleh para anbiya’, para sahabat, dan generasi-generasi terdahulu. Kita hanya meneruskan kerja-kerja ini.

Umat hari ini sudah dihilangkan erti dan makna berjuang. Umat Islam dipisah-pisahkan dengan persempadanan negara. Yang menyebabkan hilang rasa kesatuan dan ikatan atas agama. Betapa besarnya barah ini, saudara-saudara Muslim di Palestin dibantai, pemimpin-pemimpin negara Islam hanya mampu mengecam semata-mata.

Kita dihidangkan dengan makna-makna kejayaan yang palsu. Disangkakan bahawa puncak tertinggi kehidupan mereka hanyalah pada kejayaan diri sendiri. Ditunjukkan satu set kehidupan hasil hegemoni Barat. Seolah-olah itu sahaja set kehidupan yang ada. Jika tidak hidup dalam setting sebegitu, maka gagal seorang manusia itu.

Sistem ekonomi yang berkiblatkan kapitalisme jelas menekan umat ini. Untuk hidup selesa menurut pandangan mereka, berhutang dengan bank itu adalah satu kewajipan. Untuk negara ini maju menurut pandangan mereka, identiti harus dicairkan. Dunia sudah fasa globalisasi katanya.

Untuk negara ini adil, demokrasi lah jalannya menurut mereka. Tanpa disedari, umat dipaksakan untuk hidup dengan sistem sebegini. Walhal, jika dimbau sedikit ke lima kurun yang lalu, umat aman sahaja tanpa sistem-sistem ini.

Ini semua kerana hilangnya nafas perjuangan. Dan hilangnya perkara ini bukan kebetulan semata-mata. Ia berlaku dan digerakkan ratusan tahun lamanya dengan terancang. Semua ini harus kita pintas. Kita harus bina kembali apa yang telah dirobohkan.

Biarlah ia memakan masa puluhan atau ratusan tahun, yang utamanya harus ada yang memulakan. Biarlah terkorban harta atau nyawa, kerja-kerja ini harus diteruskan. Pertembungan ini harus kita hadap. Kehidupan kita mesti dipasakkan dengan perjuangan ini.

Membina yang telah diranapkan. Meruntuh yang telah dipaksakan. Ini perjuangan kita. – Fb Abu Dzar Mohd Annuar

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts