Mengisi masa lapang dengan kebaikan

  1. Ketika menghuraikan dua ayat terakhir dari Surah al-Sharh, Sheikh al-Tantawi menjelaskan bahawa Allah memerintahkan kita agar mengisi masa kosong kita dengan amal soleh. Firman Allah:

فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ . وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ

“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain) [7] Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini). [8] – Surah al-Sharh

  1. Secara umumnya ayat ini membimbing kita agar melakukan amalan ketaatan setelah kita selesai melakukan sesuatu kebaikan. Sebagai contoh, setelah kita selesai menggandakan ibadah dalam bulan Ramadan, maka jangan pula dibiarkan masa lapang kita menjadi kosong dari sebarang amalan. Malah kita digalakkan untuk meneruskannya dengan melakukan amal kebaikan yang lain pula.
  2. Sheikh al-Tantawi menukilkan kata-kata Saidina Umar yang membenci melihat lelaki yang duduk bersahaja tanpa melakukan apa-apa amalan tidak kira amal untuk dunianya atau akhiratnya. Kata Umar:

إنّى لَأَكْرَهُ لأَحَدِكُمْ أَنْ يَكُونَ خَالِياً، لاَ فِيْ عَمَلِ دُنْيَا وَلاَ دِيْن

Aku membenci salah seorang dari kamu yang duduk bersahaja (dalam masa kosongnya). Tidak melakukan amalan samada amal untuk dunianya atau agamanya. (Tafsir al-Wasit)

  1. Bahkan, perbuatan menangguh-nangguh amalan juga adalah sesuatu yang tidak disukai oleh salafussoleh terdahulu. Al-Khatib al-Baghdadi pernah menulis satu bab mengenai Zamm al-Taswif (Celaan Terhadap istilah : “Nanti Aku Buat”). Beliau menukilkan kata-kata al-Hasan yang menyatakan:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ، إِيَّاكُمْ وَالتَّسْوِيفَ.. سَوْفَ أَفْعَلُ، سَوْفَ أَفْعَلُ

“Wahai anak muda, hendaklah kamu menjauhkan dirimu dari taswif. (Apakah itu taswif? Iaitu perkataan kamu yang menyatakan:) “Nanti aku buatlah” “Nanti aku buatlah”..

  1. Oleh yang demikian, isi masa lapang dengan perkara yang berfaedah dan jauhi sikap suka bertangguh-tangguh.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts