Menjawab dakwaan tidak perlu qada puasa jika telah membayar fidyah

.

Mukadimah

Puasa pada bulan Ramadan merupakan salah satu rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar R.A, bahawa Nabi SAW bersabda :

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلاَةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَالْحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya“Islam itu terbina atas lima perkara; Syahadah bahawasanya tiada tuhan (yang sebenarnya disembah) melainkan Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadan”.

(Riwayat al-Bukhari)

Namun begitu, Islam memberi keringanan untuk berbuka kepada beberapa golongan yang tidak mampu melaksanakan ibadah puasa ini. Antaranya termasuklah orang yang sakit, bermusafir serta golongan wanita yang mengandung dan menyusukan bayi. Akan tetapi, mereka wajib menggantikan puasa tersebut pada hari yang lain bahkan ada yang perlu membayar fidyah.

Terdapat beberapa golongan yang diwajibkan membayar fidyah kerana tidak berpuasa pada bulan Ramadan termasuklah perempuan hamil dan yang menyusukan anak. Islam memberikan keringanan kepada mereka sama ada berbuka atau tidak berpuasa. Terdapat dalil umum dalam isu ini hadis daripada Anas bin Malik RA:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ، أَوِ الصِّيَامَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan daripada puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Pendapat ulama mazhab Syafi’i

Namun begitu, Imam al-Nawawi salah seorang ulama mazhab Syafi’i menyatakan wanita yang mengandung atau menyusukan anak ini wajib menggantikan puasanya sekiranya dia berbuka kerana khuatir akan keselamatan dirinya. Malahan wajib menggantikan puasanya dan membayar fidyah jika meninggalkan puasa kerana mereka berasa khuatir dengan kesihatan janin atau anak yang disusukan sahaja mengikut pendapat yang kuat.

Syeikh al-Mahalli menyatakan:

(‌وأما ‌الحامل ‌والمرضع فإن أفطرتا خوفا) من الصوم. (على نفسهما) وحدهما أو مع ولديهما كما قاله في شرح المهذب. (وجب) عليهما (القضاء بلا فدية) كالمريض

Maksudnya: “Sekiranya wanita yang mengandung dan menyusukan anak berbuka kerana takut akan puasa memberi kesan ke atas dirinya sahaja atau bersama-sama anaknya sepertimana yang dinyatakan dalam syarah al-Muhazzab, maka mereka wajib menggantikan puasa tanpa membayar fidyah seperti orang yang sakit.”

Sementara itu, sekiranya mereka berbuka puasa kerana khuatir puasa akan memberi kesan kepada janin dalam kandungan dan anak yang disusui, maka dia wajib menggantikan puasanya dan membayar fidyah menurut pendapat yang kuat.

Pandangan ulama empat mazhab mengenai fidyah wanita hamil

Ulama empat mazhab sepakat bahawa wanita yang hamil atau wanita yang menyusukan anak jika dia berbuka puasa kerana khuatir tentang dirinya atau khuatir dengan keadaan diri dan anaknya maka dia perlu untuk mengqada semula puasanya tanpa perlu untuk mengeluarkan fidyah.Walau bagaimanapun mereka berbeza pandangan jika wanita hamil atau menyusukan anak berbuka puasa kerana khuatir dengan keadaan anaknya semata-mata.

Kami telah bincangkan mengenai pandangan ulama mazhab Syafi’i berkaitan isu ini. Manakala pandangan mazhab Hanbali juga selari dengan mazhab Syafi’i iaitu jika berbuka puasa disebabkan khuatir akan dirinya atau diri dan anaknya maka hanya perlu menggantikan puasanya tanpa perlu mengeluarkan fidyah. Namun jika dia khuatir akan anaknya maka dia perlu untuk menggantikan puasa di samping perlu untuk membayar fidyah, Mereka berpandangan bahawa hukum bagi orang yang berbuka kerana khuatir dengan keadaan anaknya adalah seumpama orang tua yang sakit dan tidak mampu untuk berpuasa. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ

Maksudnya: “Wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”

Surah al-Baqarah (184)

Selain itu dalam sebuah riwayat dari pada Ibn Abbas R.Aanhuma:

كَانَتْ رُخْصَةً لِلشَيْخِ الكَبِيرِ وَالمَرْأَةِ الكَبِيرةِ وَهُمَا يُطِيقَانِ الصِّيَامِ أَنْ يُفْطِرَا وَيُطْعِمَا مَكَانَ كُلَّ يَوْمٍ مِسْكِيناً، وَالحُبْلَى وَالمُرْضِعُ إِذَا خَافَتَا عَلَى أَوْلَادِهِمَا أَفْطَرَتَا وَأَطْعَمَتَا

Maksudnya: “Bagi orang tua lelaki atau perempuan yang tidak mampu untuk berpuasa dia boleh berbuka puasa dan perlu memberikan makan kepada orang yang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Manakala wanita yang hamil atau wanita yang menyusukan anak jika berbuka kerana khuatir akan anaknya maka dia juga juga wajib mengeluarkan fidyah.

(Riwayat Abu Daud)

Menurut mazhab Hanafi wanita hamil atau wanita yang menyusukan anak jika mereka berbuka puasa maka mereka hanya perlu menggantikan puasanya tanpa membezakan antara mereka yang khuatir dengan dirinya atau khuatir akan anaknya kerana mereka dianggap sama seperti orang yang sakit. Di sisi mazhab Hanafi, pandangan yang menyamakan antara orang tua dan kanak-kanak yang berada dalam kandungan adalah tidak tepat kerana orang tua pada asalnya dia diwajibkan tetapi kemudian kewajipan itu terangkat disebabkan ketidakmampuannya. Manakala kanak-kanak mereka semenjak awal sememangnya tidak diwajibkan untuk berpuasa. Perkara ini boleh dilihat dari kenyataan Syeikh Kamal Ibn Humam dari kalangan ulama mazhab Hanafi:

(وَالْحَامِلُ وَالْمُرْضِعُ إذَا خَافَتَا عَلَى أَنْفُسِهِمَا أَوْ وَلَدَيْهِمَا أَفْطَرَتَا وَقَضَتَا) دَفْعًا لِلْحَرَجِ (وَلَا كَفَّارَةَ عَلَيْهِمَا) لِأَنَّهُ إفْطَارٌ بِعُذْرٍ (وَلَا فِدْيَةَ عَلَيْهِمَا) 

Maksudnya: “Wanita yang hamil dan menyusukan anak jika khuatir akan diri mereka atau anak-anak mereka maka mereka boleh berbuka puasa sebagai kemudahan kepada mereka tanpa perlu untuk mengeluarkan kafarah kerana ia termasuk keuzuran yang tidak dikenakan kafarah mahupun fidyah.

Mazhab Maliki pula membezakan antara wanita yang hamil dan wanita yang menyusukan anak. Wanita yang hamil sama ada berbuka kerana khuatir akan dirinya atau kandungannya dia hanya perlu menggantikan puasanya tanpa perlu membayar fidyah. Namun jika wanita yang menyusukan anak berbuka kerana khuatir akan anaknya maka dia perlu untuk menggantikan puasanya di samping mengeluarkan fidyah[7]. Perbezaan ini dijelaskan oleh salah seorang ulama mazhab Maliki dalam kitab al-Fawakih al-Dawani:

(و)َ يَجِبُ عَلَيْهَا أَنْ (تُطْعِمَ) بَعْدَ أَكْلِ يَوْمٍ بِخِلَافِ الْحَامِلِ، وَالْفَرْقُ أَنَّ الْحَامِلَ مُلْحَقَةٌ بِالْمَرِيضِ وَهُوَ لَا إطْعَامَ عَلَيْهِ،

Maksudnya: “Wajib ke atas wanita yang berbuka puasa kerana menyusukan anak untuk memberikan makan (fidyah) setelah dia makan pada hari tersebut. Hal ini berbeza dengan wanita yang hamil kerana wanita yang hamil hukumnya seperti orang sakit dan orang yang sakit sudah pasti tidak perlu untuk mengeluarkan fidyah.

Sudah bayar fidyah, tak perlu qada puasa?

Tidak dinafikan, terdapat pandangan daripada Ibn Abbas R.Anhuma yang menyebut bahawa seorang wanita hamil dan menyusukan anak itu jika dia berbuka, dia hanya diwajibkan fidyah sahaja dan tidak wajib qada puasa yang ditinggalkan.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ قَالَ كَانَتْ رُخْصَةً لِلشَّيْخِ الْكَبِيرِ وَالْمَرْأَةِ الْكَبِيرَةِ وَهُمَا يُطِيقَانِ الصِّيَامَ أَنْ يُفْطِرَا وَيُطْعِمَا مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا وَالْحُبْلَى وَالْمُرْضِعُ إِذَا خَافَتَا قَالَ أَبُو دَاوُد يَعْنِي عَلَى أَوْلادِهِمَا أَفْطَرَتَا وَأَطْعَمَتَا

Maksudnya“Daripada Ibn Abbas, berkenaan ayat “dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa  membayar fidyah” beliau berkata: Ayat ini merupakan rukhsah bagi orang lelaki dan wanita tua yang tidak mampu berpuasa untuk berbuka, dan mereka perlu membayar fidyah kepada orang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Adapun bagi wanita hamil dan yang menyusukan anak yang bimbang (kesihatan anak-anak mereka), mereka itu boleh berbuka dan hanya perlu membayar fidyah.”

(Riwayat Abu Daud)

Pandangan yang sama juga dinukilkan daripada Ishaq bin Rahawaih.

Namun pandangan ini dikira lemah dan bertentangan dengan pandangan ulama-ulama daripada empat mazhab yang bersepakat yang bersepakat bahawa kedua-dua golongan ini wajib qada puasa yang ditinggalkan, meskipun mereka berbeza pendapat tentang kewajipan membayar fidyah.

Selain itu, pandangan yang sama turut dinukilkan daripada Ibn Umar R.Anhuma:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ سُئِلَ عَنِ الْمَرْأَةِ الْحَامِلِ إِذَا خَافَتْ عَلَى وَلَدِهَا، فَقَالَ: ” تُفْطِرُ وَتُطْعِمُ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا مُدًّا مِنْ حِنْطَةٍ

Maksudnya“Ibn Umar ditanya tentang seorang wanita hamil yang bimbang kesihatan anaknya, lalu beliau menjawab: Dia boleh berbuka dan dia hendaklah membayar fidyah kepada orang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan, sebanyak satu cupak gandum.”

Namun menurut Imam al-Baihaqi, berdasarkan nukilan daripada Imam al-Syafi’i dan Imam Malik, wanita tersebut wajib qada puasa yang ditinggalkan, bukan semata-mata cukup dengan membayar fidyah. Ini berdasarkan keumuman firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ

Maksudnya: “Sesiapa dalam kalangan kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian dia wajib berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”

Surah al-Baqarah (184)

Beliau turut membawa riwayat lain daripada Ibn Umar yang menyebut bahawa seorang wanita hamil yang tidak berpuasa, selain wajib membayar fidyah, dia turut wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan setelah dia kembali sihat.

Ibn Qudamah al-Hanbali juga mengulas pandangan Ibn Umar dan Ibn Abbas R.Anhuma ini:

وقال ابنُ عمرَ، وابنُ عَبَّاسٍ: ‌لا ‌قَضَاءَ ‌عَليهما؛ لأنَّ الآيةَ تَنَاوَلَتْهُما، وليس فيها إلَّا الإِطْعَامُ، ولأنَّ النبيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- قال: “إنَّ اللهَ وَضَعَ عَنِ الْحَامِلِ والمُرْضِعِ الصَّوْمَ”. ولَنا، أنَّهما يُطِيقَانِ القَضاءَ، فَلَزِمَهُما، كالحائِضِ والنُّفَساءِ، والآيةُ أوْجَبَتِ الإطْعامَ، ولم تَتَعَرَّضْ لِلْقَضاءِ، فأخَذْنَاهُ من دَلِيلٍ آخَرَ. والمُرَادُ بِوَضْعِ الصَّوْمِ وَضْعُهُ في مُدَّةِ عُذْرِهما

Maksudnya“Kata Ibn Umar dan Ibn Abbas R.Anhum: wanita hamil dan yang menyusukan anak tidak wajib qada, kerana mereka termasuk dalam ayat (وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ) dan ayat ini tidak menyebut selain daripada kewajipan membayar fidyah. Begitu juga Nabi SAW telah bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT telah mengangkat kewajipan berpuasa daripada wanita hamil dan yang menyusukan anak. Sedangkan menurut mazhab kami, kedua-dua golongan ini mampu untuk menggantikan puasa, maka mereka wajib berbuat demikian, seperti wanita yang kedatangan haid dan nifas. Ayat al-Quran tersebut juga mewajibkan fidyah, namun tidak menyebut tentang qada, maka kami mengambil kewajipan qada daripada dalil yang lain. Maksud hadis mengangkat kewajipan berpuasa pula ialah terangkatnya kewajipan sepanjang tempoh keuzuran sahaja (dan mereka perlu qada setelah berakhirnya tempoh tersebut.”

Kesimpulan

Kesimpulannya, keempat-empat mazhab fiqh Islam bersepakat bahawa jika seorang wanita hamil atau yang menyusukan anak berbuka puasa, dia tetap wajib untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan, tanpa mengira sama ada mereka berbuka kerana bimbangkan kesihatan diri sendiri atau kesihatan anak. Para ulama hanya berbeza pandangan tentang kewajipan untuk membayar fidyah dalam isu ini.

Meskipun ada pandangan daripada Ibn Umar dan Ibn Abbas yang hanya mewajibkan kedua-dua golongan itu membayar fidyah tanpa perlu qada puasa, namun pandangan ini dikira lemah dan bertentangan dengan pandangan ulama-ulama daripada empat mazhab. Bahkan menurut riwayat yang dibawa oleh Imam al-Baihaqi, sebenarnya Ibn Umar tetap mewajibkan wanita hamil yang berbuka untuk menggantikan puasa yang ditinggalkan.

Wallahu a‘lam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAMShare

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts