1) Isu asalnya adalah Wanji sejak sekian lama telah menyeleweng kata-kata yang dinaqalkan oleh Ibnu Taimiyyah, untuk menghalalkan pelantikan orang bukan Islam sebagai pemimpin negara. Sedangkan konteks perbahasan “kata-kata ibnu Taimiyah” yang dinaqalnya itu – seperti yang saya terangkan dalam tulisan lalu – adalah untuk menunjukkan betapa pentingnya untuk mengangkat keadilan, serta menunjukkan sunnatullah (atau lebih spesifik: sunnah kauniyah) bahawa negara yang menjaga keadilan akan mendapat pertolongan Allah. Tidak semena-mena, tiba-tiba kita pula dikatakannya melakukan “fitnah terhadap Ibnu Taimiyyah” malah menuduh kita “tidak membaca karya Ibn Taimiyyah itu sehingga selesai perenggan yang dimaksudkan”.
2) Saya juga telah jelaskan sebelum ini bahawa kata-kata yang dinaqalkan oleh Ibnu Taimiyyah itu bukanlah dalil untuk mengharuskan pelantikan bukan Islam sebagai pemimpin negara seperti yang dihujahkan Wanji selama ini. Ia jauh terpesong dari sudut penghujahan Syarak atau disiplin ilmu usul fiqh.
Alhamdulillah akhirnya Wanji terpaksa akur akan hakikat ini dengan mengatakan dalam tulisannya; “…Adapun berkenaan perlantikan pemerintah, sudah pasti ia bukan wacana itu yang dibincangkan oleh Ibn Taimiyyah dalam ungkapan terbabit. Ia dalam wacana yang lain.” dan “….tidak hairan Ibn taimiyyah menyatakan haram melantik non Muslim sebagai pemimpin negara”.
3) Malangnya, selepas gagal memutar belit pandangan Ibnu Taimiyyah, pandangan Al-Qaradawi pula dimanipulasi Wanji untuk menjustifikasi keharusan mengangkat orang bukan Islam sebagai pemerintah negara. Padahal jika kita betul-betul amati pandangan Al-Qaradawi itu, beliau hanya mengharuskan pelantikan orang bukan Islam sebagai wakil rakyat yang menurut pemahamannya ketika itu boleh disamakan seperti wizarah tanfiz, yang mana ia bukanlah ketua (amir), menteri (wazir) dan bukan juga ‘wali’ bagi sesebuah negara. (Min Fiqh al-Dawlah fi al-Islam, Dar Al-Syuruq, Kaherah, terbitan ke-5, 2007, m/s 193-197).
Tambahan pula, pandangan Al-Qaradawi itu hanya merujuk kepada wakil rakyat dalam konteks sebuah negara Islam/ dawlah Islamiyyah (Wanji iktiraf pula wujudnya negara Islam?) secara UMUM, tidak dispesifikkan pun ‘wakil rakyat’ mengikut struktur politik negara mana. Saya berharap agar Wan Ji tidak hanya berpada dengan edisi terjemahan buku Min Fiqh al-Dawlah oleh Dr. Juanda yang dirujuknya, sebaliknya rujuklah teks asal bahasa Arab dari buku asalnya.
4) Persoalannya, adakah pandangan Al-Qaradawi itu boleh diaplikasikan dalam konteks struktur pentadbiran/pemerintahan Malaysia hari ini? Adakah wakil rakyat dalam konteks Malaysia, serta jawatan-jawatan penting yang lain seperti Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Timbalan Menteri, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara boleh dipukul rata semuanya sebagai ‘wizarah tanfiz’, justeru dengan mudahnya memanipulasi pandangan Al-Qaradawi tersebut untuk mengharuskan secara mutlak pelantikan orang bukan Islam bagi jawatan-jawatan tersebut?
5) Kesemua jawatan tersebut dalam sistem politik Malaysia hari ini tidak sama dengan hakikat ‘wakil rakyat’ yang dimaksudkan Al-Qaradawi, jauh sekali maksud wizarah tanfiz yang diungkapkan Al-Mawardi ketika era pemerintahan Abbasiyyah. Sebagai contoh, ahli Parlimen di Malaysia hari ini turut mempunyai kuasa tertentu termasuk boleh terlibat dalam meluluskan suatu akta atau undang-undang negara. Sebab itulah kita tidak boleh bermudah-mudah memetik pandangan Al-Qaradawi itu (atau mana-mana pandangan ulama kontemporari luar negara yang nampak boleh ‘ngam’ dengan pandangan kita) untuk memenuhi kehendak nafsu kita.
6) Fuqaha membahagikan pemerintahan negara di bawah pemimpin tertinggi/ ketua negara kepada dua kategori:
a. wizarah tafwidh atau wilayah `ammah; dan
b. wizarah tanfiz atau wilayah khassah
Wizarah tafwidh (sebahagian ulama sebut “wazarah”) atau wilayah `ammah merupakan jawatan kepimpinan yang mendapat autoriti secara langsung daripada ketua/pemimpin tertinggi negara. Mereka terlibat secara langsung dalam penggubalan dasar dan polisi utama negara serta menentukan hala taju negara.
Manakala wizarah tanfiz atau wilayah khassah hanyalah jawatan yang bersifat eksekutif atau pelaksana dasar yang diputuskann oleh pimpinan tertinggi. (Lihat: Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Dar al-Hadith, Kaherah, m/s 56)
7) Dalam hal ini, khilaf yang berlaku dalam kalangan fuqaha dan ulama kontemporari hanyalah berhubung jawatan wizarah tanfiz atau wilayah khassah. Imam Al-Mawardi umpamanya telah memberikan sedikit kelonggaran dengan tidak meletakkan syarat Islam bagi jawatan wizarah tanfiz kerana ia hanyalah pelaksana, tidak mempunyai kuasa menentukan dasar utama sebuah negara. Al-Juwayni yang mempelopori usul al-maqasid (sebelum Al-Ghazali & Al-Syatibi lagi) dalam kitabnya Ghiyath al-Umam mengkritik pandangan Al-Mawardi ini dengan panjang lebar. Beliau amat tidak bersetuju jawatan wizarah tanfiz disandang oleh bukan Islam walaupun mereka adalah ahli zimmah di bawah kekuasaan khilafah Islam, kerana mereka tidak boleh dipercayai (tidak thiqah/عدم الموثوق به) dan periwayatan mereka ditolak (روايته مردودة). (Al-Ghiyathi, Maktabah ‘Asriyyah, Beirut, m/s 84-85)
8) Adapun bagi jawatan utama pemerintahan negara (khalifah, wilayah ‘ammah & wizarah tafwidh), jumhur ulama SEPAKAT bahawa ia wajib disandang oleh orang Islam. (Lihat: Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, m/s 5. Abu Ya`la, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, m/s 20. Syeikh Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Al-Nizom al-Siyasi fi al-Islam, m/s 178-197. Prof. Dr. Mahmud Al-Khalidi, Al-Islam wa Usul al-Hukm, m/s 359, Syeikh Abdullah b. Umar b. Sulaiman Al-Dumaiji, Al-Imamah A-`Uzma `inda Ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah, m/s 234)
9) Perlu juga difahami bahawa perbahasan fuqaha dalam isu pelantikan orang bukan Islam seperti yang dijelaskan di atas adalah dalam konteks sebuah negara Islam (darul Islam/dawlah Islamiyyah) yang mana ketika itu umat Islam masih mempunyai kuasa dominasi politik dalam negara. Dalam situasi itu pun, mereka masih bersepakat bahawa jawatan utama negara (khalifah & wizarah tafwidh) hanya boleh dipegang oleh orang Islam, dan khilaf hanya pada wizarah tanfiz seperti yang telah dijelaskan dalam point no. 7 di atas.
Hari ini, dalam keadaan umat Islam yang lemah dan ketinggalan dalam segenap aspek, hanya mereka yang berjiwa kalah akan terus menyerah kalah lalu membiarkan nasib dan masa depan Islam ini ditentukan oleh pemerintah bukan Islam. Cukuplah setahun ini mengajar kita betapa umat Islam terus diasak dengan pelbagai ancaman.
10) Baiklah. Kita semua maklum sistem, situasi dan geopolitik zaman ini, khususnya Malaysia, sudah berbeza daripada zaman Nabi dan Khilafah silam. Tiada lagi istilah wizarah tafwidh mahupun tanfiz. Namun, adakah perbezaan ini telah mengubah nas Syarak serta mengalih tujuan atau maqasid siyasah syar`iyyah? Adakah tidak perlu lagi melaksanakan Syariah? Tidak perlu lagi usaha-usaha memartabatkan Syarak? Tidak perlu lagi menyahut seruan jihad membebaskan negara-negara di seluruh dunia dari segala cengkaman asing?
11) Kaedah Syarak menyebut:
ما لا يدرك كله، لا يترك جُلّه
“Apa yang tidak dapat dicapai/dilaksanakan semuanya, jangan ditinggalkan semuanya”
Berdasarkan kaedah ini, walaupun suasana dan sistem hari ini tidak lagi sama dengan dahulu di mana kita tidak lagi dapat melaksanakan perintah Syarak secara penuh atas banyak kekangan, janganlah sampai kita terus tinggal semuanya dan terus berlonggar-longgar hingga melepaskan jawatan kepimpinan negara ini kepada bukan Islam, tanpa ada parameter yang mengawalnya.
12) Sekurang-sekurangnya berusahalah mencapai ke arah memartabatkan Islam dengan melaksanakan apa yang termampu. Dalam isu pemilihan pemimpin, maka sepatutnya yang dilakukan hari ini ialah melipatgandakan lagi usaha meramaikan orang Islam yang berwibawa dalam tampuk pemerintahan negara, supaya dominasi/ kuasa politik Islam dapat dikembalikan. Bukan terus menyerah kalah lalu mengharuskan umat Islam melantik orang bukan Islam sebagai pemerintah negara dengan hanya memetik nama-nama ulama seperti yang dilakukan Wanji, tanpa hujah yang konkrit.
13) Berkenaan Surah Al-Mumtahanah ayat 8-9 pula (yang selalu digunakan oleh sebahagian pihak untuk mengharuskan pelantikan bukan Islam sebagai pemerintah negara), ketahuilah bahawa para fuqaha dan mufassirin tidak pernah menafsirkan ayat 8-9 Surah Al-Mumtahanah ini dengan mengharuskan perlantikan orang bukan Islam sebagai pemimpin negara. Kerana ayat tersebut HANYA mengharuskan membuat BAIK dan berlaku ADIL kepada orang bukan Islam yang tidak memusuhi/memerangi Islam. (`Ali Al-Sais, Tafsir Ayat al-Ahkam, Al-Maktabah al-`Asriyyah, Beirut, m/s 756-757; Syed Qutb, Fi Zilal Al-Quran jil. 2, m/s 910). Al-Qaradawi hanya berhujah dengan ayat ini dalam konteks yang telah saya jelaskan dalam point no. 3 di atas.
14) Ia sesekali tidak menafikan larangan memberikan wala’ kepada orang bukan Islam dan menjadikan mereka sebagai pemerintah (seperti mana yang termaktub dalam Surah Ali Imran ayat 28, Al-Nisa’ ayat 138-139, Al-Taubah ayat 71 dan Al-Mumtahanah ayat 1 dan banyak lagi ayat larangan wala’).
15) Wala’ pula hanya berhak diberikan kepada Allah, Rasulullah dan orang-orang beriman. (Abu Zahrah, Fatawa Al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, himpunan dan tahqiq Dr. Muhammad Uthman Syibir, Dar Al-Qalam, Beirut, m/s 725-726). Bahkan menurut ibnu Hajar, membuat baik dengan orang bukan Islam tidak bermaksud boleh berkasih sayang dan saling mencintai dengan mereka yang memang telah dilarang. (Ibnu Hajar, Fath al-Bari, jil. 5, m/s 233)
Wallah A’lam.
Ahmad bin Khairuddin
9 Ramadan 1440H
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)
alhamdulillah, saya dah baca..
namun timbul persoalan dari saya pada perenggan terakhir artikel..
klau kita dilarang berkasih sayang dan bercinta dengan non-muslim, awat Allah benarkan kita kahwin dengan non-muslim (ahli kitab)..?