KUALA LUMPUR: Cadangan berkaitan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-Undang Islam (Jawatankuasa Khas) adalah tidak berasas sama sekali.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata dalam perkara dasar pentadbiran hal ehwal Islam termasuk isu dasar perundangan dan kehakiman syariah yang membabitkan urusan umat Islam, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa merujuk Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Katanya, MKI dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selain merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri.
“Oleh yang demikian, semua pihak adalah diseru supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang kegelisahan awam.
“Semua pihak perlu memberikan sepenuh keyakinan serta ruang kepada Jawatankuasa Khas untuk menjalankan peranannya dengan penuh profesional dan berkesan,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang menyarankan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu jawatankuasa khas berkenaan.
Koo Ham berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.
Mohd Na’im berkata, Jawatankuasa Khas sudah ditubuhkan dan Mesyuarat pertama berlangsung pada 5 Disember lalu.
Katanya, Jawatankuasa Khas itu ditubuhkan bertujuan untuk mengkaji isu yang berkaitan dengan kompetensi DUN serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Jawatankuasa Khas ini dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim NegaraTun Zaki Tun Azmi dan turut dianggotai oleh anggota lain yang terdiri daripada bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, wakil Majlis Agama Islam Negeri, wakil Pejabat Peguam Negara, wakil Mahkamah Syariah, ahli akademik dan pengamal undang-undang.
“Kesemua anggota yang dilantik masing-masing mempunyai kepakaran dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sivil dan undang-undang Syariah dan berkelayakan membuat kajian,” katanya.
Tambahnya, kesemua anggota akan memberi pandangan dan sumbang saran bagi memastikan jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni dapat dibuat bagi menyelesaikan semua isu yang berbangkit dalam perkara ini demi memartabatkan dan memperkasa perundangan Syariah dan sistem kehakiman Syariah di negara ini. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM