KUALA LUMPUR – Abajid Training Team dengan kerjasama Persatuan Pelajar Malaysia di Arab Saudi (Cawangan Madinah) berkongsi keberkatan Ramadan dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk dikongsi bersama umat Islam di kawasan berdekatan Masjid Nabawi bermula 1 Ramadan hingga 15 Ramadan tahun ini.
Khadim Al Sufrah, Abdul Aziz Abbas berkata, program tersebut yang dinamakan Sufrah Maliziah (hidangan Malaysia) telah dimulakan sejak lima tahun lalu.
Katanya, aktiviti amal itu merupakan gabungan tenaga sukarelawan seramai 20 orang terdiri daripada golongan pelajar yang bersama-sama menyediakan juadah berbuka dengan menu makanan Malaysia.
“Setiap hari persediaan untuk memasak hidangan bagi program Sufrah Maliziah dimulakan selepas solat terawih.
“Kemudian selepas zuhur, aktiviti memasak semakin rancak dan juadah berbuka puasa akan dihantar satu jam sebelum azan maghrib berkumandang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, antara menu yang disediakan adalah nasi putih dan ayam paprik serta gulai ikan dimasak secara bergilir-gilir oleh para sukarelawan.
“Kita sediakan juadah untuk 200 orang tetapi biasanya ketika hari Jumaat, kami bersedia untuk memasak dengan kuantiti yang lebih kerana kehadiran jemaah yang meningkat,” katanya.
Jelas Abdul Aziz, pada mulanya program tersebut hanya dimulakan secara kecil-kecilan dalam kalangan pelajar tetapi semakin lama mendapat sambutan menggalakkan daripada warga Malaysia yang berada di Arab Saudi.
Tambahnya, bagi rakyat Malaysia yang ingin mengikuti program Sufrah Maliziah mereka boleh meninjau program tersebut di laman Facebook PERSADA Cawangan Madinah. – Utusan Malaysia
www.indahnyaislam.my