Menyertai perayaan Kuih Bulan, adakah ia ritual agama atau sekadar tradisi Tionghua?

PERAYAAN Kuih Bulan merupakan perayaan tradisi yang diraikan masyarakat Cina dan ia sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Disebabkan itu dapat dilihat ramai Muslim turut menyambut perayaan Kuih Bulan ini.

Sebelum menelusuri hukum menyambut perayaan ini, wajarlah kita mengetahui asal usul dan kisah pensejarahan perayaan Kuih Bulan terlebih dahulu.

Memetik perkongsian di laman Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), perayaan Kuih Bulan merupakan salah satu perayaan terpenting bagi masyarakat Cina selain Tahun Baru Cina.

Kedua-dua perayaan ini membawa makna “perjumpaan semula” atau “reunion” kepada masyarakat Cina.

Hari ke-15 bulan ke-8 pada kalendar Cina, bulan penuh akan muncul di langit, melambangkan keluarga yang lengkap dan bersatu.

Pada malam perayaan, ahli-ahli keluarga akan berkumpul bersama-sama di bawah bulan mengambang, sambil menikmati kuih bulan dengan diterangi tanglung-tanglung dan lilin-lilin, tidak kurang juga perarakan tanglung sambil menceritakan mitos perayaan ini bersama anak-anak.

Perayaan Kuih Bulan mempunyai pelbagai lagenda dan cerita, di antara yang paling terkenal adalah kisah Houyi dan Chang’e, Wugang dan juga Arnab Jed.

Terdapat juga sebuah cerita yang mengatakan bahawa sejenis kuih yang berupa kuih bulan telah digunakan sebagai medium penyampaian mesej dalam usaha penggulingan pemerintahan Mongol pada zaman dinasti Yuan.

Kisah pensejarahan di sebalik perayaan ini memiliki banyak versi dan teori penceritaan.

Walaupun begitu, setiap teori penceritaan tiada asas yang kukuh melainkan ia hanyalah semata-mata kisah rakyat yang diceritakan turun temurun.

Namun dikatakan inilah asbab sambutan perayaan kuih bulan dalam masyarakat cina sehingga kini.

Bolehkah Muslim turut menyertainya?

Maka, persoalan yang sering timbul adalah ‘bolehkah Muslim turut terlibat dalam perayaan ini? Adakah ia merupakan ritual keagamaan atau sekadar sambutan adat tradisi?’

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri tampil menjelaskan Perayaan Kuih Bulan adalah harus dan dibenarkan di sisi Islam.

Ia lebih dilihat sebagai festival kekeluargaan, bukannya upacara keagamaan. Hal ini kerana pensejarahan dan mitos yang kabur dan bercampur aduk, menyebabkan ia tidak boleh dihukum dengan tetap sebagai perayaan keagamaan.

Menurut agamawan itu, unsur-unsur akidah dan kepercayaan masyarakat Cina berkaitan Perayaan Kuih Bulan telah terhapus pada masa sekarang. Maka, ia bukan lagi dikategorikan sebagai sebuah perayaan keagamaan.

Namun, perlu ditegaskan bahawa perayaan Kuih Bulan bukanlah daripada asal kepercayaan Islam.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berwaspada dengan segala tindakan yang bukan berasal daripada kepercayaan Islam supaya tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang bersabda “Sesiapa yang bertasyabbuh dengan sesuatu kaum maka dia sebahagian dari mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud) – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts