Pakatan antara Israel, Iran dan Amerika Syarikat kini bukanlah lagi perkara rahsia. Hal ini dibuktikan melalui catatan-catatan perjanjian rahsia oleh Trita Parsi dalam bukunya Treacherous Alliance – The Secret Dealings of Israel, Iran and the US. Walaupun kelihatannya hubungan antara Iran-Israel mahupun Iran-Amerika kelihatan tegang, tetapi seperti kata penulisan, ianya tidaklah sebegitu.
Iran’s policy on Israel was to bark a lot, but never bite (Trita Parsi)
Terdapat beberapa fasa yang harus diperhatikan ketika membicarakan tentang hubungan antara Israel-Iran ini; 1947-1953, zaman persahabatan ketika era Shah Pahlavi, pasca revolusi Iran 1979-1989 semasa era Khomeini ketika perang Iran-Iraq berlaku, dan pasca selepas perang dingin dan kejatuhan Soviet.
Saya akan khususnya kepada fasa yang penting sahaja, untuk memahami latar peristiwa yang berlaku pada hari ini.
1947-1953, zaman persahabatan ketika era Shah
Negara haram Israel ketika awal penubuhannya, mengalami dilema keselamatan kerana bersempadan dan dikelilingi oleh negara-negara Arab. Mereka terpaksa memilih pakatan yang boleh memastikan keselamatan dan kedudukan mereka terus terjamin. Periphery Doctrine (doktrin peminggiran) digunakan dalam polisi luar Israel semasa zaman Ben-Gurion. Polisi luar ini adalah dengan mengadakan hubungan dengan negara bukan Arab seperti Iran, Turki dan Ethiopia, di samping mengukuhkan hubungan dengan minoriti Kurdish dan juga Kristian Lebanon. Ketidak stabilan di rantau Timur Tengah adalah sebagai strategi penting untuk terus memastikan dominasi dan keselamatan Israel terus terjamin.
Hubungan Iran-Israel terjalin buat pertama kalinya secara rasmi melalui bantuan Iran selepas krisis terusan Suez 1956. Iran membantu membiayai pembinaan saluran paip Eilat-Askhelon yang menghubungkan minyak daripada Iran ke Israel dan mengurangkan kebergantungan Iran terhadap terusan Suez untuk mengeksport minyaknya. Data menunjukkan pada ketika itu 76% minyak Iran melalui terusan Suez. Hal ini sekaligus membantu Israel dalam mendapatkan sumber tenaga, tanpa bergantung kepda negara Arab.
Pada 1957, Shah telah mengarahkan supaya pasukan perisikan Iran (Savak) mengadakan hubungan bersama pasukan perisikan Israel, Mossad. Perjanjian ini adalah sulit dan rahsia dan dilakukan melalui perjanjian ‘pintu belakang’. Askar Iran dan pasukan polis khas telah dilatih secara rahsia oleh Mossad. Latihan ini melibatkan seramai 400 juruterbang Iran, pasukan para troopers, unit artileri di samping penjualan senjata moden Israel kepada iran.
Hubungan persahabatan ini juga dieratkan berikutan oleh jumlah orang Yahudi yang ramai di Iran. Rakyat Iran tidak memerlukan cop pengesahan di passport ketika mengunjungi Israel melalui Turki melalui perjanjian rahsia antara kerajaan Israel dan Iran sehingga sekarang.
Pasca revolusi Iran 1979-1989 era Khomeini ketika perang Iran-Iraq berlaku
“Israel and Iran need each other. It has always been this way and will always remain the same” – Israeli analyst, 1986
Selepas Shah Mohammad Reza Pahlavi digulingkan oleh Khomeini, media memaparkan penentangan secara terus kerajaan baru revolusi Khomeini ini terhadap Israel. Khomeini mengelarkan Israel sebagai musuh Islam dan syaitan kecil sementara mengelar Amerika Syarikat sebagai Syaitan yang besar.
Media memaparkan sejurus selepas revolusi Iran, semua ikatan rasmi terhadap Israel dibatalkan dan slogan anti Zionis dan penyokongan terhadap negara Palestin dilaung-laungkan. Soalnya, betulkah tiada lagi pakatan rahsia antara Iran dan Israel begitu juga Amerika?
Hal ini boleh kita lihat semasa berlakunya perang Iran-Iraq (1980-1988) melalui skandal yang akhirnya terbongkar di media-media massa, “The Iran-Contra affair”.
Iran Contra Affair merupakan satu pakatan segitiga rahsia antara Iran-Israel dan juga Amerika Syarikat semasa berlakunya perang Iran Iraq. Amerika mahu meluaskan lagi cengkaman mereka ke atas hasil minyak timur tengah dan menyekat pengaruh Soviet, Israel mahu meneruskan “periphery doctrine” mereka dengan merapatkan kembali hubungan dengan Tehran, sementara Iran mahu membaiki hubungan mereka dengan Amerika Syarikat sekaligus mendapat bekalan senjata.
Idea untuk melancarkan operasi membawa Iran kembali rapat bersama barat adalah pertamanya dirancang di Hamburg lewat 1984. Individu yang terlibat dalam plot itu adalah David Kimche (timbalan pengarah Mossad), Al Schimmer (penasihat teknologi angkasa Peres) dan juga Yaacov Nimrodi Israeli arms dealer yang juga merupakan penasihat rapat perdana menteri Israel ketika itu, Shimon Peres, dan juga wakil Iranian Arms dealer Iran, Manuchehr Ghorbanifar. Perbincangan rahsia antara mereka itu melahirkan beberapa resolusi antaranya bekalan senjata (500 TOW missiles) kepada Iran dalam menghadapi perang melawan Iraq.
Secara geopolitiknya tindakan ini memberikan kelebihan kepada Israel, kerana keselamatan mereka terjamin apabila Iraq dan Iran berperang. Israel, mendesak Amerika secara konsisten untuk meneruskan lagi strategi pakatan ini.
“Iran is Israel’s best friend and we do not intend to change our position in relation to Tehran, because Khomeini’s regime will not last forever” –Yitzhak Rabin, Oktober 1987
Kesimpulan
Israel dan Amerika jelas mahu menggunakan kelompok yang dilihat moderate (mengenepikan kelompok fanatik Khomeini) supaya terus menjalinkan hubungan pakatan bersama barat. Sementara Khomeini pula dengan jelas mengenepikan ideologinya serta menampakkan bahawa isu perjuangan melawan Zionis dan perjuangan memerdekakan Palestin hanyalah retorik politik untuk menarik perhatian dunia Islam, sekaligus menjaja templat revolusi Iran supaya diguna pakai di negara-negara Islam. Pengaruh geopolitik Syiah di era dunia mula menampakkan hasilnya kini. Paling penting lagi, semua strategi ini memberi kelebihan terhadap keselamatan dan kepentingan Israel di rantau itu.
Asyraf Farique
Ketua Editor FOCUS
Sumber: http://focuss.my/menyingkap-hubungan-rahsia-israel-iran-dan-amerika-syarikat/
www.indahnyaislam.my